Tuesday, March 15, 2011

Asal Usul Raihan, Hijjaz & Rabbani

Asal Usul Raihan, Hijjaz & Rabbani

Bismillahirrahmanirrahim.....

Pada suatu petang di era 80 an, sekumpulan anak-anak muda di Kampung Sungai Penchala berkumpul di dalam sebuah gelung (saluran air). Mereka berkumpul bukannya untuk bergosip dan melepak membuang masa. Tetapi misi mereka ketika itu sangat bermakna dan menjadi pencetus kepada satu perjuangan yang kekal sehingga kini.

Mereka merakam album yang pertama di sebuah gelung saliran air! Suatu yang amat menyedihkan, ketika itu mereka hanya bernasyid dengan satu nada sahaja disebabkan ketiadaan kemudahan alat muzik dan studio rakaman. Sebelum itu, mereka hanya membuat persembahan di majlis-majlis ceramah dan ramai yang tidak menyedari kehadiran mereka.

Mereka menggelarkan diri mereka dengan nama Putera-Putera Al-Arqam Malaysia.

Antara lagu-lagu awal mereka ialah :

  1. Masyarakat Islam Telah Bermula
  2. Tanpa Agama
  3. Mari-Mari Kita Sejenak Mengingat
  4. Maridhallahuilla
  5. Kholidubilquran
  6. Islam Yang Telah Berkembang
  7. Di Pondok Kecil
  8. Di Sini Kami Berkumpul

Jika tidak silap saya, lagu Tanpa Agama dan Di Pondok Kecil telah dirakam semula. Evergreen sungguh lagu-lagu itu kan? Sangat hebat ilham yang Allah SWT kurniakan kepada mereka untuk mencipta lagu yang baik ketika itu. Masya-Allah..

Mereka suatu ketika dahulu (sumber : http://syukbah.blogspot.com)

Hari demi hari kemudahan mereka semakin bertambah. Mereka telah mempunyai pakaian persembahan sendiri (jubah putih dan serban putih). Selain itu, mereka juga telah mempunyai sistem audio dan studio sendiri. Persembahan mereka juga semakin kerap dipersembahkan di majlis-majlis ceramah anjuran Al-Arqam. Dan ketika inilah Arwah Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani) membuat penampilan sulongnya dengan menjadi vokalis utama kumpulan nasyid Putera-Putera Al-Arqam Malaysia ini.

Kadang-kadang mereka juga menggunakan nama Syukbah Kebudayaan Al-Arqam dan lagu-lagu mereka menjadi siulan pemuda-pemuda Al-Arqam di seluruh dunia. Bagi pengikut Al-Arqam, inilah sahaja hiburan bagi mereka. Jadi tidak hairanlah setiap kali risalah-risalah Al-Arqam diedarkan, mereka (pemuda Al-Arqam) turut menjual kaset-kaset kumpulan nasyid ini.

Kualiti lagu-lagu mereka semakin hari semakin meningkat dengan mempelbagaikan bentuk suara seperti bass, harmoni, suara kanak-kanak dan selingan sajak oleh saudara Dinie Juri dan Pak Nora.

Antara lagu-lagu studio awal mereka ialah :

  1. Maulana
  2. Ya Robbi Salimna
  3. Sifat 20
  4. Harapanku Pada-Mu Subur Kembali
  5. Sampailah Waktu
  6. Bila Izrail

Album yang paling mendapat sambutan ialah album Kelahiran. Setiap kali mengadakan persembahan, pasti ramai yang hadir memberi sokongan dan mereka juga menjual kaset-kaset mereka di situ. Apabila sokongan semakin menggalakkan, mereka memikirkan untuk membuat pembaharuan dalam kumpulan mereka. Sejak dari itu mereka menggunakan alatan muzik, membuat studio yang lebih canggih, mempunyai kenderaan sendiri untuk memudahkan ke sana ke mari dan mencari generasi pelapis yang dapat meneruskan perjuangan nasyid ini.

Majlis hiburan Islam anjuran Al-Arqam

Persembahan NADAMURNI

Ramai pelajar-pelajar Al-Arqam yang menunjukkan minat yang mendalam untuk menjadi penasyid. Sejak dari itu, hasil daripada perbincangan yang telah dibuat di antara mereka, nama Putera-Putera Al-Arqam Malaysia ditukar dengan nama NADAMURNI.

DI ERA NADAMURNI

Mereka sebulat suara bersetuju menggunakan nama NADAMURNI sebagai nama yang baru. Antara anggota-anggota asal kumpulan NADAMURNI ini ialah :

  1. Asri Ibrahim
  2. Isman Nadim
  3. Rahmat Shafie
  4. Asri Ubai
  5. Faizal Osman
  6. Yusuf Sabri
  7. Amin
  8. Rosman
  9. Hamzah
  10. Hashim Ngadiman

Dalam NADAMURNI, mereka telah menggunakan kompang dan alatan muzik tradisional yang lain. Bagi seluruh jemaah Al-Arqam, mereka telah mengganggap kumpulan ini sebaris dengan artis-artis yang lain dengan menyanyikan lagu dan menceritakan tentang kehebatan kumpulan ini.

Adakah yang anda kenal? Saya rasa ada..

Antara lagu-lagu mereka dalam jenama NADAMURNI ialah :

  1. Bisikan aidilfitri
  2. Munajat
  3. Potret Aidilfitri
  4. Cahaya Di Ufuk Timur
  5. Kasih Sayang
  6. Balada Makkatul Mukarramah
  7. Untukmu Rasulallah

PENUBUHAN SYARIKAT OVA PRODUCTION

Selepas lama bergerak secara ‘underground’, mereka telah menubuhkan sebuah syarikat rakaman sendiri iaitu OVA Production. Produk yang mereka hasilkan ialah video ceramah, kaset nasyid kanak-kanak, kaset nasyid muslimah dan lain-lain lagi. Pada masa yang sama OVA Production memperkenalkan artis pertama di bawah naungannya iaitu The Zikr dan anggota asalnya terdiri daripada :

  1. Nazri Johani (Sabah)
  2. Zairee
  3. Abu Bakar
  4. Soleh
  5. Azman (Sabah)

Dan mereka juga memperkenalkan kumpulan lain iaitu :

  1. Suara SMKAKL (juga dikenali dengan nama ANUGERAH)
  2. Nadamurni II (kanak-kanak)
  3. Shaoutussofwa
  4. Nada Athirah
  5. Qatrunnada (Muslimah)

Semenjak kemasukkan saudara Farihin Abd Fatah ke dalam Ova Production, banyak pembaharuan yg dapat dilihat. Beliau berkongsi idea dengan saudara Waharp Yusof, Sohibul Fadhil, Dinie Juri dan lain-lain. Mereka bekerja di dalam satu pasukan dan hasilnya Nadamurni semakin diterima oleh masyarakat terutama masyarakat kampus. Sejak itu lagu-lagu Nadamurni juga sudah mula kedengaran di dalam radio dan TV.

