Thursday, April 16, 2009

Tahniah Nik Madihah : Awasi Dunia Barumu

Tahniah Nik Madihah :

Awasi Dunia Barumu

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Tahniah kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan negara dengan pencapaian 20 A. 19 1A, dan 1 2A. Bagi individu berlatarbelakangkan agama seperti saya, kejayaan ini lebih manis apabila datang dari seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan bersekolah agama. Lebih manis lagi apabila ia lahir dari sebuah keluarga yang tidak berada dari sudut kebendaan, tidak pula dilimpahi kemudahan-kemudahan tambahan seperti tuisyen dan lainnya.

Inilah yang dinamakan dakwah bil hal, iaitu satu bentuk teladan dan ajakan kepada kebaikan melalui pencapaian dan teladan hasil kejayaan dan perlakuan diri, bukan melalui percakapan atau tulisan. Benar, hampir seluruh Malaysia menumpu kepada beliau, dan tabiat manusia khususnya orang Malaysia adalah ingin mengetahui ‘rahsia' kejayaannya. Lebih biasa kita dengar adalah cuba mendapatkan jalan pendek kepada kejayaan yang sama. Kasihan juga memikirkan minda sebahagian muslim yang inginkan kejayaan tetapi melalui rahsia tertentu, ayat Al-Quran tertentu, doa khusus dengan ‘power' tertentu dan lainnya, dengan harapan semua itu akan memberi satu kuasa luar biasa walaupun tanpa susah payah usaha, mereka cuba mengelak dari jalan sukar dan panjang. Ia adalah satu minda yang songsang kerana semua kejayaan melalui jalan pendek adalah tiada kukuh asasnya atau HAMPIR SEMUANYA diperolehi dengan jalan korup dan salah.

Apa yang lebih menarik pihak media massa dalam kisah adik Nik Madihah, bukan sekadar kejayaannya tetapi juga ketabahannya mengharungi pembelajaran dalam suasana serba kekurangan harta benda yang kerap dijadikan ukuran kebolehjayaan seseorang. Jelas, limpahan kebendaan bukanlah satu kewajiban untuk mencatat kejayaan cemerlang.

madihah1.jpg

IBADAH DAN KEJAYAAN

Kenyataan Nik Nur Madihah yang berterus terang berkenaan kebiasaannya berpuasa Isnin Khamis turut memberikan impak positif kepada ibadah puasa yang adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhan aqal (mereka adalah kumpulan sekular), yang sering mendakwa puasa boleh membantutkan prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan dan tidak bermaya.

Tudung labuhnya tidak menutup mindanya dari cerdas sebagaimana anggapan dan tuduhan sebahagian wanita moden yang amat membenci pakaian Islam ini. Bibirnya tidak perlukan warnaan merah lipstick, matanya tidak perlukan eyeshadow warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan blusher merah agar dilihat bijak. Semuanya natural. Beliau juga tidak perlukan skirt pendek bagi menampaknya kecekapan mindanya.

Mujurlah adik Nik tidak memaklumkan berkenaan ibadah solat malam dan tahajjudnya. Jika tidak tentunya bekas pemimpin dan pemimpin yang pernah ‘membantai' solat malam dengan hujjah ia memundurkan prestasi pelajar akan seolah-olah ditampar kiri kanan serta terkena jurus ‘flying kick' di perut.

madihah2.jpg

CABARAN MENGEKAL KEJAYAAN

Erti kejayaan amat luas dan subjektif, sebagai umat Islam kita wajib melihatnya dari perspektif keagamaan terlebih dahulu sebelum tenggelam dengan takrifan dan definisi kejayaan dari kacamata kebendaan. Namun saya tidak ingin memanjangkan takrif dan erti tersebut di dalam artikel ini.

Apapun saya ingin merakamkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah dan para pelajar lain yang berjaya menempa kecemerlangan dalam peperiksaan SPM mereka.

