Saturday, December 4, 2010
:: Selamat Menyambut Maal Hijrah ::
Tuesday, November 16, 2010
FIKIR & ZIKIR
“Manusia pada hari ini begitu hebat berfikir. Lihat sahaja berapa ramai yang memiliki rumah besar, kereta besar hasil kekayaan kerana hebat berfikir. Surau ini cantik kerana hebatnya manusia berfikir. Tetapi satu yang perlu dimuhasabahkan sejauhmana kita berzikir. Seramai mana manusia yang akan hadir ke surau ini selepas ini walaupun ianya cantik”, kata Ustaz Yusainie sebelum menutup kuliah maghribnya di Surau An-Nur semalam. Kepala penulis terus tertunduk ke bawah mengenangkan terlalu sedikitnya zikir penulis kepada Allah. Ditambah pula musim-musim peperiksaan ini, begitu ramai mahasiswa memerah otak berfikir untuk cemerlang dalam peperiksaan tetapi soal zikirnya masih kurang. Lantas penulis memikirkan untuk menulis artikel ini sebagai muhasabah diri dan untuk manfaat bersama.
Zikir di sini bukan hanya sekadar zikir selepas solat atau yang disebut dengan bibir akan tetapi segala soal mengingati Allah. Solatnya, doanya, bacaan al-Qurannya dan sebagainya. Jika direnung, adalah menjadi sesuatu yang sangat penting soal untuk menggabung jalinkan zikir dengan fikir. Sebagai contohnya, firman Allah dalam surah Yunus ayat 87 :
Dan kami wahyukan kepada Musa dan saudaranya (Harun) : "Ambillah olehmu berdua beberapa buah rumah di Mesir untuk tempat tinggal bagi kaummu dan jadikanlah olehmu rumah-rumahmu itu tempat solat dan Dirikanlah olehmu sembahyang serta gembirakanlah orang-orang yang beriman".
Ayat ini menceritakan perihal Nabi Musa dan Harun membawa umatnya berhijrah setelah dihalau dan ditekan oleh Firaun. Maka dengan wahyu dari Allah, Nabi Musa menjadikan beberapa rumah di Mesir sebagai tempat solat. Ulama’ tafsir yang haraki dalam menghuraikan ayat ini menyatakan bahawa, “dalam perjuangan, tidak cukup hanya sekadar strategi dan semangat, tetapi perlu dilengkapkan dengan ‘solat’ “. Huraian tersebut mengingatkan kita betapa penting soal ibadah dan tarbiyyah ruhiyyah disamping menyusun strategi dan sebagainya. Maka jelas kepada kita betapa penting soal zikir dan fikir ini dijana bersama.
Rasulullah, Zikir dan Fikir.
Rasulullah antara manusia yang hebat dalam kepimpinan, banyak strategi dan kuat berjuang. Lihat sahaja peristiwa perjanjian Hudaibiyyah dan peristiwa-peristiwa lain yang jelas menunjukkan kebijaksanaan baginda. Strategi hjrah baginda menggunakan pelbagai posisi manusia dan haiwan sangat mengkagumkan. Baginda sangat sibuk dengan urusan ummat namun persoalan zikir tidak sekali-kali diabaikan. Lihat sahaja, tatkala pulang dari gua Hira’ kesejukan kerana pengalaan pertama berjumpa dengan Jibril, Rasulullah meminta Khadijah menyelimutkanya. “Selimutlah aku, selimutlah aku”. Maka Khadijah menyelmutkannya. Turun ayat surah Muzzamil memerintahan baginda bangun menghidupkan malam mengingati Allah sebagai bekalan ruhiyyah dalam menempuh cabaran dalam perjuangan. Dalam peristiwa yang lain, tatkala Rasulullah solat sehingga bengkak-bengkak kaki baginda, isteri tercinta bertanya mengapa baginda sangup bersolat sehingga sedemikian rupa sedangkan baginda sudah dijamin akan masuk ke syurga? Namun baginda menjawab, “salahkah aku hendak menjadi manusia yang bersyukur?
Sultan Muhammad al-Fatih, Zikir dan Fikir.
Selepas solat jumaat semalam, perbincangan usrah penulis dimulai dengan topik berkaitan konsep ibadat oleh Khalil. Selepas semua anak-anak usrahku memberi respon berkaitan tajuk termasuk berkaitan sains dan ibadat, penulis menceritakan kisah seorang tokoh yang sangat penulis kagumi iaitu Sultan Muhammad al-Fatih untuk mengaitannya dengan tajuk ibadah yang menjadi topik utama perbincangan hari itu. Sebelum ini, penulis hanya mendengar sedikit cerita berkenaan tokoh tersebut termasuk menonton kartun animasi berkenaan dengannya. Entah mengapa bebrapa hari sebelum ini, jejari penulis ringan untuk mencari kisah Sultan Muhammad al-Fatih dengan enjin carian Google.com. Maka banyaklah maklumat baru yang penulis perolehi yang menginsafkan dan menjadi muhasabah buat penulis. Kehebatan beliau dalam fikir dan zikir sangat mengagumkan.