KEHADIRAN MUNIF DAN PEMBUBARAN NADAMURNI

Kebiasaan yang berlaku kepada sesebuah kumpulan, ahlinya pasti silih berganti. Tibalah masanya seorang lagi vokalis kedua diperkenalkan iaitu saudara Munif Ahmad (Hijjaz). Kehadiran Munif Ahmad ke dalam Nadamurni memberi kesan yang semakin mengancam. Kini, mereka tidak mempunyai masalah untuk memenuhi jemputan persembahan kerana mereka mampu mengagihkan kumpulan kepada dua kerana kehadiran dua orang vokalis utama. Hebat kan? Kehebatan kumpulan NADAMURNI ini tiada tandingan ketika itu, namun langit tidak selalu cerah. Pada tahun 1994, jemaah Al-Arqam dan Aurad Muhammadiah diharamkan oleh kerajaan dan kumpulan ini dibubarkan.

Pembubaran ini bukanlah suatu musibah kepada mereka tetapi adalah satu hikmah terhadap perjuangan mereka. Daripada penampilan berjubah dan berserban putih, kini mereka mengubah cara penampilan mereka dengan memakai kopiah yang beraneka corak dan warna. Artis-artis OVA Production juga telah berpecah untuk mewujudkan kumpulan yang baru. Lahir dengan semangat dan cara yang baru lagi memberangsangkan.

Artis OVA Production berpecah kepada :

  1. RABBANI (Nadamurni)
  2. HIJJAZ (Nadamurni dan The Zikr)
  3. RAIHAN (The Zikr)
  4. NOW SEE HEART (Suara SMKAKL @ Anugerah)
  5. JAUHARI (Nada Athirah)
  6. MAWADDAH
  7. UST AWALUDDIN (bergerak secara solo)

Ada juga di antara mereka yang bergerak aktif dalam permainan alatan muzik dan back up artis :

  1. HAMZAH (Nadamurni)
  2. ROSDY (Nadamurni II)

Jauh sungguh perjalanan mereka sehingga ke hari ini. Dari tiada apa-apa sehingga menjadi kumpulan yang hebat sekarang. Benarlah kata orang, insan yang paling gembira mendapat kejayaan adalah orang yang berjaya dari usaha dan kepayahannya dahulu. Apa kata kita lihat sedikit foto-foto lama dan baru yang menggamit memori silam.

Mungkin cover album dulu-dulu

Memang foto yang nostalgia

Lagi gambar persembahan

The Zikr suatu ketika dahulu

Dari The Zikr kepada Raihan

Lagu-lagu Nadamurni dirakam kembali oleh Rabbani dan Hijjaz.

Persoalan telah terjawab dan sedia terjawab. Hijjaz, Raihan dan Rabbani berasal dari satu aliran yang sama. Asalnya mereka dari kumpulan Nadamurni dan kumpulan naungan OVA Production. Merekalah generasi pertama yang memperjuangkan nasyid di Malaysia ini, dan sehingga ke hari ini nama mereka masih disebut-sebut sebagai penasyid lagenda dan evergreen.

Al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani), Allahyarham Zairee (Raihan), Allahyarham Soleh (Hijjaz) yang telah kembali ke rahmatullah. Insya-Allah.. Perjuangan dakwah melalui hiburan ini menjadi jariah untuk mereka di sana. Amin..

Terima kasih kepada penasyid-penasyid hebat (mereka semua) yang telah banyak berkorban jiwa dan raga dalam arena ini. Kredit juga kepada saudara Abu Darwisy kerana sumber artikel dan gambar-gambar dalam entri ini diambil dari blognya (saya olah semula dengan gaya bahasa saya sendiri). Bolehlah juga melawat blog beliau (di sini), juga entri asal (di sini).

HIBURAN WADAH DAKWAH!!

Sumber: Email

Sunday, February 27, 2011

Misteri Kehebatan Teknologi Zaman Nabi Nuh



Sesungguhnya Piramid Agung bukanlah dibina ketika pemerintahan Firaun Khufu (Cheops) tetapi telah dibina berkurun sebelumnya oleh kerajaan-kerajaan silam yang lepas. Firaun-firaun Mesir hanyalah membaik pulih sahaja piramid-piramid ini yang diwarisi mereka. Hakikat ini lama-kelamaan disedari oleh ramai pengkaji tetapi ia terlalu lama untuk dapat dipercayai oleh masyarakat dunia. Anda boleh tonton filem 10000 B.C dimana terdapat kaum yang membina Piramid ditengah-tengah padang pasir untuk mendapatkan gambaran tentang hal ini. Arkiteknya dalam menentukan lokasi piramid terpaksa melihat jarak bintang dilangit dan koordinasi buruj-buruj dimana pada masa yang sama dia juga adalah ahli astronomi dan ahli nujum Istana.
Gambaran kerja pembinaan piramid

Kedudukan ketiga-tiga piramid termasuk Piramid Agung Giza adalah bertepatan dengan kedudukan buruj Orion di langit, dan mengarah tepat ke arah kiblat. Ini antara misteri paling terbesar dalam sejarah kemanusiaan. Siapakah bangsa agung yang mula-mula merencanakan pembinaan Piramid? Sesungguhnya Piramid Mesir adalah penunjuk kiblat paling besar yang terdapat dibumi di mana Allah Yang Maha Agung telah menciptakan bintang-bintang Orion sebagai tanda kiblat dilangit. Piramid Mesir adalah petunjuk arah ke Baitullah di bumi manakala bintang Orion adalah petunjuk arah ke Baitul Makmur di langit. Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu tanpa sia-sia. Bangsa misteri yang membina piramid terawal sudah tentu sebuah bangsa yang teramat bijak dan genius dan di zaman itu kemajuan material adalah setanding malah lebih maju dari apa yang kita dapati hari ini.

Tidak percaya?. Cuba anda bayangkan kehidupan manusia sebelum berlakunya banjir besar di zaman Nabi Nuh. Bayangkan kehidupan mereka adalah teramat canggih dengan kereta-kereta mewah dan kotaraya-kotaraya bercahaya serta pesawat-pesawat terbang seperti UFO yang bersimpang siur di udara. Setiap rumah terdapat sistem komputer yang canggih dan kemudahan internet kelajuan tinggi. Tetapi adakah semua itu berguna setelah banjir besar melanda seluruh dunia. Tidak, tidak sama sekali. Nabi Nuh terpaksa memuatkan kapalnya dengan manusia, haiwan-haiwan yang berpasangan serta spesis-spesis tumbuh-tumbuhan yang terpilih. Di sini kita dapat mengetahui bahawa 'profesion' Nabi Nuh bukan sahaja seorang pengembang agama tetapi juga pakar sains zoologi yang handal.

