Monday, August 8, 2011

KISAH PARA TABIIN: Uwais al Qarni, penghuni langit

KISAH PARA TABIIN: Uwais al Qarni, penghuni langit













Uwais al-Qarni adalah di kalangan tabi’in (hidup selepas kewafatan Rasulullah SAW, dan bertemu dengan para sahabat). Sejak dilahirkan beliau berpenyakit sopak dan ayahnya telah meninggal dunia. Ibunyalah yang menjaganya sejak kecil sehingga beliau dewasa.

Uwais al Qarni adalah seorang tabiin yang namanya disebut di dalam wasiat Baginda SAW yang disampaikan kepada Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali KaramAllahu wajhah. Baginda SAW berpesan:

“Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman dan dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Lalu Saidina Umar dan Saidina Ali bertanya: “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi SAW menjawab: “Kamu minta kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah (SWT) agar Allah (SWT) ampunkan dosa-dosa kalian”.

Setelah Baginda SAW wafat, Saidina Umar dan Ali menunggu-nunggu kafilah yang datang dari arah Yaman. Sehingga akhirnya mereka bertemu dengan Uwais al-Qarni.

Jika dilihat dari pandangan orang biasa, Uwais al-Qarni tiada ciri-ciri istimewa kerana dari pandangan luaran beliau seperti orang yang tidak sempurna akal, tetapi beliau ada sesuatu yang kita tidak ketahui..

Kisah Uwais al-Qarni

Beliau mempunyai seorang ibu yang sudah uzur dan lumpuh. Ibunya mempunyai hajat untuk menunaikan haji di Mekah. Namun dengan kudrat yang sebegitu, ibu Uwais tidak mampu untuk ke Mekah berjalan seorang diri. Lalu dia mengutarakan hasratnya kepada Uwais supaya mengikhtiarkan sesuatu agar dia boleh dibawa ke Mekah menunaikan haji.

Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibunya semakin tua, lalu ibunya berkata: “Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat satu ilham... Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit).

Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu itu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu lagi turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang ramai mengatakan dia gila. Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit.

Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20 kilogram, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100 kilogram. Otot-otot tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100 kilogram turun dan naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya.

Dibelakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100 kilogram boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50 kilogram.

Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Pulang sahaja ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”.

Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah (SWT) mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu”.

Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga”.

Ibunya berkata lagi: “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah (SWT) hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”.

Uwais kata" “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah (SWT) yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah (SWT), seperti saya tidak bersyukur dengan Allah (SWT) Ta’ala”.

Ibunya menambah: “Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibu dia minta supaya Allah (SWT) sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa:

“Tolonglah Ya Allah (SWT) kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit”.

Maka, Allah (SWT) memakbulkan doanya dan menghilangkan penyakit sopak di seluruh badannya kecuali meninggalkan setompok di bahagian lehernya. Dan tanda itulah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali untuk mengenali Uwais al-Qarni.

Setelah ibunya meninggal, Uwais menjadi seorang yang soleh dan darjatnya ditinggikan sehingga dia menjadi seorang yang doanya paling makbul.

Apabila bertemu dengan Uwais al-Qarni, mereka berdua pun meminta Uwais mendoakan supaya dosa mereka berdua diampunkan, maka Uwais pun mendoakan mereka berdua.

Doa paling utama

Ibrah dari kisah Uwais al-Qarni dan pertemuannya bersama Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali menggambarkan kepada kita tentang kepentingan doa untuk kita meminta dosa kita diampunkan.

Jika dilihat secara logik, Aisyah dan Umar serta Ali merupakan orang yang sudah dijamin akan masuk syurga, tapi mengapa Baginda SAW menyuruh mereka berdoa untuk diampunkan dosa.

Justeru nak menunjukkan kepada kita tentang pentingnya doa ini. Selalu kita meminta hal-hal dunia, tetapi jarang kita menitikberatkan doa supaya dosa kita diampunkan. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang doa amat mudah dimakbulkan, Rasulullah SAW selalu berkata kepada isteri-isteri Baginda SAW dan para sahabat:

فيعجبا لمن أدرك رمضان فلا يغفر الله
“Alangkah hairannya (ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada menjelang Ramadan, apabila habis Ramadan dosa-dosanya tidak diampunkan”

Aisyah RA teringin sangat bertemu malam al-Qadr,lalu dia bertanya kepada Nabi SAW: "Bilakah berlaku malam Qadar?”

Nabi SAW bertanya kepada Aisyah RA semula: “Apa yang kamu nak buat bila kamu bertemu dengan malam Qadar?”.

Aisyah RA menjawab: “Saya tak tahu”

Kemudian Aisyah bertanya lagi: “Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan malam Qadar itu?”.

Nabi SAW berkata kepada Aisyah: “Malam itu malam yang amat baik untuk beramal di malamnya dan amat mudah dimakbul Allah (SWT) doanya”.

Aisyah bertanya lagi: “Apakah doa yang paling baik untuk aku berdoa pada malam itu?”