Penulis tercari-cari, apakah hebatnya baginda sehingga telah disebutkan oleh Rasulullah dalam hadis, lebih kurang 800 tahun sebelum kelahiran al-Fatih ketika peperangan Khandak :
"..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……"
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Akhirnya penulis menemui kisahnya. Ringkasnya, semenjak kecil, Sultan Muhammad Al-Fatih telah meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Constantinople. Bahkan baginda terus mengkaji tentang usaha-usaha yang pernah dibuat sepanjang sejarah Islam ke arah itu, sehingga menimbulkan keazaman yang kuat untuk beliau meneruskan cita-cita umat Islam zaman berzaman itu. Ketika menaiki takhta pada tahun 855H / 1451M, baginda telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan. Sultan Muhammad Al-Fatih juga berusaha untuk mempertingkatkan kelengkapan senjatanya. Beliau telah mendapatkan khidmat pakar membina meriam bernama Orban. Beberapa meriam telah dibina termasuk Meriam Diraja yang masyhur. Catatan menceritakan betapa meriam ini adalah yang terbesar di zaman berkenaan. Beratnya beratus tan dan memerlukan beratus tenaga tentera untuk mengangkutnya. Beliau juga menyediakan kira-kira 400 buah kapal laut untuk tujuan yang sama.
Paling mengkagumkan penulis, Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan darat! Malam itu juga, tentera ‘Uthmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata, "Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!" dipendekkan cerita, baginda telah berjaya membuka kota Constantinople.
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan selepas pembukaan Constantinople, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Benarlah, baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah di dalam Hadisnya itu, hebat dalam zikir dan fikir.
Kisah Umar Telmesani dan Hassan al-Banna, pengajaran dalam Zikir dan Fikir.
Umar Telmesani adalah bekas Mursyidul Am ketiga Ikhwanul Muslimin. Semasa Hassan al-Banna masih hidup, beliau sempat bersama al-Banna dalam satu perjumpaan di Daqhiliah. Setelah selesai dari pertemuan tersebut, al-Banna pulang ke penginapannya bersama Umar dan masuk ke biliknya. Masing-masing mengambil tempat di katil yang telah disediakan untuk berehat dan tidur. Tidak berapa lama kemudian, al-Banna bertanya kepada sahabatnya Umar, “adalah kamu telah tidur?” maka jawab Umar, “belum”. Setelah beberapa minit, al-Banna bertanya lagi dan soalannya dijawab oleh Umar seperti tadi. Setelah beberapa minit, ditanya lagi soalan yang sama dan dijawab oleh Umar seperti tadi menunjukkan beliau belum tidur. Lalu Umar berkata dalam hatinya, “kalau al-Banna bertanya lagi soalan yang sama kali ini, aku nak berpur-pura tidur”.
Tidak lama selepas itu, al-Banna bertanya lagi soalan yang sama dan kali ini Umar tidak menjawab. Lalu Hassan al-Banna bangun perlahan-lahan dari katil kerana menyangka Umar telah tidur lalu pergi ke bilik air untuk memperbaharui wudhu’nya dan terus ke ruang tamu untuk menunaikan solat tahajjud. Al-banna tidak mahu qiamullailmya diketahui orang. Masya Allah… Penulis pernah mendengar cerita kehebatan al-Banna yang selalu menaiki keretapi dan solat jemaah di masjid, daerah berbeza sambil memikirkan masalah ummat dan berdakwah siang dan malam. Hebat sekali zikir dan fikir beliau…
Perjuangan Islam : Zikir dan Fikir.
“Kita sangat tumpukan gerak kerja kononnya kerana cintakan Allah tetapi ibadah yang kita lakukan tidak menunjukkan kita sebenar-benarnya cintakan Allah. Solat kita bagaimana. Tahajjud kita entah ke mana. Betulkah kita bergerak kerja kerana cintakan Allah?” kata-kata Kak Na dalam satu liqo’ tarbiyyah beberapa bulan yang lalu menggoncang hati penulis. Satu muhasabah yang menaikkan bulu roma penulis. Allahuakbar…..benar, kekadang kita mengakui bahawa kita sudah berjuang dan berkorban kerana cintakan Allah, akan tetapi ianya tidak terjelma dalam ibadah kita. Mungkin ada sedikit masalah dalam hati kita. Bukan kerana jalan perjuangan yang tidak benar, akan tetapi masalah hati yang mengundang musibah. Masalah sebeginilah akhirnya membawa fitnah kepada jalan dakwah dan perjuangan Islam.
Adalah kita hendak mengadap Allah dalam keadaan sedemikian? Mengadap Allah dengan muka yang tebal mengakui, “aku telah bersusah payah, berjaga malam merancang strategi dan bergerak kerja untukMu Ya Allah….” Tetapi dalam masa yang sama Subuh entah ke mana? Tahajjudnya semakin jauh. Al-Quran ditinggalkan…… Alangkah takutnya kita sekiranya catatan amalan dan gerak kerja kita akan dicampakkan Allah ke muka kita kerana masalah-masalah hati yang berpenyakit. Apakah zikir kita terabai kerana kita terlalu banyak berkorban untuk berfikir? Adakah pengorbanan, sibuk dan fikir kita lebih daripada Rasulullah? Adakah strategi kita lebih hebat dari Sultan Muhammad al-Fatih? Adakah letihnya kita dalam perjuangan mengatasi al-Banna? Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami Ya Allah…….
Sesungguhnya, orang-orang beriman itu diceritakan oleh Allah :
“Orang-orang yang berZIKIR (ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring. Dan mereka berFIKIR tentang apa yang diciptakan Allah seraya berkata, “Ya Tuhan kami, sesungguhnya segala ciptaanMu bukanlah sesuatu yang sia-sia. Maha Suci Engkau, maka selamatkanlah kami dari azab neraka…”
Konklusi
Dengan ZIKIR, diharapkan ianya mejadi bekalan bagi kita yang bercita-cita untuk menjadi murabitun agar tidak menjadi mutasaqitun di jalan dakwah. Semoga Allah mengampunkan kita disamping kita mampu meningkatkan FIKIR dan memperkasakan ZIKIR sebagai bekalan dalam perjuangan Islam. FIKIR bukan alasan untuk meninggalkan ZIKIR, ZIKIR bukan alasan untuk melupakan FIKIR….