Nabi Nuh boleh membina kapal yang teramat besar hanya berbekal pengikut yang tidak sampai 100 orang? Fikirkan. Seratus (100) orang itupun ada yang wanita dan kanak-kanak jadi jumlah pekerja untuk membina bahtera Nabi Nuh teramatlah sedikit. Malahan pula, para pengikut Nabi Nuh as terdiri daripada orang miskin yang lemah dan melarat sahaja. Nabi Nuh juga telah membina kapalnya dalam jangka masa yang terhad (sesetengah pendapat mengatakan dalam beberapa minggu sahaja). Misteri ini benar-benar memeningkan pengkaji malah ada juga pengkaji Barat yang mendakwa bahawa, Bahtera Nabi Nuh dibina oleh makhluk asing. Sebenarnya kita tidak akan hairan dengan kemampuan Nabi Nuh ketika itu jika kita membayangkan kemajuan manusia sebelum Banjir Besar adalah seperti kemajuan pada masa kini sekurang-kurangnya. Kita boleh membayangkan yang Nabi Nuh membina bahtera di dalam hangar kapal yang besar berserta peralatan dan mesin-mesin yang canggih dibantu sistem perkomputeran yang termaju.
Masih tidak percaya?. Jika kita lihat pada kronologi kemajuan manusia, kita boleh melihat logik atau tidak kenyataan ini. Biar kita ambil jangkamasa dari lahirnya Nabi Isa mengikut kalendar Masehi iaitu 1 Masehi hingga 2009 Masehi. Bagaimana kehidupan manusia di zaman Nabi Isa hidup. Bagaimana kemajuan manusia selepas 2000 tahun selepas kelahiran Nabi Isa? Berapakah jangkamasa Adam manusia pertama sehingga peristiwa Banjir Besar di zaman Nabi Nuh. Katakanlah lebih kurang 2000 tahun (ini anggaran yang amat minimum memandangkan jangkamasa dari manusia pertama turun ke Bumi sehingga Banjir Besar boleh memakan masa beribu-ribu tahun), maka logiklah kemajuan manusia mencapai tahap terhebat dan maju ketika Banjir Besar.
Mayat bergelimpangan di Kota Kuno Mohenjo-Daro mengandung radioaktif

Maka jika berfikir seperti ini, kita tidak akan terkejut dengan kisah-kisah seperti Atlantis dan Lemuria serta Kerajaan Rama yang mempunyai pesawat-pesawat terbang seperti UFO. Peperangan juga melibatkan kuasa nuklear seperti kesan-kesan yang ditemui di Mohenjo-Daro dan Harappa.

Tetapi adakah semua kemajuan itu berguna berguna apabila tibanya bala bencana? Semua kemajuan itu habis tenggelam bersama-sama orang musyrik yang mengingkari perintah Allah SWT setelah hanyut dalam arus kemajuan material dan kecanggihan teknologi yang mengkhayalkan. Manusia ketika itu semakin rakus dengan kebendaan dan berbuat maksiat secara terang-terangan. Tidak hairan jika terdapat parti bogel di sana-sini. Pesta-pesta mandi buih acapkali diadakan di festival-festival besar. Konsert-konsert muzik yang mengkhayalkan seringkali diakhiri dengan pesta seks yang menghairahkan dihadapan sembahan-sembahan berhala yang mereka pertuhankan. Dakwah Nabi Nuh dikesampingkan walaupun sering keluar di media-media antarabangsa.
Bateri Baghdad yang ditemui oleh ahli arkeologi Austria | baca lagi

Mungkin anda berasa lucu dengan senario yang dipaparkan di sini. Ini kerana anda memikirkan Nabi Nuh hidup seperti orang gua, bercucuk tanam dan mengembala kambing sahaja. TIDAK SAMA SEKALI. Lihatlah lukisan-lukisan misteri di dinding kuil-kuil Firaun yang menceritakan satu mitos purba tentang penghasilan tenaga elektrik siap dengan lukisan kabel bawah tanah dan filemen elektrik. Penemuan bateri purba di Iraq dan cakera padat purba Dropa (sehingga kini tidak diketahui sama ada ia berbentuk CD, CD-RW, DVD, DVD-RW atau sebagainya) di China.
Carkera padat purba yang ditemui di China

Dan yang paling menggemparkan adalah penemuan loji nuklear berusia lebih 2 juta tahun di Oklo, Afrika! Apakah maksud semua ini? Berapa umur Bumi sebenarnya? Berapa umur umat manusia sebenarnya?. Kita tidak boleh menganggarkannya berdasarkan kajian Barat (buku rujukan sejarah di Malaysia banyak merujuk kepada sumber Barat) yang dipengaruhi oleh The Hidden Hand seperti Illuminati dan Freemason. Mereka sebenarnya mempunyai sebab untuk mengelirukan umat manusia. Segala kenyataan sebenarnya amat jauh dari apa yang kita dapat bayangkan.
Maka setelah Banjir Besar, para pengikut Nabi Nuh pun bertebaranlah di muka bumi sehelai sepinggang setelah meninggalkan kehidupan moden dan canggih mereka ditelan banjir. Mereka kembali menjadi orang gua dan mula berburu, bercucuk tanam dan mengail ikan.
Seperti yang dirakamkan di dalam Al-quran:
Apakah mereka tidak memperhatikan beberapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai yang mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.
Qs.Al-An'am: 6
Di waktu-waktu malam mereka mungkin berkumpul di tepi unggun api sambil mendengar cerita orang-orang tua dikalangan mereka mengenai kehidupan moden dan canggih mereka suatu ketika dahulu seperti menaiki bas dan komuter (kebanyakan pengikut Nabi Nuh adalah miskin) dan ada juga yang pernah menaiki kereta. Mereka juga mungkin menceritakan bangunan-bangunan tinggi dan komputer.
Betapa kukuhnya binaan bahtera Nabi Nuh as ini, hinggakan binaan asalnya masih kukuh hingga kini. Gambar diatas (atas sekali) adalah satu sudut dalam bahtera Nabi Nuh, manakala gambar dibawah pula ialah bahan besi yang diperolehi daripada struktur bahtera tersebut. Gambar tersebut diiambil setelah kumpulan arkeologi dari Turki dan China berjaya memasuki bahtera Nabi Nuh as yang terdampar di puncak Gunung Ararat di Turki.

Thursday, January 20, 2011

ASAL USUL SYIAH

ASAL USUL SYIAH






Kebanyakan ahli sejarah berbeza pendapat tentang permulaan Syi’ah yang sebenarnya. Yang diketahui umum, Syi’ah adalah puak yang mendokong Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a.

Namun tidak bermakna pengikut Ali itu syi’ah dan pengikut Mu’awiah itu Sunnah. Tiada seorangpun yang bersetuju dengan kenyataan ini. Malah, semua ahli sunnah yakin bahawa dalam perselisihan yang berlaku antara dua sahabat besar itu, kebenaran berada di pihak Ali. Dan Mu’awiah, beliau telah berijtihad. Namun ijtihadnya tidak menepati kebenaran. Jelas bahawa fikrah ahli sunnah adalah memihak kepada Ali. Begitu juga prinsip-prinsip akidah dan fikrah yang dipegang oleh syi’ah bukan daripada fikrah dan prinsip akidah Ali bin Talib sama sekali. Justeru kita tidak boleh berkata bahawa syi’ah bermula pada zaman ini.

Terdapat ahli sejarah yang berkata bahawa permulaan syi’ah adalah selepas syahidnya Husain bin Ali r.a.
Pendapat ini memang berasas. Husain telah keluar dari pemerintahan (tidak mengiktiraf kekhalifahan) Yazid bin Mu’awiah. Beliau berangkat menuju ke Iraq apabila beliau dipanggil oleh sebahagian penduduknya dan berjanji akan membantunya. Namun di saat-saat akhir, mereka telah memungkiri janji. Itulah yang menjadi punca syahidnya Husain.