Namun beringat-ingatlah, pengalaman saya mengambil SPM di awal tahun 1990 an, dan melihat kejayaan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan SPM memperlihatkan satu gambaran dan analisa yang berbeza-beza.

Tidak sedikit pelajar yang menyapu bersih 1A dalam semua atau majoriti matapelajaran tetapi tewas dan jatuh terjelepok semasa kehidupan di universiti. Puncanya sangat pelbagai namun asasnya adalah akibat lemah jatidiri hingga ‘cair' dengan alam universiti yang lebih bebas berbanding sekolah. Satu alam yang menguji proses kebijaksanaan seseorang dalam menentukan hala tuju kehidupan dan ujian membuat banyak keputusan. Ramai juga yang gagal, lalu kejayaan SPM mereka hanya tinggal sebagai satu kenangan manis. Selepas keluar dari univeristi mereka bukan lagi individu teladan dan kebanggaan agama dan negara, mereka hanya orang biasa, malah mungkin duduk pun sebaris dengan individu yang gagal di dalam SPM mereka.

Tanpa mengira lokasi universiti, sama ada di dalam atau luar negeri, pokok pangkal kelangsungan kejayaan adalah terletak pada hati dan diri sendiri. Ramai yang berbangga apabila dapat melanjutkan pelajaran ijazah pertama ke luar negara, namun pulangnya tidak seperti manusia. Rambut kusut masai lagak penyanyi rock, pakaiannya berkiblatkan barat, hati dan minda menggengam erat ideologi barat, percampuran bebas dianggap bertamadun, duduk serumah lelaki dan perempuan bujang dianggap 'bagus' serta jimat. Bukan semua berambut panjang salah, memang benar ia terletak kepada niat dan pelbagai faktor lain (antaranya jimat budjet) namun point yang ingin saya tegaskan di sini adalah terdapat ramai yang penampilan luarannya sengaja diniat menyamai barat hasil kekagumannya kepada negara itu.

Lebih malang, dara dan terunanya sudah lama mengucapkan selamat tinggal. Akibat kelemasan dengan cara hidup masyarakat Barat, dirasakan cara hidup ini sebagai mulia dan terkehadapan. Kasihan melihat pelajar-pelajar cemerlang SPM seperti ini, mereka dibiayai oleh kerajaan Malaysia hasil wang masyarakat Malaysia atas kejayaan aqal mereka, namun rupanya aqal mereka HANYA BIJAK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN, tetapi tidak bijak menangani persoalan kehidupan realiti, tidak bijak membuat keputusan mungkin kerana tiadanya ‘silibus khusus yang dibocorkan oleh guru'. Kegagalan ini adalah hasil dari hati yang gersang dan kering dari panduan Ilahi.

MINDA ROBOT AKAN KARAT

Itu jika dilihat dari aspek kegamaan, namun bukan sekadar itu sahaja. Pengalaman saya mengendalikan banyak interview, demikian juga hasil maklumat dari rakan-rakan di industri kewangan di Malaysia, juga adik beradik saya yang kini banyak mengendalikan temuduga kerja di syarikat masing-masing. Dapat saya kumpulan kesimpulan bahawa, keputusan 3.5 hingga 4.0 CGPA di univeristi juga tidak menjamin kemampuan dan bakat graduan.

Saya telah pernah menuliskan sekelumit panduan semasa temuduga, satu proses ujian yang kerap mendedahkan kekeringan bakat dan minda calon, walaupun dahulunya ia seorang cemerlang SPM, juga top scorer di Universiti.

Bukanlah niat saya menghilangkan motivasi pelajar untuk mencapai keputusan mantap lagi cemerlang. Ia satu kewajiban dan tuntutan, tetapi aspek kecerlangannya perlu diluaskan lagi. Menjadi seorang mat atau minah buku di universiti adalah teknik mudah untuk menjadi graduan berminda robot, cepat pula tarikh expirednya. Bijak-bijaklah mengatur urus pengajian di universiti, jangan menjadi ulat buku berminda robot yang amat mudah outdated dari dunia realiti, akhirnya menjadi computer buruk berharga murah.

