Wednesday, November 11, 2009

PENJELASAN TERHADAP ISU DR ASRI

PERNYATAAN PENDIRIAN

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

11 November 2009/23 Zulkaedah 1430

PENJELASAN TERHADAP ISU DR ASRI

Isu yang berkisar tentang Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan PGSM masih belum menemui jalan penyelesaian. Dalam pada itu, pelbagai kekeliruan timbul tentang pendirian NGO Islam terhadap isu berkenaan. Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ingin membuat beberapa penjelasan dan mengemukakan cadangan.

1. JIM tetap berpendirian bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan NGO Islam yang lain bersetuju memberikan pandangan kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong supaya Dr Mohd Asri tidak dilantik sebagai YDP YADIM. Berdasarkan pendirian inilah JIM turut disenaraikan sebagai penyokong memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.

2. Walau bagaimanapun, JIM tidak selesa dan kesal dengan beberapa pertuduhan terhadap Dr Mohd Asri yang terdapat dalam memorandum tersebut. Ia seharusnya memerlukan kepada proses yang berhemah dan berhati-hati tanpa menzalimi mana-mana pihak. JIM tidak menerima deraf memorandum sebelum dihantar kepada Yang DiPertuan Agong. Pendirian JIM ini telah disampaikan dalam mesyuarat NGO-NGO Islam pada 6 November 2009.

Oleh itu JIM mengambil sikap “tawakuf” yakni berkecuali buat masa ini (“suspend judgement”), terhadap segala tuduhan yang ditimbulkan dalam memorandum tersebut.

3. Sehubungan itu, JIM dan semua NGO Islam yang lain telah bersepakat dalam mesyuarat pada 6 November 2009 supaya menumpu kepada jalan penyelesaian dengan diadakan satu majlis permuafakatan atau dailog ilmiah secara bersemuka dan tertutup agar hujah-hujah dapat disampaikan dalam suasana yang baik dan tenang serta dalam semangat mengangkat kekeliruan umat terhadap isu tersebut.

4. Turut dicadangkan ialah majlis tersebut dimudahcara oleh tokoh agama dan cendiakawan Islam yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Malah JIM bersedia mengambil inisiatif mengaturnya. JIM berharap kaedah ini boleh merungkai permasalahan dan inilah tuntutan Allah swt dalam Al-Qur’an, surah An-Nisa’ ayat ke-59.

5. Kehadiran JIM dalam sidang media bersama PGSM pada 6 November 2009 adalah untuk menjelaskan perkara 3 dan 4 di atas. Perlu ditegaskan bahawa JIM tidak terbabit dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh PGSM pada hari tersebut walaupun dilihat bersama semasa sidang media. Pada sidang media tersebut, JIM telah mengeluarkan kenyataannya sendiri yang turut dipersetujui NGO Islam yang lain dengan menyebutkan perkara 3 dan 4 di atas.

HJ ZAID KAMARUDDIN

Presiden JIM

Wednesday, November 4, 2009

Apa Makna IKHSAN kepada ibubapa ?

Apa makna IHSAN kepada ibubapa?

Posted by Tajul Arifin bin Che Zakaria




Assalamualaikum wrt. wbt.

Mutaakhir ini timbul beberapa kekeliruan terhadap perkara yang dulunya mudah, tetapi kini menjadi sukar difahami. Bukan kerana hakikat itu telah berubah, namun ia diolah oleh mereka yang berkepentingan. Disebabkan terdesak untuk memahamkan orang tentang kaitan peristiwa atau isu yang telah berlaku, maka hakikat tersebut terpaksalah diterangkan dan diolah selari dengan kepentingan berkenaan. Jangan tertipu dengan apa yang diperkatakan, mari kita kembali kepada nas asal yang memperkatakan tentang itu.

Apa makna IHSAN kepada ibubapa?

1. Merujuk kepada ayat 23-24 dari Surah al-Isra' Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah"** dan janganlah kamu membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah.."Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecilku."

** mengucapkan kata "ah" kepada orang tua tidak dibolehkan, apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Di dalam ayat di atas ada 10 permasalahan:

1. Qadho - ialah suruhan wajib untuk menyembah Allah swt iaitu Allah Ta'ala telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya.

2. Allah swt memerintahkan agar manusia menyembahNya dan mentauhidkanNya disertakan dengan berbuat ihsan kepada kedua ibubapa, sama seperti bersyukur kepada Allah swt. disertakan dengan berterimakasih kepada kedua ibubapa. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abdullah ra, katanya: "Aku bertanya Nabi saw apakah amal yang paling disukai oleh Allah?" Nabi menjawab: "Solat dalam waktunya." Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?". Nabi saw menjawab: "Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibubapa." Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?" Nabi saw menjawab: "Berjihad fi sabilillah."

Lihatlah betapa pentingnya ihsan kepada kedua ibubapa sehingga Nabi saw menjadikan 'birrul walidaini' -berbuat baik kepada ibubapa- seafdhal2 amal selepas solat yang merupakan tiang agama yang terpenting.