Setelah Husain syahid, sebahagian mereka yang mengajaknya keluar telah menyesal. Mereka bertekad untuk menghapus dosa-dosa mereka dengan mengisytiharkan diri keluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Pertempuran pun berlaku, sebahagian mereka terbunuh. Mereka inilah dikenali sebagai syi’ah. Lantaran itulah kita lihat hubungan mereka dengan Husain lebih rapat berbanding hubungan mereka dengan Ali sendiri. Pada hari ini, kita semua lihat mereka mengadakan upacara memperingati kesyahidan Husain, tetapi tidak ada sebarang upacara memperingati kesyahidan Ali.

Sungguhpun begitu, kelahiran golongan ini tidak lain hanyalah suatu gerakan politik menentang pemerintahan Bani Umayyah. Mereka tidak mempunyai prinsip-prinsip akidah atau mazhab fiqhiyyah yang berlawanan dengan ahli sunnah. Bahkan kita dapati para pemimpin angkatan pertama yang didakwa oleh orang-orang syi’ah sebagai imam-imam mereka adalah pendokong-pendokong sunnah. Semua tutur kata mereka adalah berlandaskan akidah sunnah dan prinsip-prinsipnya.
Keadaan pemberontakan boleh dikatakan reda seketika selepas beberapa bulan syahidnya Husain. Tidak lama kemudian muncul Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali r.a. Beliau merupakan antara manusia terpilih, ulamak yang zuhud. Tidak terdapat langsung kesan-kesan atau tanda-tanda perbezaan akidah dan fikrah yang dibawanya dengan apa yang dipegang oleh para sahabat dan tabi’in.
Terdapat di kalangan anak-anak Zainal Abidin dua tokoh yang sangat hebat dan sangat tinggi darjah kewarakan dan ketaqwaan mereka. Mereka adalah Muhammad al-Baqir dan Zaid. Fikrah mereka berdua juga sama sepenuhnya dengan ulamak sunnah dari kalangan sahabat dan tabi’in. kalau pun ada perbezaan hanyalah pendapat Zaid yang melihat Ali bin Talib lebih utama menjadi khalifah daripada Abu Bakar as-Siddiq. Pendapat ini, meskiupun bercanggah dengan ijmak dan bercanggah dengan hadis-hadis yang tidak terhitung banyaknya mengenai kelebihan Abu Bakar, Umar dan Uthman, namun ia bukanlah perselisihan dari segi akidah. Zaid mengiktiraf kelebihan tiga khalifah terdahulu, tetapi dia berpendapat Ali lebih afdhal. Dia juga berpendapat harus melantik khalifah di kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kepimpinan (imamah/kekhalifahan) Abu Bakar, Umar dan Uthman. Dalam nuktah yang lain daripada ini, beliau selari dengan ahli sunnah; akidah, fekah dan prinsip-prinsipnya.

Zaid meneruskan tradisi datuknya dalam menentang khilafah bani Umayyah. Penentangan beliau telah berlaku di zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik dan telah berakhir dengan beliau mati terbunuh pada tahun 122 H.

Selepas kematiannya pengikut-pengikutnya mengasaskan mazhab yang terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah, iaitu nisbah kepada namanya Zaid bin Ali. Mazhab ini, sekalipun tersenarai di dalam mazhab syi’ah tetapi ia selari dengan ahli sunnah dalam semua aspek kecuali dalam bab mengatakan Ali lebih utama daripada tiga khalifah ar-rasyidin sebelumnya. Pengikut mazhab ini bertaburan di Yaman. Mereka adalah puak syi’ah yang paling dekat dengan sunnah. Boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dalam kebanyakan perkara.
Perlu disebutkan bahawa di sana terdapat satu golongan dari pengikut Zaid bin Ali yang bertanya pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka dia mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. Para pengikutnya yang bertanya tadi tidak dapat menerima pendiriannya. Mereka enggan memohon rahmat ke atas Abu Bakar dan Umar. Lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid. Golongan ini dikenali sebagai ar-rafidhah (orang yang menolak) kerana mereka menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar dan menolak pendapat Zaid tentang kepimpinan kedua-dua tokoh besar itu. Dan dari golongan inilah yang menjadi pengasas Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu Mazhab Syi’ah yang terbesar.
Muhammad al-Baqir, saudara kepada Zaid bin Ali yang meninggal dunia sebelum Zaid selama lapan tahun, iaitu pada tahun 114H telah meninggalkan sseorang anak yang alim dan hebat, iaitu Jaafar as-Sadiq. Dia merupakan salah seorang ulamak yang berpengaruh, seorang faqih yang sangat pintar. Semua pandangannya adalah selari dengan akidah sahabat, tabi’in dan seluruh ulamak muslimin.

Di akhir pemerintahan Bani Umayyah, gerakan ‘Abbasiyyah bangkit dengan cergas. Gerakan ini berusaha mengumpul manusia untuk melakukan rampasan kuasa dari khalifah Bani Umayyah. Gerakan ini menjalinkan kerjasama dengan golongan yang berpecah dari Zaid bin Ali. Akhirnya khalifah Bani Umayyah digulingkan pada tahun 132H dan terbangunlah khilafah al-‘Abbasiyyah dengan dipimpin oleh Abi al-‘Abbas as-Saffah, kemudian Abi Jaafar al-Mansur. Golongan yang berpecah dari Zaid yang telah bekerjasama menjatuhkan khilafah Umayyah berasa keciwa kerana mereka mahukan kepimpinan dipegang oleh salah seorang dari kalangan cucu cicit Ali bin Abi Talib. Maka mereka bangkit semula untuk menggulingkan khilafah ‘Abbasiyyah dengan membentuk satu jamaah yang dikenali sebagai Talibiyyin (nisbah kepada Ali bin Abi Talib) sebagai saingan kepada puak yang dinisbahkan kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib.

Sampai ke saat ini tidak terdapat sebarang perbezaan dari segi akidah dan fiqah kecuali dalam isu Abu Bakar dan Umar. Golongan ini, iaitu yang terpisah dari Zaid bin Ali menolak mereka berdua (Abu Bakar dan Umar), malah secara terang-terangan melaknat mereka berdua.
Tahun 148H Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Beliau meninggalkan seorang putera bernama Musa al-Kazim. Musa al-Kazim juga seorang yang alim, tetapi tidak sampai ke taraf ayahnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 183H dengan meninggalkan beberapa orang anak. Antara mereka adalah Ali bin Musa ar-Ridha.

Khalifah al-‘Abbasiyyah yang terkenal, iaitu al-Ma’mun mahu mententeramkan fitnah at-Talibiyyin yang menuntut jawatan ketua untuk cucu cicit Ali bin Abi Talib. Beliau melantik Ali bin Musa ar-Ridha sebagai putera mahkota. Perlantikan ini telah mengundang bantahan yang meluas di kalangan ‘Abbasiyyin. Tetapi Ali ar-Ridha tiba-tiba mati secara mengejut. At-Talibiyyun menuduh al-Ma’mun telah membunuhnya. Maka sekali lagi timbul pemberontakan demi pemberontakan ke atas al-‘Abbasiyyin sebagaimana mereka telah lakukan ke atas Umawiyyin.