" Ya Allah, ampunilah kami hambaMu yang dhaif lagi hina, tetapkanlah hati-hati kami di atas landasan perjuangan agamamu.... Ameen..."
Sunday, October 24, 2010
Tiada zakat wang kertas mengikut mazhab Shafie
Zakat Emas dan Perak samada wang atau lainnya
Tiada zakat wang kertas mengikut mazhab Shafie
Zakat hanya boleh dibayar dengan ain (benda) bukan dayn ( Resit hutang - wang kertas)
Rujukan Kitab Sulamul Sibyan : Tuan Guru Hj Ayah Chik
Fasal pada menyatakan zakat emas dan perak sama ada wang atau lainnya
Syarat wajib zakat emas dan perak :
1. Islam - Tuan harta itu Islam
2. Merdeka - Hamba tiada wajib
3. Sampai nisabnya 20 mithqal / dinar emas (85 gram) atau 200 dirham perak ( 595 gram )
4 Dimilik akan dia ( emas dan perak ) cukup 12 bulan arabiyah samada disimpan akan ia atau diberi orang berhutang, maka wajib zakat atas tuannya.
Zakat emas dan perak itu 1/40 atau 2.5%.
Segala benda yang kena zakat itu 9 pekara sahaja.
1. Binatang ternakan.
2. Emas.
3.Perak.
4. Buah kurma dan anggur. (Tiada wajib zakat buah - buahan yang lain )
5. Biji - bijan yang mengenyangkan.
6. Badan - Fitrah
7. Galian emas dan perak.
8. Rikaz emas dan perak.
9. Benda - benda buat perniagaan.
Tiadalah wajib zakat melainkan 9 benda ini sahaja pada mazhab Shafie.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Bermula segala orang yang menaruh akan mereka itu emas dan perak , dan tiada menafkah mereka itu akan dia pada jalan Allah artinya tiada memberi mereka itu akan zakatnya maka khabar olehmu ya Muhammad akan mereka itu dengan kena siksa yang sangat - sangat sakit "
Maksud Surah at Taubah:ayat 34
Telah berkata Imam as shafie didalam Kitabnya ar Risalah :
" Tiada harus diqias dengan emas dan perak atas yang lain daripada keduanya pada wajib zakat "
Maka tiada wajib zakat duit tembaga dan duit kertas kerana bukan kedua duanya emas dan perak dan bukan binatang ternakan bukan buah - buahan dan bukan biji bijian melainkan jika dibuat berniaga dengan dia. Maka wajib zakat perniagaan bukan zakat 'ain wang kertas.
Ada tersebut didalam Kitab Shamsul Asyhraq karangan al 'alamah Shaikh Ali Al Maliki pada m/s 60 katanya " Dan demikian lagi bersangatan Alim Shaikh Muhammad 'illisyh tatkala ditanya akan dia daripada kertas yang ada padanya chap Sultan dan bermuamalah denga dia, berjualbeli dengan dia semacam dirham - dirham dan dinar - dinar. Adakah diberi zakatnya sebagai zakat 'ain atau semacam zakat mata benda perniagaan atau tiada wajib zakat padanya ? Menjawab ia dalam Kitab Fatwanya , Fathul 'ala al Malik, berpegang ia bagi riwayat yang kedua yang muktamad pada mazhab Malilki ia jawab dengan nasnya tiada wajib zakat padanya yakni tiada wajib zakat pada wang kertas ".
Ada pun pada mazhab Shafie maka tiada wajib zakat wang kertas sama ada disimpan dirumahnya atau di tabung haji atau di bank atau diberi orang berhutang, tiada wajib zakatnya melainkan jika dimilik wang kertas itu dengan mu'awadhah serta diniat tatkala itu hendak buat berniaga denga dia. Maka apabila sampai harganya 200 dirham dan cukup 12 bulan arabiyah maka ketika itu wajib dikeluarkan zakatnya, zakat mata perniagaan, bukan zakat 'ain wang kertas iaitu zakatnya 1/40.
Dan berkata Shaikh Ahmad Khatib iaitu didalam Kitabnya Mazhab Shafie pada m/s 46 artinya : " Bahkan jika berkehendak oleh seorang mengeluarkan zakat daripadanya wang kertas nescaya tiada sah ia dan lagi haram mengeluarkan zakat wang kertas kerana padanya yakni pada mengeluarkan zakat wang kertas itu jadi mengerjakan ibadat yang fasidah, ibadah yag tidak terpakai, sia - sia dan lagi buat zalim akan tuan - tuan harta dengan memperwajibkan barang yang tiada wajib atas mereka itu dan memakan akan harta manusia denga jalan yang bathil, makan dengan jalan yang haram. Maka jikalau begitu tidak beri zakat wang kertas itu boleh pahala kerana jika meninggal barang yang haram dengan niat ikut perintah syarak itu boleh pahala ".
Ramai Ulamak - Ulamak yang menghukum wang kertas itu semacam wang tembaga. maka tiada wajib zakatnya pada mazhab shafie. Antaranya :
1. Al 'alamah Shaikhul Islam Negeri Mesir masa dahulu ialah Muhammmad Anba bi iaitu guru bagi as Saiyid Ahmad Bek al Husaini.
