Hijrah..jalan para nabi
Hijrah adalah ketentuan Allah kepada para nabi dan rasul. Nabi saw telah memberitahu hal ini semasa di permulaan penurunan wahyu dan semasa Khadijah r.a dan nabi saw pergi menemui Waraqah bin Naufal. Khadijah r.a telah berkata kepada Waraqah: “Wahai sepupu ku, dengarlah dari anak saudaramu”. Lalu Warqah bertanya nabi saw: “Wahai anak saudaraku, apakah yang kamu lihat?”. Lantas Rasul saw memberitahu apa yang ia lihat. Kemudian Waraqah menjelaskan: “Inilah Namus (malaikat Jibril) yang Allah turunkan kepada Musa. Wahai Muhammad, saya harap saya masih muda lagi ketika itu. Saya harap saya masih hidup ketika kaum mu mengeluarkan kamu dari negeri ini”. Lalu Rasulullah saw bertanya: “Adakah mereka akan mengeluarkan saya?”. Jawab Waraqah: “Ya. Tiada seorang pun yang dating seperti apa yang kamu bawakan melainkan saya cuba membiasakannya. Saya tahu kamu akan mengecapi kemenangan. Nabi saw mengharapkan mereka tidak mengeluarkannya, kerana beliau tiada alasan untuk dihalau keluar disebabkan pada dirinya terkandung akhlak-akhlak terpuji seperti yang pernah digambarkan oleh Khadijah dalam satu kenyataannya:
“Sesungguhnya engkau seorang yang menghubungkan silaturrahim, menolong semua orang, memenuhi keperluan orang yang miskin, melayani tetamu, membela nilai-nilai yang benar”. (Fath al-Bari)
Ibn Daghnah juga telah berhujah dengan sifat seperti itu supaya Abu Bakar tidak keluar dari Mekah. Namun Waraqah menyatakan sebab nabi dihalau ialah kerana kedatangannya kepada mereka adalah untuk memindahkan mereka dari persatuan mereka. Waraqah mengetahui dari kitab-kitab bahawa mereka tidak menerima nabi dan sudah semestinya nabi menghadapi tentangan dan permusuhan mereka. (Fath al-Bari)
1.Contoh-contoh hijrah para rasul:
Tiada satupun dari rasul melainkan ia akan berhijrah, kerana para rasul mengajak kaum mereka kepada iman dan menyatakannya dengan hujah, bukti dan dalil serta menggunakan segala pendekatan dan cara. Walaupun menggunakan hikmah dan pengajaran yang baik, namun kaum mereka menutup dan memekakkan teliga mereka, menutup akal mereka dari dakwah rasul. Ini menyebabkan para rasul terpaksa meninggalkan mereka dan berhijrah dari tempat mereka untuk mencari negeri yang baik yang sedia menerima nilai-nilai kebaikan, mengangkat pohon-pohon iman dan mengeluarkan buah-buahnya. Di antara rasul-rasul ini ialah;
1. Nabi Nuh a.s: berhasrat untuk berhijrah setelah berdakwah kepada kaumnya siang dan malam, secara sembunyi dan terang. Di samping mereka tidak menyambut dakwah nabi Nuh, malah mereka berterusan kufur dan lari dari keimanan. Justeru bahtera yang membawa orang-orang yang beriman telah berada di Gunung Jodi selepas Allah binasakan orang-orang kafir dan menenggelamkan mereka.
2. Nabi Ibrahim a.s: kerana telah berhijrah dari negeri Iraq ke negeri Syam. Malah kehidupan nabi Ibrahim merupakan siri-siri pengembaraan kerana telah melakukan perjalanan dari Syam ke Mesir, kemudian kembali ke Palestin, kemudian melakukan perjalanan ke Mekah bersama anaknya Ismail.a.s dan isterinya Hajar di satu lembah yang tiada tanaman berdekatan Baitullah di Tanah Haram.
3.Nabi Lut a.s: kerana kaumnya telah menolak dakwahnya yang mengajak kepada membersihkan diri dari perkara keji (liwat) yang tidak pernah dilakukan oleh kaum terdahulu di dunia ini. Lalu Allah memerintahkan Lut supaya keluar dari kampung yang dipenuhi dengan kejahatan dan kemaksiatan sebelum Allah menurunkan azabnya. Allah berfirman kepada nabi Lut dan nabi Ibrahim a.s:
“Dan kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang kami Telah memberkahinya untuk sekalian manusia”. (Al-Anbiaya’: 71)
Firman Allah:
“74. Dan kepada Luth, kami Telah berikan hikmah dan ilmu, dan Telah kami selamatkan dia dari (azab yang Telah menimpa penduduk) kota yang mengerjakan perbuatan keji. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat lagi fasik”. (Al-Anbiya’: 74-75)
4. Nabi Musa a.s: Kisah hijrah baginda dengan kaumnya telah diketahui umum. Al-Quran telah menceritakannya lebih dari satu tempat, yang mana nabi Musa dan kaumnya telah menyeberangi laut dan membinasakan Firaun dan tenteranya.
