Bismillahirrahmanirrahim.....
Pada suatu petang di era 80 an, sekumpulan anak-anak muda di Kampung Sungai Penchala berkumpul di dalam sebuah gelung (saluran air). Mereka berkumpul bukannya untuk bergosip dan melepak membuang masa. Tetapi misi mereka ketika itu sangat bermakna dan menjadi pencetus kepada satu perjuangan yang kekal sehingga kini.
Mereka merakam album yang pertama di sebuah gelung saliran air! Suatu yang amat menyedihkan, ketika itu mereka hanya bernasyid dengan satu nada sahaja disebabkan ketiadaan kemudahan alat muzik dan studio rakaman. Sebelum itu, mereka hanya membuat persembahan di majlis-majlis ceramah dan ramai yang tidak menyedari kehadiran mereka.
Mereka menggelarkan diri mereka dengan nama Putera-Putera Al-Arqam Malaysia.
Antara lagu-lagu awal mereka ialah :
- Masyarakat Islam Telah Bermula
- Tanpa Agama
- Mari-Mari Kita Sejenak Mengingat
- Maridhallahuilla
- Kholidubilquran
- Islam Yang Telah Berkembang
- Di Pondok Kecil
- Di Sini Kami Berkumpul
Jika tidak silap saya, lagu Tanpa Agama dan Di Pondok Kecil telah dirakam semula. Evergreen sungguh lagu-lagu itu kan? Sangat hebat ilham yang Allah SWT kurniakan kepada mereka untuk mencipta lagu yang baik ketika itu. Masya-Allah..
Mereka suatu ketika dahulu (sumber : http://syukbah.blogspot.com)
Hari demi hari kemudahan mereka semakin bertambah. Mereka telah mempunyai pakaian persembahan sendiri (jubah putih dan serban putih). Selain itu, mereka juga telah mempunyai sistem audio dan studio sendiri. Persembahan mereka juga semakin kerap dipersembahkan di majlis-majlis ceramah anjuran Al-Arqam. Dan ketika inilah Arwah Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani) membuat penampilan sulongnya dengan menjadi vokalis utama kumpulan nasyid Putera-Putera Al-Arqam Malaysia ini.
Kadang-kadang mereka juga menggunakan nama Syukbah Kebudayaan Al-Arqam dan lagu-lagu mereka menjadi siulan pemuda-pemuda Al-Arqam di seluruh dunia. Bagi pengikut Al-Arqam, inilah sahaja hiburan bagi mereka. Jadi tidak hairanlah setiap kali risalah-risalah Al-Arqam diedarkan, mereka (pemuda Al-Arqam) turut menjual kaset-kaset kumpulan nasyid ini.
Kualiti lagu-lagu mereka semakin hari semakin meningkat dengan mempelbagaikan bentuk suara seperti bass, harmoni, suara kanak-kanak dan selingan sajak oleh saudara Dinie Juri dan Pak Nora.
Antara lagu-lagu studio awal mereka ialah :
- Maulana
- Ya Robbi Salimna
- Sifat 20
- Harapanku Pada-Mu Subur Kembali
- Sampailah Waktu
- Bila Izrail
Album yang paling mendapat sambutan ialah album Kelahiran. Setiap kali mengadakan persembahan, pasti ramai yang hadir memberi sokongan dan mereka juga menjual kaset-kaset mereka di situ. Apabila sokongan semakin menggalakkan, mereka memikirkan untuk membuat pembaharuan dalam kumpulan mereka. Sejak dari itu mereka menggunakan alatan muzik, membuat studio yang lebih canggih, mempunyai kenderaan sendiri untuk memudahkan ke sana ke mari dan mencari generasi pelapis yang dapat meneruskan perjuangan nasyid ini.
Majlis hiburan Islam anjuran Al-Arqam
Ramai pelajar-pelajar Al-Arqam yang menunjukkan minat yang mendalam untuk menjadi penasyid. Sejak dari itu, hasil daripada perbincangan yang telah dibuat di antara mereka, nama Putera-Putera Al-Arqam Malaysia ditukar dengan nama NADAMURNI.
DI ERA NADAMURNI
Mereka sebulat suara bersetuju menggunakan nama NADAMURNI sebagai nama yang baru. Antara anggota-anggota asal kumpulan NADAMURNI ini ialah :
- Asri Ibrahim
- Isman Nadim
- Rahmat Shafie
- Asri Ubai
- Faizal Osman
- Yusuf Sabri
- Amin
- Rosman
- Hamzah
- Hashim Ngadiman
Dalam NADAMURNI, mereka telah menggunakan kompang dan alatan muzik tradisional yang lain. Bagi seluruh jemaah Al-Arqam, mereka telah mengganggap kumpulan ini sebaris dengan artis-artis yang lain dengan menyanyikan lagu dan menceritakan tentang kehebatan kumpulan ini.
Adakah yang anda kenal? Saya rasa ada..