3. Di antara makna 'birrul walidaini' dan 'ihsan' kepada kedua ibubapa ialah bahawa jangan seseorang itu menderhaka kepada kedua2nya kerana ia termasuk daripada dosa-dosa besar (kabaair) tanpa khilaf. Perkara ini ditegaskan oleh sunnah thabitah. Di dalam sahih Muslim daripada Abdullah ibn Amru bahawa Rasulullah saw telah bersabda: "Sesungguhnya dikira daripada kabaair itu berkata kesat (memaki) seorang lelaki terhadap kedua ibubapanya. Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah saw adakah orang yang akan berbuat demikian kepada ibubapanya?" Rasulullah saw menjawab: "Ya, boleh berlaku bila seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada bapa orang lain, lalu orang tadi membalas dengan memaki ibu dan bapanya."

4. Termasuk derhaka kepada ibubapa ialah menyalahi kehendak kedua-duanya dalam perkara yang diharuskan oleh syara', sama halnya 'birrul walidaini' bermakna membuat sesuatu yang disukai oleh kedua-duanya. Berdasarkan kenyataan di atas apabila kedua-dua ibubapa menyuruh sesuatu perkara kepada anaknya, maka menjadi kewajipan ke atas anak itu mentaatinya selagimana suruhan itu dalam perkara yang bukan maksiat.

5. Imam Tarmizi meriwayatkan daripada ibnu Umar ra katanya: "Saya ada seorang isteri yang saya amat kasih, tetapi ayah saya membencinya dan menyuruh aku menceraikannya, lalu aku enggan. Aku mengadu kepada Rasulullah saw, lalu baginda saw bersabda: " Wahai Abdullah ibnu Umar! Ceraikan isterimu itu." (Hadith Hasan lagi Sahih).

6. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: "Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: "Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?" Nabi saw menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Bapa kamu."

Dalam hadith ini menunjukkan kasih kepada ibu 3 kali ganda melebihi kasih kepada bapa kerana Nabi saw menjawab tiga kali ibu dan bapa disebut yang keempat.

7. Tidak dikhususkan 'birrul walidaini' hanya kepada ibubapa yang muslim sahaja, bahkan wajib berbuat baik kepada kedua-duanya sekalipun mereka kafir.

8. Termasuk yang dimaksudkan 'ihsan' kepada kedua-dua ibubapa ialah apabila tidak sampai ke tahap jihad menjadi fardhu ain, ia mestilah mendapat keizinan daripada ibubapa untuk keluar berjihad; tidak boleh keluar berjihad kalau ibubapa tidak memberi izin. Ini berdasarkan hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ra katanya: "Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw meminta izin untuk berjihad, maka Nabi saw bertanya: "Adakah kedua ibubapamu masih hidup?" Dia menjawab masih hidup, lalu Nabi saw bersabda: "Maka untuk kedua-dua ibubapamu hendaklah kamu berjihad." (Riwayat Muslim).

Di dalam riwayat yang lain lelaki tadi menjawab: "Ya, masih hidup dan aku meninggalkannya dalam keadaan kedua-duanya menangis. Nabi saw bersabda: "Pergi kamu, maka usahakan supaya kedua-duanya ketawa sebagaimana kamu telah membuat kedua-duanya menangis."

Dalam riwayat yang lain lagi.... Nabi saw bersabda: "Tidur kamu bersama kedua ibubapa kamu di atas tilamnya lalu kamu berusaha menjadikan kedua-duanya ketawa dan kamu pula bergurau senda dengan mereka lebih afdhal daripada kamu berjihad bersama aku."

9. Ulama' berselisih adakah apabila ibubapa musyrik diperlukan keizinan daripada kedua-duanya untuk berjihad (jihad kifayah)?

Imam Thauri berpendapat perlu, tetapi Imam Syafei berpendapat tidak perlu.

10. Sebagai penyempurna dalam 'birrul walidaini' ialah menghubungkan silaturrahim dengan mereka yang pernah bersahabat dengan ibubapa...

Semoga bermanfaat untuk direnung oleh anak-anak yang beribu dan berbapakan da'ie -para pendakwah- di jalan Allah swt. Jangan lupa hukum dalam melakukan dakwah dan jihad, nanti antum juga yang menyesal suatu hari nanti. Ingatlah kisah 'Alqamah yang tidak mampu mengucap syahadah dek kerana dia melebihkan si isterinya daripada ibu sendiri. Ibunya memendam rasa di hati, namun tidak diluahkan... Bagaimana ibu-ibu dan bapa-bapa yang kini berada dalam bahtera dakwah yang diketahui kebaikannya tiba-tiba anak sendiri yang mengherdik dan merendahkannya; bukankah itu menderhaka namanya??? Fikir-fikirkanlah di atas iman dan amal kata sahabat kita dari Jamaah Tabligh....

Sila rujuk - al-Jaami' Li Ahkaamil Quran oleh Imam al-Qurthubi, jilid ke5, m/s 155-157, cetakan ke6 tahun 1996 Darul Kutub al-Ilmiyah.