2. Al ' alamah Shaikh Hasbullah , ulamak besar Mekah di zamannya.
3. Al 'alamah As Saiyid Abdullah bin Abi Bakar.
4. Al ' alamah Shaikh muhammad I'jaz Hussain.
5. Al 'alamah Shaikh Muhammad Nazri Ali.
6. Al ' alamah Shaikh Muhammad Irshad Hussain.
7. Al ' alamah Shaikh Muhammad Abdul Qadir.
8.Al ' alamah Shaikh Muhammad Inayatullah.
9. Al ' alamah Shaikh Abdul Jalil.
10. Al Mufti Shaikh Muhammad 'Illisyh.
11. Al ' alamah Shaikh Muhammad Khatib
Telah menyebut nama - nama ulamak - ulamak yang tersebut itu oleh Syaikh Ali al Maliki didalam kitabnya Shamsul Asyhraq.
12. Al 'alamah Shaikh Ali Al Maliki.
13 Shaikhul Islam Kedah Al Haj Wan Sulaiman iaitu semasa dia muda dahulu.
14. Shaikh Al Haj Wan Ahmad Bermin Fathani.
15. Tuan Guru Shaikh saya ( Ayah Chik ) Shaikh Al Haj Abdullah Fahim , Mufti Pulau Pinang. Pada masa itu dia belum menjadi mufti dan dia menyuruh saya berpegang dengan barang yang didalam Kitab Iqna' an nufus yang saya mengaji padanya itu kitab dan dia khabar kepada saya, Shaikh Ahmad Khatib itu ia kata guru aku dan Shaikh Ali Al Maliki itu sahabat aku.
Ramai Ulamak mengaku sah dan betul barang yang tersebut didalam kitab Shamsul Asyhraq serta memberi puji pujian mengatakan elok dan betul barang yang tersebut didalam kitab tersebut. Pertamanya : Maulana Hujjatul Ummah Qadhi al Qadha' wal mufti al ahnaf bil Aqthoril arabiah bil Makkah wa raisul ulama' al 'alam , al 'alamah Abdullah bin Abdurrahman Siraj. Kedua : Al 'alamah Shaikh Habibullah Al jaki. Ketiga : Al 'alamah Shaikh Ali An Najar. Keempat : Al 'alim Al Fadhil Shaikh Muhammad Abdurrahman As Shanqithi. Keempat : Al 'alim fadhil As Saiyid Thohir Ad dibagh dan demikian juga pada mazhab Hanbali tiada wajib zakat wang kertas .. dari Kitab Shamsul Asyhraq.
Wang kertas itu bukan sanad ad daiyin ertinya bukan surat hutang kerana takrif surat hutang ialah " Kertas yang ditulis padanya akan orang yang berhutang dan orang yang memberi hutang dengan nama kedua - duanya dan hutang apa jenisnya dan sebanyak mana qadarnya dan saksi atasnya dan diberi pegang taruh ditangan oang yang yang beri berhutang ".
Maka wang kertas itu tiada masuk dalam takrif surat hutang. Maka betul lah wang kertas itu bukan surat hutang dan hanya dikira duit yang laku yang lain dari emas dan perak yang dinilai harganya yakni dibubuh harganya sekian sekian ringgit dan ditulis didalamnya pun dengan kata wang kertas ertinya duit kertas. Bukan ditulis kata surat emas perak. Lagi pula jika sungguh wang kertas itu surat Bank berhutang emas dan perak maka cubalah bawa wang kertas itu tunjuk kepada bank minta hutang itu nescaya Bank tiada bayar, mingkin orang Bank marah, dia kata " Kamu binggung kah ? Gila kah ? Kamu tidak bacakah didalamnya wang kertas bukan ditulis surat hutang. Mereka halau kamu semacam halau anjing sahaja.
Ada pun orang yang berkata wang kertas itu khilaf ulamak pada wajib zakat, maka baik lah ihtiyhat ( berhati hati ), berilah zakatnya kerana jikalau betul orang yang berkata wajib zakatnya maka lepaslah kita daripada berdosa dan dapat pahala. Jikalau betul orang yang berkata tiada wajib zakatnya maka jadilah sedekah sunat, maka itu ihtiyhat ( berhati - hati ) yang bathil.
Telah berkata Guru bagi beberapa Guru kami, al 'alamah Shaikh Ahmad Khatib rahimahumullah didalam kitabnya Iqna' an nufus pada m/s 48 ertinya : Dan atasnya lazim daripada ini ihtiyhat ( berhati - hati ) tu beberapa mudharat dan bermula yang demikian itu buat zalim akan tuan harta dengan diperwajibkan barang yang tiada wajib atas mereka itu dan lain - lainnya daripada barang terdahulu sebutnya dan buat sia - sia segala rukun dan segala syarat yang telah diiktibar akan dia oleh ulamak ulamak syarak dan buat binasa takrif - takrif mereka itu yang telah menyebut mereka itu akan dia kerana bahawasanya sesungguhnya lazim oleh binasanya dengan ini ihtiyhat yang jadi daripada sangka - sangka dan gemak - gemak yang bathil , yang tidak ada asalnya sama sekali dalam syarak.
Didalam Kitab Sairus Salikin (Shaik Abdul Samad Al Falimbani) antara syarat – syarat zakat yang zahir pada syarat yang ketiga :
Hendaklah zakat yang dikeluarkan itu ‘ain harta yang wajib zakat itu. Maka tiada memadai zakat perak daripada emas dan zakat emas dengan perak.
Mengenai mengeluarkan zakat perniagaan seperti dalam Kitab Matail Badrain :
(maka jika) sampai nasab harga اخر haul wajib dikeluarkan zakatnya samada harga yang dibeli dahulu itu sampai nasabnya atau tiada kerana yang dii’tibarnya dengan harga اخر haul maka dikeluarkan zakatnya iaitu emas atau perak سربع عشر , tiada dikeluarkan daripada ain mata benda perniagaan itu.