Tahun demi tahun berlalu. Akar umbi pemberontakan secara relatifnya kelihatan tenang. Dan sehingga waktu ini belum kelihatan suatu aliran keagamaan yang berlainan yang dinamakan mazhab syi’ah. Yang ada hanyalah gerakan politik yang bertujuan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan dan menentang pemerintah sedia ada kerana beberapa sebab. Namun tidak ada satupun di antara sebab-sebab yang banyak itu sebab berkaitan dengan akidah yang menjadi pegangan mazhab syi’ah sekarang.

Apa yang menarik perhatian, suara-suara mengajak keluar dari pemerintahan ‘Abbasiyyin telah tersebar begitu meluas di wilayah Parsi (Iran sekarang). Kebanyakan penduduk di daerah ini telah sekian tahun mengalami kekeciwaan kerana kejatuhan kerajaan dan raja negara Parsi yang agung. Ia telah jatuh ke tangan umat Islam dan telah menjadi sebahagian daripada empayarnya. Mereka beranggapan bahawa bangsa mereka lebih tinggi keturunannya, lebih mulia darah dagingnya, lebih mendalam tunjang sejarahnya daripada kaum muslimin. Kerana itu, muncul pula sebuah gerakan yang dinamakan asy-Syu’ubiyyah, iaitu dinisbahkan kepada suatu bangsa tertentu, bukan kepada Islam. Sebahagian mereka menzahirkan kecintaan yang berakar umbi kepada Parsi dengan segala elemen yang ada padanya termasuk api yang menjadi sembahan mereka.

Mereka sedar bahawa secara bersendirian mereka tidak akan mampu menjatuhkan kerajaan Islam, dan mereka sendiri telah menjadi muslim sejak bebarapa dekad yang lalu. Maka mereka melihat pemberontakan yang dilakukan oleh Talibiyyin sebagai satu peluang bagi memenuhi hasrat mereka. Mereka akan bergabung dengan Talibiyyin untuk menggulingkan khilafah islamiyyah yang telah menjatuhkan negara mereka sebelum ini. Pada masa yang sama mereka tidak akan meninggalkan agama Islam yang mereka telah anuti bertahun-tahun lamanya, tetapi mereka akan menyelewengkannya dengan mencampur adukkan saki baki tradisi negara Parsi yang lalu. Mereka akan menyuntik ke dalamnya apa-apa yang boleh menjamin berterusannya suasana tidak stabil di kalangan umat Islam. Mereka tidak akan memainkan peranan sebagai pucuk pimpinan, sebaliknya mereka akan berselindung di sebalik Talibiyyin yang bernasabkan Ali bin Abi Talib yang merupakan sebahagian dari Ahli Bait Rasulullah s.a.w. Ahli Bait memang mendapat tempat di hati orang ramai. Dengan cara itu dakwah mereka akan berterusan.

Demikianlah bersatunya gerakan Syu’ubiyyin Parsi dengan puak Talibiyyin dari kalangan Ahli Bait. Kesatuan ini membentuk suatu susuk yang baru yang berkembang menjadi sebuah organisasi yang berdiri sendiri, bukan sahaja bercorak politik semata-mata, malah bercorak keagamaan juga.

Kembali kepada silsilah keturunan Talibiyyin, kita dapati setelah kewafatan Ali ar-Ridha yang dipilih oleh al-Ma’mun sebagai putera mahkota, muncul anaknya Muhammad al-Jawad. Kemudian Muhammad al-Jawad meninggal dunia pada tahun 220H. Muncul pula selepasnya anaknya yang bernama Ali bin Muhammad al-Hadi. Ali meninggal pada tahun 254H. muncul anaknya al-Hasan bin Ali yang mendapat gelaran al-‘Askariy. Beliau mati secara mengejut pada tahun 260H. Baliau tidak mempunyai anak kecuali seorang yang masih kecil berusia lima tahun, bernama Muhammad.

Dalam tempoh beberapa tahun berlalu, gerakan pemisah yang merupakan gabungan sekumpulan ahli bait dan sekumpulan syu’ubiyyin Parsi, mereka menyerahkan pucuk pimpinan kepada anak sulung kepada pemimpin Talibiyyin, bermula dari Ali ar-Ridha dan berakhir kepada al-Hasan al-‘Askariy. Adapun pemimpin sebelum Ali ar-Ridha seperti ayahnya Musa al-Kazim atau datuknya Jaafar as-Sadiq atau moyangnya Muhammad al-Baqir, tidak pernah memimpin mana-mana gerakan pemberontakan, sama ada ke atas pemerintahan Umawiy atau ‘Abbasiy.
Semasa kematian al-Hasan al-‘Askariy pada tahun 260H, puak pemberontak berada dalam kebingungan; siapakah yang akan dilantik sebagai pemimpin mereka? Al-Hasan al-‘Askariy hanya meninggalkan seorang anak yang masih kecil. Keadaan bertambah kusut apabila anak yang kecil ini ikut meninggal dunia secara tiba-tiba. Keadaan ini menjadikan puak pemberontak berpecah kepada beberapa kelompok yang sangat banyak. Setiap kelompok berbeza antara satu sama lain dari semua sudut: fikrah, syari’ah dan akidah.

Kumpulan yang paling masyhur dari kalangan kelompok ini adalah al-Ithna ‘Asyariyyah. Inilah kelompok yang wujud sekarang di Iran, Iraq dan Lubnan. Dan inilah kelompok syi’ah yang paling besar pada masa kini.

Para pemimpin golongan ini mula menempelkan kepada Islam perkara-perkara yang bersesuaian dengan situasi yang mereka hadapi waktu itu dan perkara-perkara yang menjamin kelangsungan gerakan mereka, khususnya di kala ketiadaan pemimpin bagi kumpulan mereka
Sesungguhnya mereka telah menokok tambah ke dalam agama Islam perkara-perkara bid’ah yang sangat berbahaya. Mereka mendakwa apa yang ditokok tambah itu merupakan bahagian yang tidak terpisah dari Islam. Dan bid’ah-bid’ah itu akhirnya menjadi akidah yang membentuk susuk tubuh mereka. Antara bid’ah itu ada yang secara khusus berkaitan dengan imamah (kepimpinan dalam agama). Mereka mahu menyelesaikan masalah ketiadaan pemimpin pada masa itu, maka mereka berkata pemimpin hanyalah 12 orang sahaja. Pemimpin-pemimpin itu secara tertibnya adalah terdiri dari:
1. Ali bin Abi Talib
2. Al-Hasan bin Ali
3. Al-Husain bin Ali
4. Ali Zainal Abidin bin al-Husain
5. Muhammad al-Baqir bin Zainal Abidin
6. Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir
7. Musa al-Kazim
8. Ali ar-Ridha
9. Muhammad al-Jawad
10. Ali al-Mahdi
11. Muhammad al-Mahdi
12. Al-Hasan al-‘Askariy