Bagi menjadi minda manusia cemerlang, pelajar cemerlang wajib membuka minda dan terlibat dalam banyak masalah sama ada persatuan, dakwah dan aktviti di universiti. Semakin banyak dan pelbagai masalah yang menyerang semasa di universiti lalu dia mampu melepasinya, KIAN TINGGILAH antibodi diri.

Peratusan untuk menjadi seorang yang kebal, berpasak kukuh, berminda komputer yang sentiasa updated dan menjadi idaman setiap institusi dan syarikat akan semakin CERAH. Lebih dari itu, andalah cahaya baru buat kebangkitan agama dan pengemudian hala tuju masyarakat. Saya bukan bercakap kosong, tetapi hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman. Sebenarnya telah ramai yang berjaya dan ramai juga yang saya kenali. Jalan mereka hampir serupa cuma belum dan tidak dibukukan untuk tatapan ramai.

Nasihat saya buat Nik Nur Madihah dan pelajar-pelajar lain yang mencatat kejayaan SPM, sama ada anda memilih UK, Jordan, Mesir, Malaysia atau di mana negara pun, jalan kejayaan masih jauh. Hempasan ombak cabaran dalam membuat keputusan masih belum melanda. Bersedialah, dan gariskan awal-awal hala tuju kejayaan diri. Beristisyarlah (bertanya dan bermesyuarat) dengan individu yang mempunyai hikmah dan pengalaman, sesungguhnya kejayaan melalui pengalaman itu suatu realiti, sedangkan kejayaan peperiksaan bertulis hanya teori.

Akhirnya, khas buat Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, selamat datang ke dunia barumu. Awasilah ia dengan minda dan hati yang sedar. Segala jenis syaitan sedang menunggumu di kiri kanan, depan dan belakang. Kenalilah segera mana syaitan dan mana Malaikat. Semuanya sudah tercatat di dalam Al-Kitab dan Khazanah Nabi dan sahabat.

Sesiapa yang tinggal berhampiran dengan rumahnya, amat saya hargai jika dapat diprint artikel ini dan disampaikan kepada beliau.

Salam ikhlas perjuangan dari saya.


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

20 Mac 2009

23 Rabi'ulawwal 1430

Friday, March 27, 2009

Usrah Rasa Hati : Hati Yang Sakit

Usrah Rasa Hati : Hati Yang Sakit

Hati yang sakit mengakibatkan pandangan dan tanggapan hati terhadap sesuatu tidak betul. Hati yang sakit menyebabkan kebenaran tidak dapat dilihat walaupun ianya merupakan satu kebenaran, hati yang sakit melihat kebatilan sebagai satu kebenaran, atau ia melemahkan pemahamannya terhadap sesuatu kebenaran lalu mematikan hatinya untuk menerima kebenaran.

Hati yang sakit menyebabkan hati membenci kebenaran yang memberi kebaikan kepadanya. Hati yang sakit menyukai kebatilan sedangkan kebatilan itu akan memudaratkannya. Hati yang sakit juga tidak tahu memilih antara kebenaran dan kebatilan, akhir cenderung kepada kebatilan kerana mengikut hati dan perasaan.

Justeru orang yang hatinya sakit sukar untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Apabila melihat sesuatu dia akan melihat manusia yang melakukan atau kejadian semulajadi, lupa bahawa Allah swt yang sebenarnya menjadikan tiap sesuatu. Apabila ditimpa bala dan bencana, mereka melihat manusia yang menyebabkan bala bencana tetapi mereka tidak nampak ia merupakan qada' dan qadar dari ilahi.

Berbeza dengan orang yang hatinya sihat dengan cahaya keimana, mereka melihat semua perkara ada hikmahnya dan ditentukan oleh Allah swt, pasrah dan redha menjadi hiasan hati, kehidupan yang bahagia sentiasi dimiliki.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن

Maksudnya; Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusannya baik, apabila mendapat nikmat kesenangan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.