5. Penutup rasul dan nabi iaitu Muhammad saw: Gerakan dakwahnya di Mekah begitu terhimpit, baginda dan para sahabatnya sentiasa ditimpa pelbagai siksaan. Lalu nabi telah menyuruh sebahagian sahabatnya berhijrah ke Habsyah. Tinggallah baginda di Mekah sehingga datang perintah dari langit supaya berhijrah ke Madinah dan kami telah membincangkan tentangnya.
2. Jenis-jenis hijrah
Menurut Ibn al-Arabi: Para ulamak membahagikan bepergian di muka bumi kepada dua bahagian: Iaitu Lari dan memenuhi keinginan.
Lari dipecahkan kepada enam bahagian pula:
1.Hijrah, iaitu keluar dari Dar al-Harb (negeri kafir harbi)ke Dar al-as-Salam (negeri orang Islam). Hal ini wajib pada situasi nabi saw dan hijrah ini juga kekal wajib sehingga hari kiamat dan berakhir dengan pembukaan Kota Mekah yang ditujukan kepada nabi saw. Namun hukum ini kekal di negeri “Dar al-Harb” dan sedikir perbezaan keadaannya.
2.Keluar dari negeri bid’ah. Menurut Ibn al-Qasim: Saya dengar Imam Malik pernah berkata: Tidak dibenarkan tinggal di negeri yang mengeji golongan Salaf”.
3.Keluar dari negeri yang dipenuhi dengan perkara yang diharamkan, kerana mengingini perkara yang halal adalah wajib bagi setiap muslim.
4.Lari dari penyiksaan pada tubuh badan. Inilah kurniaan dari Allah yang memberi rukhsoh (keringanan). Apabila tercetus kebimbangan tentang keselamatan dirinya, maka Allah membenarkan keluar dari negerinya dan lari meninggalkannya untuk membebaskan dari kebimbangan itu.
Orang yang pertama melakukannya ialah nabi Ibrahim a.s iaitu apabila bimbangkan kaum. Nabi Ibrahim telah berkata:
“Sesungguhnya Aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku)”. (Al-Ankabut: 26)
“ Dan Ibrahim berkata:"Sesungguhnya Aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan dia akan memberi petunjuk kepadaku”. (As-Shaffat: 99)
Allah memberitahu tentang Musa:
“Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut menunggu-nunggu dengan khawatir”. (Al-Qashah: 21)
“Lalu Aku lari meninggalkan kamu ketika Aku takut kepadamu”. (As-Syu’ara’: 21)
.
5.Takut penyakit akan berjangkit dan keluar ke negeri yang bebas dari jangkitan
Nabi telah membenarkan para pengembala ketika mereka diserang wabak di Madinah supaya keluar ke tempat ternak dan mereka tinggal di situ sehingga pulih. Namun bagi wabak taun dikecualikan dari keluar kerana Allah telah melarangnya melalui hadith sahih dari nabi saw.
6.Lari kerana takut mengancam harta, kerana kehormatan harta seorang muslim sama seperti kehormaan darahnya dan keluarganya.
Bagi bahagian memenuhi keinginan, terdapat pelbagai jenis yang boleh dipecahkan kepada 9 bahagian:
1.Bermusafir untuk mendapat pengajaran. Firman Allah:
“Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka?”. (Ar-Rum: 9)
Dikatakan Zulqarnain telah mengelilingi dunia untuk melihat keajaibannya. Ada pendapat mengatakan untuk menyebarkan kebaikan di dunia.
2.Bermusafir kerana mengerjakan haji..
3.Bermusafir kerana berjihad dan ia mempunyai hukum-hukum tertentu.
4.Bermusafir kerana mendapatkan keperluan hidup. Diberi kebenaran kepada lelaki yang mencari keperluan hidup dengan terus menetap di mana ia hanya keluar jika memenuhi keperluannya seperti berburu, mencari kayu api atau bahan bakar kerana ianya wajib baginya.
5. Bermusafir kerana menjalankan perniagaan dan memperolehi pendapatan tambahan. Hal ini harus kerana kurniaan Allah. Firman Allah:
“Tidak ada dosa bagimu untuk mencari karunia (rezki hasil perniagaan) dari Tuhanmu”. (Al-Baqarah: 198)
Iaitu perniagaan yang merupakan nikmat dari Allah semasa dalam perjalanan haji.
6.Bermusafir kerana menuntut ilmu. Inilah yang paling terkenal sekali.
7.Bertujuan menjelajah. Sabda nabi saw:
“Jangan kamu mulakan perjalanan melainkan menuju ke tiga masjid”. (Bukhari)
8.Pergi ke medan pertempuran dan mempertahankan dari serangan musuh.