Maknanya zakat perniagaan mesti dikeluarkan dalam emas atau perak bukan ai'n barang yang diperniagakan. Cth : Perniagaan baju, zakatnya bukan dengan baju tetapi dengan emas atau perak.
http://www.dirham2dinar.com/
Tuesday, October 19, 2010
DAKWAH-TERAS KEBANGKITAN UMMAH
Hakikat iman itu ialah kita menerima dan membenarkan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w serta mematuhinya tanpa merasa berat.Memberikan ketaatan yang penuh kepada Allah s.w.t dan Rasulnya adalah bukti keimanan seseorang itu, malah inilah yang ditekankan oleh Al-Quran. Maka tidak ada pilihan lain lagi bagi orang yang beriman selain pilihan Allah s.w.t dan mematuhi perintah serta mengikut jalan Rasulullah s.a.w dan menyeru manusia ke jalan Allah s.w.t.
Mungkin ramai di kalangan kita masih kabur dan tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dakwah tersebut dan apakah tujuan dan matlamatnya?? Dakwah dari segi bahasa bereti menyeru atau memanggil. Sebagai istilah syara' pula is membawa pengertian yang lebih khusus iaitu seruan atau panggil ke jalan Allah.
Menurut Ibn Taimiyah pula,Dakwah ialah satu usaha seruan ke arah beriman kepada Allah dan apa yang disampaikan oleh rasul-rasulNya;iaitu dengan membenarkan segala perkara yang disampaikan oleh mereka dan mentaati perintah mereka.
Antara tugas-tugas dakwah ialah menyeru melaksanakan apa yang disukai Allah dan RasulNya sama ada dari perkara wajib dan sunat. Tugas dakwah juga menegah dari segala larangan Allah dan Rasulnya sama ada zahir atau batin. Tidak sempurna dakwah sekiranya tidak ke arah melaksanakan apa yang dikehendaki Allah dan meninggalkan apa yang dibenciNya, sama ada dari perkataan,perbutan zahir atau batin.
Jelas bahawa dakwah itu bererti menyeru dan memanggil manusia serta berusaha melaksanakan seruan dan ajakan kepada jalan yang benar iaitu agama Islam dan meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh Islam.
Tujuan dan matlamat itu tidak lain dan tidak bukan ialah tujuan Al-Islam itu sendiri, yakni membawa manusia kepada pengabdian yang menyeluruh kepada Allah s.w.t. Perhatikanlah ucapan seorang sahabat,Raba'i ibn Amir RA,kepada Rustam :
"Bahawa Allah telah mengutuskan kami untuk mengajak dan menyeru tuan-tuan dan semua orang yang menumpahkan taat setianya kepada sesama manusia untuk bersama-sama dengan kami menyembah dan menumpahkan pengabdian kepada Allah Yang Maha Esa Lagi Maha Berkuasa, dan menarik mereka keluar daripada kesempitan hidup di dunia kepada medan hidup yang lebih selesa di dunia dan akhirat, dari keganasan dan kekejaman agama-agama kepada keadialn Islam...............lalu diutuskan utusanNya kepada seluruh umat manusia...."
Pengabdian yang menyeluruh ini hanyalah boleh dicapai di dalam sebuah masyarakat yang menegakkan suasana alam yang berpusat kepada IMAN DAN TAQWA, betul-betul bertawajjuh(menghadapkan diri) kepada Allah s.w.t, mengambil FURQAN(neraca penilaian Allah) sebagai pembeza, mengawasi hudud-Ullah(batasan-batasan Allah) serta wala'ila-Allah(ketaatan yang mutlak kepada Allah s.w.t)... Inilah masyarakat di mana Hakimiyah Lillah akan tertegak. Dengan lain perkataan, pengabdian yang menyrluruh hanya dapat dicapai dengan tertegaknya Daulah Islamiyah.....
Tuesday, October 12, 2010
Sunnah Sewaktu Khutbah Yang Jarang Diamalkan
Kadang-kadang apabila kita asyik dengan melakukan ibadah lalu menambah amalan-amalan yang bukan datangnya daripada Nabi SAW menyebabkan kita terabai dengan amalan yang benar-benar sunnah. Si khatib mahupun si jemaah yang hadir mungkin boleh mengambil sunnah ini sebagai jambatan dalam menambahkan lagi warisan peninggalan Nabi SAW.
Benarlah kata Abdullah ad-Dailamy : “Sesungguhnya pertama kali hilangnya agama (Islam) adalah dengan ditinggalkannya sunnah. Agama ini akan hilang satu sunnah demi satu sunnah sebagaimana lepasnya tali seutas demi seutas” (Al-Lalika’iy, ad-Darimi dan Ibn Wadhdhah di dalam al-Bida’ wan Nahyu Anha)
Antaranya ialah isyarat tangan dengan jari telunjuk oleh khatib ketika ia berdoa. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada Husain bin Abd Rahman daripada ‘Umarah bin Ruaibah, bahawasanya ia pernah melihat Bisyr bin Marwan berkhutbah di atas mimbar sambil mengangkat kedua tangan untuk berdoa. Lalu Umarah berkata :
(Maksudnya) “Semoga Allah SWT memburukkan tangan tersebut. Sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW berdoa hanya dengan isyarat jari telunjuk.” Dalam riwayat lain, dia berkata “pada hari Jumaat”. ( HR Muslim dan At-Tirmizi pada bab ‘Makruhnya mengangkat tangan diatas mimbar’)
Hadis ini menolak pendapat yang membolehkan khatib mengangkat tangan berdoa ketika di atas mimbar melainkan hanya dengan isyarat jari telunjuk. Imam an-Nawawi berkata “Disunnahkan untuk tidak mengangkat tangan ketika berkhutbah, demikianlah pendapat Imam Malik dan pengikut kami ( mazhab Syafi’) serta yang lainnya. Walaupun sebahagian dari ulama Salaf dan Malikiyyah berpendapat mengangkat tangan diperbolehkan, namun ianya di satu sudut yang lain iaitu ketika Solat Istisqa’. Bukan dalam khutbah Jumaat biasa. “( an-Nawawi, Syarh Sahih Muslim Jil 3, 428. Juga boleh dirujuk dalam kitab Fathul Bari Imam Ibn Hajar al-Asqalani)
Ini menunjukkan kepada kita dua faedah daripada hadis ini, pertamanya, tidak disunnahkan mengangkat tangan bagi khatib saat berdoa dia atas mimbar. Manakala yang kedua disunnahkan bagi khatib melakukan isyarat jari telunjuk ketika berdoa atas mimbar.