Nabi SAW menjawab: “ Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui malam itu ialah malam Qadar berdoalah

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني
(Allahumma innaka ‘afuwwun karimun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni)
“Ya Allah (SWT), Engkaulah Tuhan yang Maha Pengampun, Engkau sangat suka mengampun maka ampunkanlah dosa-dosa ku”


Oleh itu, doa yang paling utama dan dikesempatan Ramadhan ini, mohonlah keampunan sebanyaknya kepada Allah SWT dengan doa yang telah Nabi SAW ajarkan kepada Saidatina Aisyah RA.

Semoga amalan kita diterima dan tidak tergolong dalam golongan yang Nabi SAW katakan tentang kehairanannya apabila sudah masuk Ramadhan dosa-dosa golongan ini tidak diampunkan.

تقبل الله منا ومنكم.. آمين يا رب العالمين
Wallahu a’lam.

Kisah selanjutnya

Uwais hanyalah seorang pengembala kambing biasa. Sekali pandang, tiada apa yang istimewa tentang pemuda ini. Namun, dia mencatat sejarah hebat di kalangan manusia. Malah, baktinya yang tersembunyi mengangkat dirinya ke martabat yang amat tinggi. Sehingga Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf bahawa memang benar Uwais Al-Qarni adalah penghuni langit, bukan manusia di bumi!

Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, Uwais Al-Qarni tinggal di negeri Yaman. Hidupnya sangat fakir dan dalam keadaan yatim. Dia cuma tinggal bersama seorang ibu yang sudah tua dan lumpuh.

Malahan, ibu tua itu telah buta dan hanya bergantung harap pada Uwais untuk menguruskan kehidupannya. Di situlah mereka dua beranak meneruskan kehidupan tanpa ada sanak saudara. Walaupun miskin, Uwais kaya dengan budi bahasa dan amanah.

Justeru, dia menjadi kepercayaan orang untuk menjaga ternakan mereka pada waktu siang. Upah yang diterima hanya cukup untuk menampung makan pakai mereka sehari-hari. Jika ada terlebih, Uwais akan membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan seperti dirinya.

Selain itu, Uwais terkenal sebagai seorang anak yang taat kepada ibunya dan juga taat beribadah. Dia seringkali berpuasa dan malam hari masanya terisi dengan ibadah solat-solat sunat dan tahajud kepada Allah. Tatkala ibunya memerlukan bantuan, Uwais tidak pernah mengeluh dan akan menguruskan ibunya terlebih dahulu sebelum membuat perkara lain.

Sebenarnya, Uwais ada menyimpan satu keinginan. Dia ingin sekali berjumpa sendiri dengan Rasulullah SAW. Malah, hatinya merasa sedih setiap kali mendengar cerita jirannya yang dapat bertemu dengan Rasulullah SAW. Apakan daya, dia tidak boleh meninggalkan ibunya yang uzur dan Uwais redha dengan keadaan itu. Kecintaannya kepada Rasulullah juga bukan calang-calang.

Ketika mendengar Rasulullah SAW tercedera dan gigi Baginda patah di dalam perang Uhud, Uwais lantas mengetuk giginya dengan batu sehingga patah. Ini sebagai ungkapan cintanya kepada Nabi Muhammad SAW sekalipun dia tidak pernah bertemu dengan Baginda. Kerinduan dan kecintaan kepada Nabi SAW menyebabkan dia bertanya sendiri, bilakah dia akan bersua muka dengan kekasih Allah yang agung itu.

Tetapi seketika kemudian, Uwais kembali sedar bukankah tanggungjawab utamanya adalah berbakti kepada ibunya yang sudah uzur. Mana mungkin dia tegar meninggalkan wanita itu keseorangan. Lagipun, ibu itu amat dikasihi dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh saban hari.

Sekian waktu berlalu, kerinduan kepada Nabi SAW yang selama ini dipendamnya tak dapat ditahannya lagi. Pada suatu hari ia datang mendekati ibunya, memberitahu keinginannya dan memohon izin serta restu agar dapat pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah.

Ibunya merasa terharu mendengar permintaan Uwais dan berkata, “Pergilah wahai Uwais, Temuilah Nabi di rumahnya. Kelak, selesai berjumpa dengan Baginda, segeralah engkau pulang ke pangkuanku.”

Izin itu diterima Uwais dengan gembira. Segera dia berkemas untuk berangkat. Dia menyiapkan segala keperluan ibunya dan berpesan kepada jiran agar menemani ibunya selama dia pergi. Sesudah bersalaman dan mencium ibunya, Uwais pun berangkat ke Madinah.

Setelah melalui perjalanan yang jauh, akhirnya Uwais sampai di kota Madinah. Dia terus menuju ke rumah Rasulullah SAW dan mengetuknya. Salamnya dijawab seorang wanita. Itulah Siti Aisyah r.a. Dikhabarkan Rasulullah tidak ada di rumah kerana sedang berada di medan pertempuran. Kecewalah Uwais. Dari jauh dia datang namun Nabi tidak dapat ditemuinya.