Dari sini kumpulan ini dikenali sebagai al-Ithna ‘Asyariyyah. Dan untuk memberikan pentafsiran terhadap berakhirnya imam-imam, mereka mendakwa bahawa anak kecil Muhammad bin al-Hasan al-‘Askariy sebenarnya tidak mati. Bahkan dia berada di tempat persembunyian di atas bukit. Dan dia masih hidup sampai sekarang (kini sudah lebih 1000 tahun). Dan suatu hari nanti dia akan kembali memerintah dunia. Pada pegangan mereka, dia itulah al-Mahdi al-Muntazar. Mereka mendakwa juga bahawa Rasulullah s.a.w. telah berwasiat dengan menyebut nama-nama imam yang 12 itu, tetapi para sahabat menyembunyikannya. Kerana itulah mereka mengkafirkan para sahabat keseluruhannya atau memfasiqkan sebahagian daripada mereka. Alasannya ialah para sahabat telah menyembunyikan wasiat mengenai nama-nama imam mereka. Kemudian mereka memasukkan ke dalam Islam konsep perwarisan dalam sistem pemerintahan. Menurut mereka, imam mestilah dilantik dari kalangan anak lelaki yang sulung bermula daripada Ali bin Abi Talib diikuti dengan imam-imam selepasnya. Fahaman seperti ini, seperti sedia maklum, tidak ada dalam ajaran Islam. Sehingga negara-negara Islam yang diperintah oleh ahli sunnah yang mengamalkan sistem perwarisan seperti dinasti umayyah, ‘abbasiyyah, saljuqiyyah, ayubiyyah dan uthmaniyyah, mereka tidak pernah mendakwa bahawa perwarisan ini adalah ajaran agama. Mereka tidak pernah berkata bahawa khalifah mesti dilantik dari kalangan ahli keluarga tertentu sahaja.

Syi’ah juga telah memasukkan fahaman yang berasal dari ajaran Parsi mengenai masalah mentaqdis (memuja) ahli keluarga pemerintah. Mereka mendakwa imam-imam adalah maksum dan semua imam-imam yang telah disenaraikan nama-nama mereka itu terpelihara dari kesalahan dan dosa. Natijahnya mereka mengambil kata-kata imam itu seperti al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Bahkan kebanyakan kaedah-kaedah fiqh dan asas-asas perundangan mereka sekarang adalah berlandaskan kata-kata imam-imam mereka, sama ada kata-kata itu benar-benar pernah dilafazkan oleh imam-imam itu atau dinisbahkan kepada mereka secara palsu. Dan lebih daripada itu, al-Khomaini, pemimpin revolusi Iran telah menulis di dalam kitabnya ‘Al-Hukumah al-Islamiyyah” (kerajaan Islam): “…. Sesungguhnya antara asas penting dalam mazhab kita ialah: bagi imam-imam kita maqam (kedudukan) yang tidak dicapai oleh malaikat muqarrabin dan tidak dicapai oleh nabi yang mursal (yang diutus)!! Mereka sangat memusuhi semua sahabat (kecuali segelintir yang bilangannya tidak lebih dari 13 orang). Permusuhan ini termasuklah terhadap sebahagian daripada ahli bait seperti al-‘Abbas bapa saudara Rasulullah s.a.w. dan puteranya Abdullah bin al-‘Abbas r.a. Dan sebab mereka memusuhi dan mengkafirkan dua beranak ini adalah perselisihan antara kumpulan Ithna ‘Asyariyyah dengan khilafah al-‘Abbasiyyah.

Antara bid’ah mereka juga, mereka menghukum kebanyakan negeri-negeri Islam sebagai negeri kafir. Mereka mengkafirkan penduduk Mekah dan Madinah, Syam dan Mesir. Mereka mengeluarkan kata-kata yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama. Kata-kata ini terdapat di dalam sumber rujukan mereka yang asli seperti al-Kafi, Bahr al-Anwar, Tafsir al-Qummiy, Tafsir al-‘Ayyasyi, al-Burhan dan lain-lain.

Ekoran dari itu mereka menolak semua ulamak sunnah. Mereka menolak kitab-kitab hadis dan sunnah yang sahih. Bagi mereka, tiada Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, dan an-Nasaei. Tiada Abu Hanifah, Malik, asy-Syafiei atau Ahmad bin Hanbal. Demikian juga, tidak ada pada mereka Khalid bin al-Walid, Sa’ad bin Abi Waqqas, Umar bin Abdul Aziz, Musa bin Nusair, Nurud-Din Mahmud, Salahud-Din, Qataz, Muhammad al-Fatih dan sebagainya.

Oleh kerana mereka telah menolak sahabat r.a., at-Tabi’in, kitab-kitab hadis dan tafsir, maka mereka berpegang dengan kata-kata yang nisbahkan kepada imam-imam mereka. Kata-kata itu dari segi periwayatannya amat-amat lemah. Lantaran itu juga lahir di kalangan mereka bid’ah–bid’ah yang munkar dengan begitu banyak sekali sama ada dalam bab akidah, ibadah, muamalah dan lain-lain. Bukan tujuan kita di sini untuk menghitung bid’ah mereka kerana itu memerlukan penulisan yang berjilid-jilid. Tujuan kita hanya sekadar untuk menunjukkan punca masalah sahaja agar senang bagi kita memahami natijah daripadanya. Sesungguhnya bid’ah yang dicetuskan oleh mereka tidak terhitung banyaknya. Antaranya taqiyyah, raj’ah, tuduhan yang mengatakan al-Quran diselewengkan, upacara memperingati hari syahidnya al-Husain bin Ali dan banyak lagi.

Apa yang diperkatakan di atas adalah sebahagian daripada fikrah firqah Ithna ‘Asyariyyah. Di sana terdapat banyak lagi firqah yang muncul pada masa itu, khususnya masa yang dikenali sebagai ‘hirah asy-syi’ah’ (kebingungan syi’ah) yang bermula pada pertengahan kurun ke tiga hijriyyah, selepas kewafatan al-Hasan al-‘Askariy (Imam mereka yang ke 12)

Bermula dari zaman itu lahirlah kitab-kitab dan karangan-karangan yang ditulis untuk memperteguhkan fikrah dan akidah mereka. Fahaman mereka tersebar dengan meluasnya di negeri Parsi khasnya dan di negeri-negeri Islam lain amnya. Namun tidak ada negara yang didirikan pada masa itu menjadikan fikrah ini sebagai asas kerajaannya secara rasmi. Tetapi pada akhir kurun ke 13 hijriyyah dan permulaan kurun ke 14, dengan beberapa kejadian dan perkembangan yang berlaku mereka dapat telah sampai ke tampok pemerintahan di sesetengah negara umat Islam.