Kebiasaannya orang yang hatinya sakit tidak merasa tenang, tidak merasa bahagia walaupun dikelilingi berbagai nikmat dan kemewahan, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, kebiasaannya membuat sesuatu diluar dari kewajaran dan rasional. Hatinya penuh dengan macam-macam penyakit hati menyebabkan sakitnya bertambah parah.

Sebab-sebab hati sakit;

1.Lupakan Allah, lupa dari mengingati Allah, lupa bahawa Allah tidak alpa dari apa yang dilakukan oleh manusia, lupa bahawa Allah lah yang menentukan segalanya, lupakan Allah kerana kurang mengingati Allah, dan hati lebih terikat kepada perkara-perkara yang disukai selain Allah.
2.Lupakan perintah-perintah Allah kerana tidak suka kepadanya, mengutamakan keseronokan dan hatinya sentiasa terikat dengan dorongan nafsu syaitan.
3.Lupakan hari kiamat, tidak mengingati mati, kurang mengingati dosa dan pahala, kurang mengingati hari pembalasan, syurga dan neraka

Apabila ketiga-tiga sebab tadi terangkum dalam hati manusia maka beratlah untuk melakukan ibadah, sebaliknya ringan pula untuk melakukan dosa dan maksiat, mengutamakan urusan dunia dan meninggalkan urusan berkaitan akhirat, mendahulukan keinginan nafsu dan mengambil ringan perintah Allah, melampaui batasan-batasan agama, menjadi orang yang zalim dan mendahulukan keinginan diri dari kehendak Allah

Perkara-perkara yang boleh merosakkan hati;

1.Jahil agama.
2.Pergaulan dengan orang-orang yang hatinya sudah rosak, hatinya mati dan menjadikan mereka sebagai teman.
3.Suka berangan-angan dan berkhayal tentang sesuatu yang tak kan dapat dicapai.
4.Bergantung dengan selain daripada Allah swt.
5.Banyak makan dan sentiasa memikirkan tentang makanan, tidak menghiraukan halal haram dalam urusan makanan.
6.Banyak tidur, orang yang banyak tidur mensia-siakan masa, pelupa dan pemalas

Wednesday, March 18, 2009

Cinta Sejati


Andai engkau masih REMAJA,

Jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu,

Andai engkau SUDAH BERSUAMI,

Jadilah isteri yang meringankan beban suamimu,

Andai engkau masih IBU,

Didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din ALLAH SWT…

Hawa,

Andai engkau BELUM BERNIKAH,

Jangan kau risau jodohmu,

Ingatlah Hawa janji Tuhan kita,

Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik…

Andai ditakdirkan TIADA CINTA daripada ADAM UNTUKMU,

Cukuplah hanya cinta ALLAH SWT memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu,

Biarlah hanya cinta daripada kedua IBU BAPAMU yang memberi hangat kebahagiaan buat dirimu,

Cukuplah sekadar cinta ADIK-BERADIK serta keluarga yang membahagiakan dirimu…

Hawa,

Cintailah ALLAH SWT di kala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada INSAN YANG MENYINTAI ALLAH SWT…

Cintailah kedua IBU BAPAMU kerana kau akan perolehi KEREDHAAN ALLAH SWT…

Cintailah KELUARGAMU kerana kau TAK AKAN JUMPA cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga…

Janganlah sesekali TANGAN YANG MENGGONCANG DUNIA JUGA YANG MENGGONCANG IMAN LELAKI

P/S :
Ingatlah wahai sahabatku dan juga diriku…bukan cinta insani yang
perlu…didamba…sebaliknya…cinta Ilahi lah penyuluh hidupmu…

Cintakan bunga layu, hancur dan
musnah…

Cintakan manusia, manusia akan mati…

Cintakan Tuhan kekal buat
selama-lamanya!!