9.Menziarahi saudara-saudaranya kerana Allah. Sabda nabi saw:
“Seorang lelaki telah menziarhi saudaranya di suatu kampong. Lalu Allah telah mengirimkan malaikat untuk menyoalnya. Lalu malaikat bertanya: Ke mana tujuan kamu? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarhi saudaraku di kampong ini. Malaikat bertanya lagi: Adakah kamu memperolehi sesuatu kepentingan darinya?. Jawab lelaki itu lagi: Tidak ada apa-apa kepentingan. Aku menziarahinya kerana aku mengasihi Allah. Lalu malaikat menjelaskan: “Sesungguhnya aku telah diutus Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah mengasihimu sebagaimana kamu mengasihi saudaramu”. (Muslim)
3. Balasan kepada orang-orang berhijrah (Muhajirin) di dalam al-Quran:
Al-Quran telah menyatakan balasan baik yang Allah janjikan kepada orang-orang yang tertindas (mustadh’afin) di muka bumi, mereka telah dilarang dari menetap di negeri kelahiran mereka dan dibesarkan di sana.
Allah swt telah menjanjikan balasan kepada mereka di dunia dan pahala yang besar yang tersedia di akhirat. Firman Allah:
“41. Dan orang-orang yang berhijrah Karena Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan Sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui,42. (yaitu) orang-orang yang sabar dan Hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal. (An-Nahl: 41-42)
Balasan baik di dunia menurut kitab tafsir ada enam pendapat:
1.Tiba di Madinah
2.Rezeki yang baik
3.Kemenangan ke atas musuh mereka.
4.Pertuturan yang baik dengan pujian yang mulia kepada orang yang dating kemudian, seperti doa nabi Ibrahim a.s:
“Dan jadikanlah Aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) Kemudian”. (As-Syuara’: 84)
5.Berjaya membuka begeri-negeri yang baru dan kini mereka mempunyai banyak wilayah-wilayah.
6.Kekal mendapat kepujian untuk mereka di dunia dan anak-anak mereka terus mendapat kemuliaan.
Semua itu telah dihimpunkan untuk mereka dengan kurniaan Allah. Segala puji hanya bagi Allah.
Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a, bahawa apabila beliau memberi sedekah kepada lelaki dari kalangan Muhajirin, beliau akan berkata;
“Ambillah..Allah memberkati kamu. Inilah yang dijanjikan Allah di dunia. Ingatlah kurniaan Allah di hari akhirat adalah lebih besar jika kamu mengetahui”. (al-Dur al-Mantsur: 4/221)
Tentang balasan orang-orang yang berhijrah dan bersabar pada jalan Allah di akhirat;
Allah swt telah berfirman:
“58. Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, Kemudian mereka di bunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezki yang baik (surga). dan Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezki.59. Sesungguhnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam suatu tempat (syurga) yang mereka menyukainya. dan Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun. (Al-Hajj: 58-59)
Dari Salman al-Farisi: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa yang mati di atas kuda kerana berjuang di perbatasan, maka Allah memberikan ganjaran ke atasnya seperti pahala berjihad, membalasnya dengan rezeki, selamat dari fitnah dan bacakan mengikut kehendakmu: “Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, Kemudian mereka di bunuh atau mati”. (Al-Hajj: 58) (Ad-Dur al-Mantsur: 4/664)
Dari Fadhalah bin Ubaid al-Ansori seorang sahabat: Pada satu ketika tentera Islam melalui dua jenazah; seorang terbunuh dan yang lain meninggal dunia. Ramai yang cenderung kepada jenazah yang terbunuh. Lalu Fadhalah berkata: Apakah yang mendorong ramai orang memilih jenazah itu dan meninggalkan jenazah ini? Mereka menjawab: Ini adalah kenazah yang terbunuh pada jalan Allah. Lalu Fadhalah menyatakan: Saya tidak mempedulikan sebab jenazah ini mati. Dengarlah Allah berfirman: “Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, Kemudian mereka di bunuh atau mati, dan “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi Ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak”. (An-Nisa’: 100)..tempat hijrah yang bertukar dari satu negeri ke satu negeri yang lain dan mendapat rezeki yang melimpah. (Ad-Dur al-Mantsur: 2/368)
Janji Allah untuk memberikan balasan baik terus kekal kepada orang yang ditekan dan ditindas di negeri dan tanair mereka dan berasa sukar untuk menyempurnakan iabadah kepada Allah, maka keluarlah dengan rela atau benci.
Janji Allah terus kekal kepada mereka dengan mengurniakan rezeki yang luas dan lapang di dalam hidup ini di samping balasan yang besar di akhirat nanti.
Allah menyempurnakan janji kepada mereka yang berhijrah kerana mereka tidak memperolehi keamanan di negeri mereka dan kerana dapat hidup dengan penuh kelapangan di negeri tempat hijrah kerana janji Allah itu benar. Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janjiNya.
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=43688&SecID=363