Saturday, December 4, 2010

:: Selamat Menyambut Maal Hijrah ::

Hijrah..jalan para nabi


Oleh: Syikh Hijazi Ibrahim
Hijrah adalah ketentuan Allah kepada para nabi dan rasul. Nabi saw telah memberitahu hal ini semasa di permulaan penurunan wahyu dan semasa Khadijah r.a dan nabi saw pergi menemui Waraqah bin Naufal. Khadijah r.a telah berkata kepada Waraqah: “Wahai sepupu ku, dengarlah dari anak saudaramu”. Lalu Warqah bertanya nabi saw: “Wahai anak saudaraku, apakah yang kamu lihat?”. Lantas Rasul saw memberitahu apa yang ia lihat. Kemudian Waraqah menjelaskan: “Inilah Namus (malaikat Jibril) yang Allah turunkan kepada Musa. Wahai Muhammad, saya harap saya masih muda lagi ketika itu. Saya harap saya masih hidup ketika kaum mu mengeluarkan kamu dari negeri ini”. Lalu Rasulullah saw bertanya: “Adakah mereka akan mengeluarkan saya?”. Jawab Waraqah: “Ya. Tiada seorang pun yang dating seperti apa yang kamu bawakan melainkan saya cuba membiasakannya. Saya tahu kamu akan mengecapi kemenangan. Nabi saw mengharapkan mereka tidak mengeluarkannya, kerana beliau tiada alasan untuk dihalau keluar disebabkan pada dirinya terkandung akhlak-akhlak terpuji seperti yang pernah digambarkan oleh Khadijah dalam satu kenyataannya:

“Sesungguhnya engkau seorang yang menghubungkan silaturrahim, menolong semua orang, memenuhi keperluan orang yang miskin, melayani tetamu, membela nilai-nilai yang benar”. (Fath al-Bari)

Ibn Daghnah juga telah berhujah dengan sifat seperti itu supaya Abu Bakar tidak keluar dari Mekah. Namun Waraqah menyatakan sebab nabi dihalau ialah kerana kedatangannya kepada mereka adalah untuk memindahkan mereka dari persatuan mereka. Waraqah mengetahui dari kitab-kitab bahawa mereka tidak menerima nabi dan sudah semestinya nabi menghadapi tentangan dan permusuhan mereka. (Fath al-Bari)

1.Contoh-contoh hijrah para rasul:

Tiada satupun dari rasul melainkan ia akan berhijrah, kerana para rasul mengajak kaum mereka kepada iman dan menyatakannya dengan hujah, bukti dan dalil serta menggunakan segala pendekatan dan cara. Walaupun menggunakan hikmah dan pengajaran yang baik, namun kaum mereka menutup dan memekakkan teliga mereka, menutup akal mereka dari dakwah rasul. Ini menyebabkan para rasul terpaksa meninggalkan mereka dan berhijrah dari tempat mereka untuk mencari negeri yang baik yang sedia menerima nilai-nilai kebaikan, mengangkat pohon-pohon iman dan mengeluarkan buah-buahnya. Di antara rasul-rasul ini ialah;

1. Nabi Nuh a.s: berhasrat untuk berhijrah setelah berdakwah kepada kaumnya siang dan malam, secara sembunyi dan terang. Di samping mereka tidak menyambut dakwah nabi Nuh, malah mereka berterusan kufur dan lari dari keimanan. Justeru bahtera yang membawa orang-orang yang beriman telah berada di Gunung Jodi selepas Allah binasakan orang-orang kafir dan menenggelamkan mereka.

2. Nabi Ibrahim a.s: kerana telah berhijrah dari negeri Iraq ke negeri Syam. Malah kehidupan nabi Ibrahim merupakan siri-siri pengembaraan kerana telah melakukan perjalanan dari Syam ke Mesir, kemudian kembali ke Palestin, kemudian melakukan perjalanan ke Mekah bersama anaknya Ismail.a.s dan isterinya Hajar di satu lembah yang tiada tanaman berdekatan Baitullah di Tanah Haram.

3.Nabi Lut a.s: kerana kaumnya telah menolak dakwahnya yang mengajak kepada membersihkan diri dari perkara keji (liwat) yang tidak pernah dilakukan oleh kaum terdahulu di dunia ini. Lalu Allah memerintahkan Lut supaya keluar dari kampung yang dipenuhi dengan kejahatan dan kemaksiatan sebelum Allah menurunkan azabnya. Allah berfirman kepada nabi Lut dan nabi Ibrahim a.s:

“Dan kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang kami Telah memberkahinya untuk sekalian manusia”. (Al-Anbiaya’: 71)

Firman Allah:

“74. Dan kepada Luth, kami Telah berikan hikmah dan ilmu, dan Telah kami selamatkan dia dari (azab yang Telah menimpa penduduk) kota yang mengerjakan perbuatan keji. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat lagi fasik”. (Al-Anbiya’: 74-75)

4. Nabi Musa a.s: Kisah hijrah baginda dengan kaumnya telah diketahui umum. Al-Quran telah menceritakannya lebih dari satu tempat, yang mana nabi Musa dan kaumnya telah menyeberangi laut dan membinasakan Firaun dan tenteranya.

5. Penutup rasul dan nabi iaitu Muhammad saw: Gerakan dakwahnya di Mekah begitu terhimpit, baginda dan para sahabatnya sentiasa ditimpa pelbagai siksaan. Lalu nabi telah menyuruh sebahagian sahabatnya berhijrah ke Habsyah. Tinggallah baginda di Mekah sehingga datang perintah dari langit supaya berhijrah ke Madinah dan kami telah membincangkan tentangnya.

2. Jenis-jenis hijrah

Menurut Ibn al-Arabi: Para ulamak membahagikan bepergian di muka bumi kepada dua bahagian: Iaitu Lari dan memenuhi keinginan.

Lari dipecahkan kepada enam bahagian pula:

1.Hijrah, iaitu keluar dari Dar al-Harb (negeri kafir harbi)ke Dar al-as-Salam (negeri orang Islam). Hal ini wajib pada situasi nabi saw dan hijrah ini juga kekal wajib sehingga hari kiamat dan berakhir dengan pembukaan Kota Mekah yang ditujukan kepada nabi saw. Namun hukum ini kekal di negeri “Dar al-Harb” dan sedikir perbezaan keadaannya.

2.Keluar dari negeri bid’ah. Menurut Ibn al-Qasim: Saya dengar Imam Malik pernah berkata: Tidak dibenarkan tinggal di negeri yang mengeji golongan Salaf”.

3.Keluar dari negeri yang dipenuhi dengan perkara yang diharamkan, kerana mengingini perkara yang halal adalah wajib bagi setiap muslim.

4.Lari dari penyiksaan pada tubuh badan. Inilah kurniaan dari Allah yang memberi rukhsoh (keringanan). Apabila tercetus kebimbangan tentang keselamatan dirinya, maka Allah membenarkan keluar dari negerinya dan lari meninggalkannya untuk membebaskan dari kebimbangan itu.