Ingat tu!!


Wednesday, February 4, 2009

Kembara ke Medan,Indonesia

KEMBARA ke MEDAN,INDONESIA
Tarikh : 25 - 26hb Feb 2009


Alhamdulillah wasyukurillah kepada Allah diatas kurniaan kepada hambamu ini melihat keagungan dan tanda-tanda kebesaran ciptaanmu di bumi indonesia.

Pulau Pinang 25hb Feb 2009,Pengembaraan ke Medan bertolak pada jam 10.30pg di Bayan Lepas Air Port mengunakan Malaysia Airlines (MAS).
Bersamaku seorang pemandu pelancong Indonesia namanya Pak Ibrahim.Pak Brahim banyak menceritakan kisah sejarah Medan.
Sampai di Medan kami di bawa ke Restoren Minang untuk makan tengahari .Alhamdulillah makanan lazat2 belaka.Di Medan kebanyakan penduduknya terdiri dari orang Jawa & Minang.Selepas makan tengahari kami bertolak ke tempat penginapan di Brastagi.Penginapan kami terletak diantara 2 gunung berapi yang aktif yaitu Gunung Simbayak & Gunung Simbarong.
Semasa melalui perkampungan org batak kelihatan ditepi jalan ada banyak gerai yang tertulis "babi panggang".Bukan cerita Babi Panggang yg ingin di ceritakan..tetapi jualan secara terbuka berbanding dgn negara kita.Kehidupan org batak ini lebih banyak bergantung kepada pertanian berunsurkan sayur & buah buahan.Ini disebabkan kawasan mereka terletak di atas pergunungan.Kebanyakan kaum wanita mencari nafkah utk keluarga berbandingkan dengan kaum bapa pula membuang masa duduk dikedai kopi sambil minum arak.Begitulah kehidupan harian mereka.Agama yang mereka anuti ialah kristian.Jadi tak hairanlah sekiranya kita lalu dijalan kelihatan begitu banyaknya Gereja-gereja kristian.Kehidupan mereka mmg susah rumah pun mcm nak roboh...tetapi apa yg kita dpt lihat kuburan mereka mmg cantik dari rumah mereka.Alangkah ruginya mereka kerana ditipu daya oleh dunia...Alhamdulillah aku dilahirkan dlm keluarga yg mengamalkan Islam.Itu lah nikmat pertama yg perlu aku syukuri.Sampai di Brastagi kami bermalam di Hotel Toba Gundaling.Keadaan di Brastagi sangat cantik dan suhunya amat sejuk seperti berada di Cameron Highland.Kehidupan masyarakat Batak di Brastagi kebanyakan wanitanya bertani dan berniaga.

Dibelakang ku kelihatan seorang makcik yang berniaga buah jambu madu...
Jalan menuju ke Banda Acheh
Berlatar belakang Air Terjun Sipisopiso ..airnya mengalir ke Tasik Toba.Permandangan di Danau Toba.Peta Lake Toba
Kalau Ingin ke Tasik Toba mesti melalui restoren ini...pekena teh halia zaman penjajahan dulu..Ikan di darat Asam dilaut.....semasa perjalanan ke Danau TobaBot yang kunaiki utk ke Pulau Samosir....kelihatan anak2 batak mendendangkan lagu2 sejarah di sepanjang perjalanan ku...selepas itu kena menyumbang...Permandangan di rumah batak toba.. ...cantik rumah tradisi mereka...skrg tidak lagi Tempat orang bujang batak melepak sambil bermain muzik disini.... Kalau kita tengok cara pembuatannya tidak mengunakan paku.Sebab dibuat tinggi kerana untuk menghindari dari binatang buas.Tempat bermesyuarat ketua-ketua batak...yang duduk itu bukan batak..saja test kerusi yg diukir mengunakan batu ...
hari berikutnya bermalam di Hotel Petra Jasa,Lake TobaMakan Tengah Hari di Restoren Garuda,Medan ...Nasi Padang tu...