Sunnah berikutnya yang jarang diamalkan adalah, makmum menghadap ke arah wajah khatib ketika khatib sedang berkhutbah. Ramai di kalangan kita apabila mimbar berada jauh darinya ia terus menghadap kearah kiblat dan tidak berpaling ke arah khatib.
Ibn Munzir pernah berkata dalam kitab al-Ausath mengenai keperluan menghadapnya para jemaah ke arah khatib yang sedang berkhutbah Jumaat. Beliau mengatakan bahawa “Setiap ulama yang mengetahui hadis tersebut menegaskan bahawa para jemaah solat Jumaat harus menghadap ke arah khatib yang sedang berkhutbah. Antara yang berpendapat seperti itu adalah Ibn Umar, Anas bin Malik, Syuraih dan Atha’.”
Ini berdasarkan kepada hadis dari al-Mustamir bin al-Rayyan: (maksudnya)“Aku melihat Anas Bin Malik datang ke masjid pada hari Jumaat, kemudian dia terus bersandar ke dinding dan menghadap ke arah imam.” (Riwayat ini disahihkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari Jil 2, 467)
Juga berasaskan hadith Ma’mar ketika mana ia pernah bertanya kepada az-Zuhri tentang menghadapnya para jemaah Solat Jumaat ke arah imam, kemudian az-Zuhri menjawab: “Seperti itulah yang dilakukan oleh para Sahabat” ( HR Abd Razzaq dalam al-Mussannaf no. 5390)
Jadinya selepas ini marilah sama-sama kita menghadap wajah kita ke arah khatib di atas mimbar. Mungkin dengan sunnah kita yang sedikit ini mampu memberi kita ganjaran yang besar disisi Allah terhadap tindakan kita menghidupkan sunnah yang dilupakan ini.
Antara sunnah yang amat penting diamalkan oleh orang Malaysia khususnya adalah sunnah berpindah tempat duduk ketika mengantuk sewaktu khutbah disampaikan. Ramai di kalangan kita yang sudah dari awal-awal lagi meletakkan waktu khusus qailullahnya ketika khatib sedang berkhutbah. Ada yang asyik bersetuju menganggukkan kepala tanda setuju dengan khatib sehinggalah iqamah dilaungkan. Itulah betapa hebatnya orang Malaysia.
Sunnah memindahkan tempat duduk ketika mengantuk dalam khutbah boleh dirujuk kepada hadis riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya. Sebuah hadis daripada Ibn umar RA dari Nabi SAW bersabda (maksudnya) :
“Apabila salah seorang di antara kamu mengantuk pada hari Jumaat, hendaklah ia berpindah dari tempat duduknya.”
Alhamdulillah, hari ini kita dapat berkongsi 3 sunnah Nabi SAW yang jarang umat Islam di Malaysia amalkan. Kita berharap semoga dengan mengamalkan sunnah Nabi SAW atas kecintaan kita kepada baginda akan mendatangkan rahmat Allah kepada kita, Insya Allah. Ayuh bersama menghidupkan sunnah Nabi SAW!
Friday, September 24, 2010
Menangani Pengangguran Dalam Dakwah
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Syeikh Muhammad Al Ghazali pernah berkata :
"Dalam suasana pengangguran, akan :
a. Terlahir ribuan keburukan. b. Menetas berbagai bakteria yang membinasakan.
Jika kerja merupakan denyutan kehidupan, maka para penganggur adalah orang-orang yang mati.
Jika dunia ini merupakan kesan dari tanaman kehidupan yang lebih besar, maka para penganggur adalah sekumpulan manusia yang paling sesuai dikumpulkan dalam keadaan muflis, tidak ada hasil bagi mereka selain kehancuran dan kerugian."
Ada berbagai penyakit "tarbawi" yang sangat berbahaya di mana jika ia tersebar dalam barisan dakwah dan mendapatkan tempat dalam jiwa anggotanya, maka sudah pasti yang berlaku adalah:
1. Kemerosotan. 2. Keguguran. 3. Menarik diri. 4. Meninggalkan kancah dakwah secara diam-diam. 5. Muflis dalam erti yang luas dan menyeluruh.
Di antara penyakit tersebut dan yang utamanya adalah :
1. Pengangguran dari dakwah. 2. Kemalasan berharakah. 3. Kelemahan jiwa. 4. Tidak ada pekerjaan. 5. Berpeluk tubuh dari amal. 6. Tidak menunaikan kewajiban. 7. Tidak menjalankan tugas-tugas dakwah yang berbagai bentuk. 8. Terbiasa menikmati suasana santai. 9. Berlepas diri dari usaha memikul beban dan tanggungjawab.