Antara lagu-lagu mereka dalam jenama NADAMURNI ialah :
- Bisikan aidilfitri
- Munajat
- Potret Aidilfitri
- Cahaya Di Ufuk Timur
- Kasih Sayang
- Balada Makkatul Mukarramah
- Untukmu Rasulallah
PENUBUHAN SYARIKAT OVA PRODUCTION
Selepas lama bergerak secara ‘underground’, mereka telah menubuhkan sebuah syarikat rakaman sendiri iaitu OVA Production. Produk yang mereka hasilkan ialah video ceramah, kaset nasyid kanak-kanak, kaset nasyid muslimah dan lain-lain lagi. Pada masa yang sama OVA Production memperkenalkan artis pertama di bawah naungannya iaitu The Zikr dan anggota asalnya terdiri daripada :
- Nazri Johani (Sabah)
- Zairee
- Abu Bakar
- Soleh
- Azman (Sabah)
Dan mereka juga memperkenalkan kumpulan lain iaitu :
- Suara SMKAKL (juga dikenali dengan nama ANUGERAH)
- Nadamurni II (kanak-kanak)
- Shaoutussofwa
- Nada Athirah
- Qatrunnada (Muslimah)
Semenjak kemasukkan saudara Farihin Abd Fatah ke dalam Ova Production, banyak pembaharuan yg dapat dilihat. Beliau berkongsi idea dengan saudara Waharp Yusof, Sohibul Fadhil, Dinie Juri dan lain-lain. Mereka bekerja di dalam satu pasukan dan hasilnya Nadamurni semakin diterima oleh masyarakat terutama masyarakat kampus. Sejak itu lagu-lagu Nadamurni juga sudah mula kedengaran di dalam radio dan TV.
KEHADIRAN MUNIF DAN PEMBUBARAN NADAMURNI
Kebiasaan yang berlaku kepada sesebuah kumpulan, ahlinya pasti silih berganti. Tibalah masanya seorang lagi vokalis kedua diperkenalkan iaitu saudara Munif Ahmad (Hijjaz). Kehadiran Munif Ahmad ke dalam Nadamurni memberi kesan yang semakin mengancam. Kini, mereka tidak mempunyai masalah untuk memenuhi jemputan persembahan kerana mereka mampu mengagihkan kumpulan kepada dua kerana kehadiran dua orang vokalis utama. Hebat kan? Kehebatan kumpulan NADAMURNI ini tiada tandingan ketika itu, namun langit tidak selalu cerah. Pada tahun 1994, jemaah Al-Arqam dan Aurad Muhammadiah diharamkan oleh kerajaan dan kumpulan ini dibubarkan.
Pembubaran ini bukanlah suatu musibah kepada mereka tetapi adalah satu hikmah terhadap perjuangan mereka. Daripada penampilan berjubah dan berserban putih, kini mereka mengubah cara penampilan mereka dengan memakai kopiah yang beraneka corak dan warna. Artis-artis OVA Production juga telah berpecah untuk mewujudkan kumpulan yang baru. Lahir dengan semangat dan cara yang baru lagi memberangsangkan.
Artis OVA Production berpecah kepada :
- RABBANI (Nadamurni)
- HIJJAZ (Nadamurni dan The Zikr)
- RAIHAN (The Zikr)
- NOW SEE HEART (Suara SMKAKL @ Anugerah)
- JAUHARI (Nada Athirah)
- MAWADDAH
- UST AWALUDDIN (bergerak secara solo)
Ada juga di antara mereka yang bergerak aktif dalam permainan alatan muzik dan back up artis :
- HAMZAH (Nadamurni)
- ROSDY (Nadamurni II)
Jauh sungguh perjalanan mereka sehingga ke hari ini. Dari tiada apa-apa sehingga menjadi kumpulan yang hebat sekarang. Benarlah kata orang, insan yang paling gembira mendapat kejayaan adalah orang yang berjaya dari usaha dan kepayahannya dahulu. Apa kata kita lihat sedikit foto-foto lama dan baru yang menggamit memori silam.
Mungkin cover album dulu-dulu
Memang foto yang nostalgia
Lagi gambar persembahan
The Zikr suatu ketika dahulu
Dari The Zikr kepada Raihan
Lagu-lagu Nadamurni dirakam kembali oleh Rabbani dan Hijjaz.
Persoalan telah terjawab dan sedia terjawab. Hijjaz, Raihan dan Rabbani berasal dari satu aliran yang sama. Asalnya mereka dari kumpulan Nadamurni dan kumpulan naungan OVA Production. Merekalah generasi pertama yang memperjuangkan nasyid di Malaysia ini, dan sehingga ke hari ini nama mereka masih disebut-sebut sebagai penasyid lagenda dan evergreen.
Al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani), Allahyarham Zairee (Raihan), Allahyarham Soleh (Hijjaz) yang telah kembali ke rahmatullah. Insya-Allah.. Perjuangan dakwah melalui hiburan ini menjadi jariah untuk mereka di sana. Amin..
Terima kasih kepada penasyid-penasyid hebat (mereka semua) yang telah banyak berkorban jiwa dan raga dalam arena ini. Kredit juga kepada saudara Abu Darwisy kerana sumber artikel dan gambar-gambar dalam entri ini diambil dari blognya (saya olah semula dengan gaya bahasa saya sendiri). Bolehlah juga melawat blog beliau (di sini), juga entri asal (di sini).
HIBURAN WADAH DAKWAH!!
Sumber: Email