Wednesday, January 21, 2009

Konflik Yahudi dan arab palestin edisi satu (sebelum tertubuh negara Israel)

Tahun 1829- Perancangan dari pemimpin Yahudi di England, Itali, Romania, Maghrib, Rusia, untuk berkerja sama melaksanakan projek menjadikan Palestin sebagai tempat tinggal Yahudi.
Tahun 1881- Bila timbulnya masalah orang2 yahudi di Rusia, hampir 2.5 juta yg berpindah ke Daulah Uthmaniah. Diantaranya 155 ribu yg berpindah ke Palestin.

Tahun 1896- Muncul seorang tokoh yahudi bernama Theodor Herzl yang berasal dari Hungary. Dia yang mengasaskan Ikatan Penjajahan Yahudi di Palestin dan telah menerbitkan buku yg bertajuk “Negara Yahudi”.

Tahun 1897- Theodor Hezrl (gambar)telah menawarkan ganjaran yg lumayan kepada Sultan Abdul Hamid supaya beliau memberi kebenaran pada orang2 yahudi berpindah ke Negara Palestin. Dengan tegas beliau menjawab:

“Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melepaskan sejengkal tanah pun dari bumi Palestin kerana ia bukan milik ku tetapi milik bangsaku.”

1909- Sultan Abdul Hamid (gambar) dipecat dari jawatannya. Beliau berkata:

“Sesungguhnya sebab pemecatanku adalah disebabkan pendirianku yang menegah orang yahudi untuk menubuhkan Negara di bumi quds.”

1917- Menteri luar british Balfour (gambar) telah menjanjikan kepada kesatuan yahudi sedunia untuk mendirikan Negara untuk bangsa yahudi di palestin. Janji ini diberikan sebelum british menjajah palestin. Tentera british telah menjajah palestin pada hujung tahun yang sama.

1919- Persidangan di paris diantara kuasa besar ketika itu, british dan pemimpin arab yang meletakkan palestin di bawah jagaan dan seliaan antarabangsa bukannya negara2 arab.

1920- Pada tahun ini telah diadakan pemborantakan menentang orang british dan yahudi yang dinamakan “pemberontakan 20”. Ini kerana provokasi orang2 yahudi yang mengatakan palestin adalah milik mereka. Akhirnya 5 yahudi di bunuh dan 4 orang arab dibunuh dan ramai yang cedera di kedua belah pihak.

Pada tahun ini juga telah bertukar dari pemerintahan tentera kepada pemerintahan sivil. “Samuel Herbert” (gambar)seorang warga british berbangsa yahudi telah dilantik menjadi pesuruh jaya tinggi palestin. Tanpa berlengah pesuruhjaya yahudi ini melaksanakan projek yahudi di palestin.

Samuel telah membenarkan orang2 yahudi untuk membeli tanah di palestin dan telah membenarkan orang2 yahudi berpindah ke palestin dengan purata 16500 setahun.

Pada tahun ini al-Haj Amin alHusaini (gambar) telah dilantik menjadi mufti Quds.

1922 – Telah di keluar “kitab putih” yang menjadi perlembagaan di palestin. Diantara fasa yg penting dalam kitab tersebut ialah british diberi mandat untuk memerintah palestin dan perisytiharan balfour untuk menjadikan palestin sebagai penempatan yahudi. Kedua2 ini tidak boleh diubah dan diperbincangkan.

Pada tahun ini jumlah penduduk palestin adalah 757 ribu. 78% orang arab, yahudi 11% dan kristian 10%.

1925- Menteri luar Britain telah merasmikan “Liga Ibrani” yang menimbulkan kemarahan orang palestin. Semua orang palestin telah mogok kerana wujudnya liga yahudi ini di palestin.