Semua perkara-perkara di atas merupakan gejala penyakit yang jika menimpa para aktivis di medan dakwah dan harakah, niscaya ia memberi kesan yang boleh mematikan kecuali jika segera:
a. Mendapatkan semula kebangkitan hati. b. Mengambil pelajaran dari suatu peringatan. c. Mengambil manfaat dari suatu nasihat. d. Mendapatkan rahmat, petunjuk dan taufiq dari Allah swt.
Berdasarkan pengalaman dan interaksi para pendakwah, kelihatan di sana sejumlah faktor yang memberi saham kepada timbulnya penyakit-penyakit di atas seperti berikut :
1. Menurunnya tingkatan keikhlasan dan menyusupnya niat yang tidak baik. 2. Ada masalah pada unsur-unsur pemahaman. 3. Tidak mengetahui jati diri dakwah dan harakah. 4. Melayan berbagai godaan dunia dan mengejar segala kemilaunya yang palsu. 5. Melupakan matlamat atau menyeleweng dan lalai darinya. 6. Putus asa, kecewa dan meramalkan keburukan. 7. Terawang-awang dan mempunyai sasaran yang tidak jelas. 8. Tidak interaktif dengan proses tarbawi. 9. Menghilangnya akhlak yang menjadi tuntutan marhalah seperti : tsabat, sabar, tsiqah, tajarrud, tadhhiyah dan lain-lainnya. 10. Lemahnya rasa tanggungjawab. 11. Merasa panjang perjalanan dakwah yang mesti ditempuhi. 12. Hilang semangat dan terpadam keinginan untuk beramal. 13. Keliru terhadap tingkatan keutamaan, jika adapun, dakwah ditempatkan pada tingkatan keutamaan yang paling akhir. 14. Berkaratnya sisi ruhani, tarbawi dan keimanan serta rosaknya komitmen. 15. Kebuntuan selera untuk beramal serta tidak merasakan kelazatan untuk mengerahkan susah payah di jalan Allah. 16. Hilangnya citarasa berpenat lelah dan bersungguh-sungguh dalam beramal di berbagai medan dakwah. 17. Kehilangan rasa intima' (penggabungan) kepada dakwah dan harakah dan semakin nipisnya unsur-unsur wala' kepadanya. 18. Tertutupnya bentuk kemulian kepada manhaj dakwah dan dinginnya rasa ghairah terhadapnya. 19. Lemahnya immuniti fikrah, keimanan dan tarbiyah.
Semua faktor-faktor di atas mendorong seseorang untuk bersikap :
a. Berpeluk tubuh. b. Menarik diri. c. Menjauhkan diri dari lapangan amal. d. Mencipta berbagai alasan.
Oleh kerana itu, seseorang yang dijangkiti penyakit-penyakit seperti ini akan menjadi beban berat kepada dakwah dan harakah. Akibat berikutnya adalah dakwah semakin merintih kerana memikul bebannya dan menyeretnya, padahal sepatutnya merekalah orang-orang yang semestinya memikul dakwah serta membawanya kepada cakrawala masa depan yang lebih luas.
Jika penyakit pengangguran dari dakwah dan harakah ini tersebar, maka akan muncullah ribuan perilaku-perilaku yang rendah, samada dalam skala perseorangan atau jamaah kerana :
1. Barisan yang di dalamnya tersebar pengangguran, maka akan banyak berlakunya kekacauan.
2. Rumah yang kosong akan banyak terdengar suara kebisingan."
Maka hendaklah para pembawa panji dakwah dan harakah tidak berhenti di tengah jalan.
Jangan pula semangatnya menjadi dingin dan keberkesanannya padam setiap kali berhembusnya angin keputusasaan.
Jangan pula harakahnya lumpuh, jalannya terhenti dan arahnya berubah ketika bertiup badai fitnah kerana mereka mengetahui bahwa :
"Sifat mulia biasanya terkait dengan perkara-perkara yang tidak disukai oleh jiwa dan kebahagiaan tidak dapat dicapai kecuali melalui jambatan kesulitan dan semua ini tidak akan menghantarkan untuk mencapainya kecuali menggunakan kapal keseriusan dan kesungguhan. "
Ketiadaan kegiatan bagi pasukan infantri adalah kelalaian.
Di antara penghancur tekad adalah :
a. Mimpi yang terlalu jauh. b. Kesenangan bersantai-santai.
Angan-angan hendaklah diiringi oleh amal, jika tidak, ia hanyalah sekadar mimpi yang kembali kepada pemiliknya.
Suatu hari Hasan Al-Bashri melihat seorang pemuda yang bermain-main dengan batu kecil sambil berdoa :
"Ya Allah, nikahkan aku dengan bidadari".
Maka Hasan berkata :
"Kamu adalah pelamar yang paling buruk kerana melamar bidadari dengan modal mainan berupa batu kecil!"
Begitu juga dengan kita, tidak mungkin kita melamar cinta kasih :
a. Tamkin (penegakan agama). b. Taghyir (perubahan). c. Ishlah (pembaikan).
sementara kita bermain-main dengan sesuatu yang lebih rendah dari batu kecil manakala diri kita pula adalah para penganggur, bermalas-malasan dan cukup menjadi penonton kerana seorang pelamar mestilah membawa mahar.
"Siapa yang meminang wanita cantik, maka ia tidak mempedulikan mahalnya mahar."