Orang yang pertama melakukannya ialah nabi Ibrahim a.s iaitu apabila bimbangkan kaum. Nabi Ibrahim telah berkata:

“Sesungguhnya Aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku)”. (Al-Ankabut: 26)

“ Dan Ibrahim berkata:"Sesungguhnya Aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan dia akan memberi petunjuk kepadaku”. (As-Shaffat: 99)

Allah memberitahu tentang Musa:

“Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut menunggu-nunggu dengan khawatir”. (Al-Qashah: 21)

“Lalu Aku lari meninggalkan kamu ketika Aku takut kepadamu”. (As-Syu’ara’: 21)
.
5.Takut penyakit akan berjangkit dan keluar ke negeri yang bebas dari jangkitan

Nabi telah membenarkan para pengembala ketika mereka diserang wabak di Madinah supaya keluar ke tempat ternak dan mereka tinggal di situ sehingga pulih. Namun bagi wabak taun dikecualikan dari keluar kerana Allah telah melarangnya melalui hadith sahih dari nabi saw.

6.Lari kerana takut mengancam harta, kerana kehormatan harta seorang muslim sama seperti kehormaan darahnya dan keluarganya.

Bagi bahagian memenuhi keinginan, terdapat pelbagai jenis yang boleh dipecahkan kepada 9 bahagian:

1.Bermusafir untuk mendapat pengajaran. Firman Allah:

“Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka?”. (Ar-Rum: 9)

Dikatakan Zulqarnain telah mengelilingi dunia untuk melihat keajaibannya. Ada pendapat mengatakan untuk menyebarkan kebaikan di dunia.

2.Bermusafir kerana mengerjakan haji..

3.Bermusafir kerana berjihad dan ia mempunyai hukum-hukum tertentu.

4.Bermusafir kerana mendapatkan keperluan hidup. Diberi kebenaran kepada lelaki yang mencari keperluan hidup dengan terus menetap di mana ia hanya keluar jika memenuhi keperluannya seperti berburu, mencari kayu api atau bahan bakar kerana ianya wajib baginya.

5. Bermusafir kerana menjalankan perniagaan dan memperolehi pendapatan tambahan. Hal ini harus kerana kurniaan Allah. Firman Allah:

“Tidak ada dosa bagimu untuk mencari karunia (rezki hasil perniagaan) dari Tuhanmu”. (Al-Baqarah: 198)

Iaitu perniagaan yang merupakan nikmat dari Allah semasa dalam perjalanan haji.

6.Bermusafir kerana menuntut ilmu. Inilah yang paling terkenal sekali.

7.Bertujuan menjelajah. Sabda nabi saw:

“Jangan kamu mulakan perjalanan melainkan menuju ke tiga masjid”. (Bukhari)

8.Pergi ke medan pertempuran dan mempertahankan dari serangan musuh.

9.Menziarahi saudara-saudaranya kerana Allah. Sabda nabi saw:

“Seorang lelaki telah menziarhi saudaranya di suatu kampong. Lalu Allah telah mengirimkan malaikat untuk menyoalnya. Lalu malaikat bertanya: Ke mana tujuan kamu? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarhi saudaraku di kampong ini. Malaikat bertanya lagi: Adakah kamu memperolehi sesuatu kepentingan darinya?. Jawab lelaki itu lagi: Tidak ada apa-apa kepentingan. Aku menziarahinya kerana aku mengasihi Allah. Lalu malaikat menjelaskan: “Sesungguhnya aku telah diutus Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah mengasihimu sebagaimana kamu mengasihi saudaramu”. (Muslim)

3. Balasan kepada orang-orang berhijrah (Muhajirin) di dalam al-Quran:

Al-Quran telah menyatakan balasan baik yang Allah janjikan kepada orang-orang yang tertindas (mustadh’afin) di muka bumi, mereka telah dilarang dari menetap di negeri kelahiran mereka dan dibesarkan di sana.

Allah swt telah menjanjikan balasan kepada mereka di dunia dan pahala yang besar yang tersedia di akhirat. Firman Allah:

“41. Dan orang-orang yang berhijrah Karena Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan Sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui,42. (yaitu) orang-orang yang sabar dan Hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal. (An-Nahl: 41-42)

Balasan baik di dunia menurut kitab tafsir ada enam pendapat:

1.Tiba di Madinah
2.Rezeki yang baik
3.Kemenangan ke atas musuh mereka.
4.Pertuturan yang baik dengan pujian yang mulia kepada orang yang dating kemudian, seperti doa nabi Ibrahim a.s:

“Dan jadikanlah Aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) Kemudian”. (As-Syuara’: 84)

5.Berjaya membuka begeri-negeri yang baru dan kini mereka mempunyai banyak wilayah-wilayah.
6.Kekal mendapat kepujian untuk mereka di dunia dan anak-anak mereka terus mendapat kemuliaan.

Semua itu telah dihimpunkan untuk mereka dengan kurniaan Allah. Segala puji hanya bagi Allah.

Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a, bahawa apabila beliau memberi sedekah kepada lelaki dari kalangan Muhajirin, beliau akan berkata;

“Ambillah..Allah memberkati kamu. Inilah yang dijanjikan Allah di dunia. Ingatlah kurniaan Allah di hari akhirat adalah lebih besar jika kamu mengetahui”. (al-Dur al-Mantsur: 4/221)

Tentang balasan orang-orang yang berhijrah dan bersabar pada jalan Allah di akhirat;

Allah swt telah berfirman:

“58. Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, Kemudian mereka di bunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezki yang baik (surga). dan Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezki.59. Sesungguhnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam suatu tempat (syurga) yang mereka menyukainya. dan Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun. (Al-Hajj: 58-59)

Dari Salman al-Farisi: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang mati di atas kuda kerana berjuang di perbatasan, maka Allah memberikan ganjaran ke atasnya seperti pahala berjihad, membalasnya dengan rezeki, selamat dari fitnah dan bacakan mengikut kehendakmu: “Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, Kemudian mereka di bunuh atau mati”. (Al-Hajj: 58) (Ad-Dur al-Mantsur: 4/664)

Dari Fadhalah bin Ubaid al-Ansori seorang sahabat: Pada satu ketika tentera Islam melalui dua jenazah; seorang terbunuh dan yang lain meninggal dunia. Ramai yang cenderung kepada jenazah yang terbunuh. Lalu Fadhalah berkata: Apakah yang mendorong ramai orang memilih jenazah itu dan meninggalkan jenazah ini? Mereka menjawab: Ini adalah kenazah yang terbunuh pada jalan Allah. Lalu Fadhalah menyatakan: Saya tidak mempedulikan sebab jenazah ini mati. Dengarlah Allah berfirman: Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, Kemudian mereka di bunuh atau mati, dan “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi Ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak”. (An-Nisa’: 100)..tempat hijrah yang bertukar dari satu negeri ke satu negeri yang lain dan mendapat rezeki yang melimpah. (Ad-Dur al-Mantsur: 2/368)

Janji Allah untuk memberikan balasan baik terus kekal kepada orang yang ditekan dan ditindas di negeri dan tanair mereka dan berasa sukar untuk menyempurnakan iabadah kepada Allah, maka keluarlah dengan rela atau benci.

Janji Allah terus kekal kepada mereka dengan mengurniakan rezeki yang luas dan lapang di dalam hidup ini di samping balasan yang besar di akhirat nanti.

Allah menyempurnakan janji kepada mereka yang berhijrah kerana mereka tidak memperolehi keamanan di negeri mereka dan kerana dapat hidup dengan penuh kelapangan di negeri tempat hijrah kerana janji Allah itu benar. Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janjiNya.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=43688&SecID=363