Kerana teringatkan ibunya yang sudah tua, hati Uwais serba salah. Perlukah dia menunggu Rasulullah? Di telinganya terngiang-ngiang kata-kata ibunya yang menyuruh dia lekas pulang. Apa khabar ibunya kini? Akhirnya kerana ketaatan kepada ibunya, Uwais berangkat pulang dengan segera.

Kepada Aisyah, dititipkan pesanan dan salam untuk Rasulullah. Tidak lama kemudian, Rasululullah SAW pulang dari medan peperangan. Kedatangan Uwais disampaikan oleh Aisyah.

“Itulah Uwais Al-Qarni, anak yang taat pada ibunya. Dialah penghuni langit,” ujar Baginda SAW. Siti Aisyah dan sahabat tertegun. Nabi berkata lagi: “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah dia mempunyai tanda putih di tengah telapak tangannya.”

Sesudah itu Nabi SAW memandang kepada Ali ra dan Umar ra seraya berkata: “Suatu ketika apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi.”

Waktu terus berganti, dan Nabi SAW kemudian wafat. Kekhalifahan Abu Bakar pun telah digantikan pula oleh Umar bin Khatab. Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi SAW mengenai Uwais Al-Qarni, penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kembali sabda Nabi SAW itu kepada sahabat Ali bin Abi Thalib ra.

Sejak saat itu setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, Khalifah Umar ra dan Ali ra selalu menanyakan mengenai Uwais Al Qarni, si fakir yang tak punya apa-apa itu, yang kerjanya hanya menggembalakan kambing dan unta setiap hari. Mengapa khalifah Umar ra dan sahabat Nabi, Ali r.a, selalu menanyakan dia?

Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais Al-Qarni turut bersama mereka. Rombongan kafilah itu pun tiba di kota Madinah. Melihat ada rombongan kafilah yang baru datang dari Yaman, segera Khalifah Umar ra dan Ali ra mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais Al-Qarni turut bersama mereka.

Rombongan kafilah itu mengatakan bahawa Uwais Al-Qarni ada bersama mereka, dia sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawaban itu, khalifah Umar ra dan Ali ra segera pergi menjumpai Uwais Al-Qarni. Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar ra dan Ali ra memberi salam. Tetapi ketika itu Uwais sedang solat.

Usai solat, Uwais menjawab salam Khalifah Umar ra dan Ali ra sambil mendekati kedua sahabat Nabi SAW ini dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Sewaktu berjabat, Khalifah Umar ra dengan segera membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais, seperti yang pernah dikatakan oleh Nabi SAW.

Memang benar! Kelihatan tanda putih di telapak tangan Uwais Al-Qarni. Wajah Uwais Al-Qarni tampak bercahaya. Benarlah seperti sabda Nabi SAW bahawa dia itu adalah penghuni langit. Khalifah Umar ra dan Ali ra menanyakan namanya, dan dijawab, “Abdullah.” Mendengar jawaban Uwais, mereka tertawa dan mengatakan, “Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya? Uwais kemudian berkata: “Nama saya Wajah Uwais Al-Qarni”.

Dalam perbualan mereka, dinyatakan ibu Uwais Al-Qarni telah meninggal dunia. Itulah sebabnya, ia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan Ali ra memohon agar Uwais membacakan doa dan istighfar untuk mereka. Uwais enggan dan dia berkata kepada Khalifah, “Sayalah yang harus meminta doa pada kalian.”

Mendengar perkataan Uwais, khalifah berkata, “Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar dari anda.” Kerana desakan kedua sahabat ini, Uwais Al-Qarni akhirnya mengangkat tangan, berdoa dan membacakan istighfar. Setelah itu Khalifah Umar ra berjanji untuk menyumbangkan wang negara dari Baitul Mal kepada Uwais untuk jaminan hidupnya.

Segera sahaja Uwais marah dengan berkata, “Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”

Beberapa tahun kemudian, Uwais Al-Qarni pun meninggal dunia. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan, tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut-rebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafani, di sana pun sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafannya.

Demikian pula ketika orang pergi hendak menggali kuburannya, di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, orang berebut-rebut mengangkat jenazah dan mengiringinya.

Meninggalnya Uwais Al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi peristiwa yang menghairankan. Ramai orang yang tidak dikenali datang untuk menguruskan jenazahnya sehingga ke liang lahad sedangkan selama ini Uwais hanyalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.

Bermula saat dia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang. Mereka saling bertanya-tanya, “Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais Al-Qarni?

Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir, yang tak memiliki apa-apa, yang kerjanya sehari-hari hanyalah sebagai penggembala kambing dan unta? Tapi, ketika hari wafatmu, engkau menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal.

Mereka datang dalam jumlah yang begitu ramai. Mungkin mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamanmu.”

Berita meninggalnya Uwais Al-Qarni dan peristiwa-peristiwa ajaib yang berlaku ketika hari beliau wafat telah tersebar ke serata tanah Yaman. Baru hari itu mereka sedar siapa sebenarnya Uwais Al-Qarni.

Di hari wafatnya, mereka mengakui bahawa memang benar sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW, sesungguhnya Uwais Al-Qarni adalah penghuni langit.