Imam Hasan Al-Banna juga pernah menyatakan bahwa :
"Saya dapat membayangkan seorang mujahid adalah seseorang yang :
1. Menyiapkan segala yang diperlukannya. 2. Membawa yang diperlukannya. 3. Niat jihad telah memenuhi seluruh jiwa dan hatinya. 4. Sentiasa dalam keadaan berfikir. 5. Memberi perhatian besar. 6. Sentiasa dalam kedudukan bersiap siaga. 7. Jika diundang, ia memenuhi. 8. Jika dipanggil, ia menyambut. 9. Paginya, petangnya, pembicaraannya, perbualannya, kesungguhannya dan kerehatannya tidak melampaui medan yang ia telah persiapkan dirinya untuknya dan ia tidak mengambil selain fungsi yang sesuai dengan kehidupan dan kehendaknya. 10. Ruh jihad fi sabilillah dapat dibaca dari garis-garis wajahnya, nampak dalam kilauan sinar matanya dan terdengar dari kenyataan lisannya sesuatu yang menggambarkan betapa besar gelora yang ada dalam hatinya, gelora yang sentiasa wujud, menjadi duka hatinya yang terpendam. 11. Ruh jihadnya juga terbaca dari jiwanya yang bertekad membaja, semangat tinggi dan cita-cita yang jauh.
Itulah peribadi mujahid, secara individu mahupun bangsa. Engkau dapat :
a. Melihatnya secara jelas pada suatu bangsa yang menyiapkan dirinya untuk berjihad. b. Nampak pada forum-forum dan kelab-kelabnya. c. Nampak di pasar dan di jalan. d. Terasa di sekolah dan di rumah. e. Terlihat pada generasi muda dan tua, lelaki dan wanita sehingga engkau membayangkan bahwa semua tempat merupakan medan dan setiap gerakan adalah jihad.
Saya dapat membayangkan perkara ini kerana jihad merupakan buah dari :
1. Pemahaman yang melahirkan perasaan dan menghilangkan kelalaian. 2. Perasaan yang membangkitkan perhatian. 3. Perhatian yang memberi impak kepada jihad dan amal.
Manakala masing-masing mempunyai kesan dan penampilan.
Adapun mujahid yang :
a. Tidur sekenyang-kenyangnya. b. Makan sepuas-puasnya. c. Tertawa sekuat-kuatnya. d. Menghabiskan waktu untuk bermain-main.
Maka bagaimana mungkin mereka termasuk orang yang beruntung atau terhitung dalam barisan mujahidin?!"
Umat yang berpandangan bahwa peranannya dalam berjihad hanyalah :
1. Kata-kata yang diucapkan. 2. Makalah yang ditulis.
Lalu jika hati mereka diperiksa ternyata kosong, saat diuji, perhatiannya melencong, tenggelam dalam kelalaian dan tidur yang nyenyak, maka tempat, forum dan kelab mereka tidak ditemui selain perkara-perkara yang tidak berguna, ketidakseriusan, main-main, hiburan dan menghabiskan waktu tanpa apa-apa manfaat.
Seluruh perhatian perseorangannya hanyalah :
a. Kesenangan yang fana. b. Kelazatan semu. c. Bersantai-santai. d. Bersenang-senang.
Maka umat yang seperti ini lebih dekat kepada main-main daripada serius malah mungkin mereka tidak mengenal keseriusan sama sekali.
Jadi, pengangguran adalah jalan kepada kemuflisan.
Sementara kepeloporan, kepimpinan dan ketokohan tidak dapat diraih kecuali dengan keseriusan dan kesungguhan dan tidak dapat dicapai kecuali dengan segudang pengorbanan.
Perkara ini terbukti secara praktikal sepanjang sejarah dan seorang aktivis dakwah dan harakah semestinya merupakan sebahagian dari mata rantai para nabi, rasul, sahabat, tabiin, ulama' dan pendakwah yang beramal.
Oleh kerananya, ia tidak akan mendapatkan kehormatan sebagai anggota dan diberi kad keanggotaan kecuali jika ia telah membayar maharnya.
Ibnul Qayyim Al Jauziyah lebih berterus terang kerana ia memandang seseorang yang mengaku menjadi sebahagian dari mata rantai mulia ini tanpa memberi bukti sebagai bentuk ketinggian tekad.
Beliau berkata :
"Wahai seseorang yang bertekad tinggi, di manakah kamu berada?
Sementara jalan yang akan kamu tempuhi adalah jalan di mana :
1. Nabi Adam telah berpenat lelah. 2. Nabi Nuh telah kehabisan suara. 3. Nabi Ibrahim telah dilemparkan ke dalam api. 4. Nabi Ismail telah dibaringkan untuk disembelih. 5. Nabi Yusuf telah dijual murah dan mendekam beberapa tahun dalam penjara. 6. Nabi Zakaria telah digergaji. 7. Nabi Yahya telah disembelih. 8. Nabi Ayyub telah menderita. 9. Nabi Daud telah melebihi kadar dalam menangis. 10. Nabi Isa telah berjalan sendirian. 11. Nabi kita Muhammad saw telah bergelut dengan berbagai kemiskinan, kesukaran dan berbagai kesakitan.
Sedangkan engkau berbangga dengan perkara-perkara yang tidak berguna dan main-main??! !"
Ya Allah, sesungguhnya tugas dakwah merupakan tugas yang amat berat namun inilah tugas yang telah Engkau amanahkan kepada semua para utusanMu. Permudahkanlah urusan ini kerana kami hanya mampu berusaha melaksanakannya sementara petunjuk dan hidayah berada di dalam gengamanMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen WAS
Saturday, September 4, 2010
Slogan 10 Malam Akhir Ramadhan ..Tidak akan Meraih Syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan
|
|