Syeikh Izzuddin Qassam (gambar) telah menyatakan hanya cara jihad sahaja untuk menyelesaikan masalah dengan yahudi dan orang british ini. Beliau telah menubuhkan “Harakah Jihad Islam” dgn slogan “Ini adalah jihad kemenangan atau syahid”

1929- Orang2 yahudi berani menyerang masjid al-Aqsa dan menguasai bahagian barat di dinding “buraq”. Mereka menyatakan bahawa dinding itu adalah mereka kerana ia kawasan suci bagi mereka.

Maka berlakulah pemberontakan di seluruh palestin yang menyaksikan 139 orang yahudi di bunuh. Orang british melawan semula dgn membunuh 116 orang arab. Orang kuat yg menggerakkan pemberontakan ini adalah Syeikh Amin Husaini.

1931- Persidangan Islam telah diadakan dibawah pimpinan Syeikh Amin Husaini. Diantara nama2 besar yang hadir adalah syeikh Rashid Redo dan Penyair India Muhammad Iqbal. Resolusi dari persidangan ini adalah dinding “buraq’ adalah hak orang2 Islam sahaja dan yahudi tidak berhak langsung.

1935- Syeikh Izzudin Qassam telah merancang dengan rapi untuk melakukan revolusi bersenjata bagi mengalahkan British dan yahudi di palestin. Namun oleh kerana sebab kesilapan salah satu anggotanya yg membunuh pegawai tentera Yahudi sebelum bermulanya revolusi menyebabkan penguasa british mengetahui perancangan ini. Akhirnya Syeikh Izzuddin Qassam gugur Syahid setelah mana beliau enggan menyerah diri.

1936- Mogok secara besar2an telah dilakukan selama enam bulan kerana menentang penghijrahan orang2 yahudi ke palestin. Syeikh Amin Husaini telah menyatukan kumpulan2 di palestin di bawah satu panji. Mereka telah menuntut 3 perkara:

1. Pemberhentian hijrah orang2 yahudi ke palestin.
2. Menegah pemindahan milik tanah orang arab kepada yahudi.
3. menubuhkan kerajaat palestin yang berdaulat.

Syeikh Farhan as-Sa’di teman rapat kepada syeikh Izzudin Qassam telah menghidupkan kembali pasukan tentera Izuddin Qassam (yg asal namanya harakah jihad Islam). Mereka telah berjaya membunuh 3 orang yahudi.

Akhirnya beliau mati dihukum gantung oleh pihak penguasa dalam keadaan puasa dan beliau berumur 80 tahun.

1937 – Pihak Panitia Diraja British telah mengumumkan pembahagian palestin kepada dua Negara.

Diadakan persidangan arab yg dihadiri 450 delegasi arab. Mereka telah sebulat suara menolak pembahgian palestin, menghentikan penghijrahan orang arab dan menolak penguasaan british kepada palestin. Namun resolusi ini tidak dipandang oleh pihak british.

Brieged Qassam sekali lagi mengiklan jihad. Mereka telah membunuh Jeneral Androz dan telah menggerakkan paluan jihad dibawah pimpinan Abdul Qadir Husaini(gambar).

1938- Pihak British telah menambah kekuatan tenteranya di palestin untuk menghadapi pemberontakan palestin yang semakin hebat. Orang Yahudi yang memulai mengebom penduduk awam di tengah pasar. Kemudian dibalas orang arab untuk membunuh orang yahudi.

Berlakulah pertempuran diantara tentera british dibantu oleh yahudi dan orang2 arab palestin. Lebih 10ribu orang yang terbunuh dan cedera dikalangan orang british. Begitu juga dengan orang yahudi. Orang Arab yg syahid lebih 12 ribu orang.

Kemudian tentera yahudi berjumlah 42,000 tentera, 20,000 polis, 18,000 pengawal dan 60,000 yahudi telah melakukan operasi pembersihan di palestin. Mereka telah menangkap 50,000 orang dan memusnahkan 5,000 rumah.

1939- Pemberontakan terus menyala sehingga ia tidak mampu dikawal oleh penguasa british. Akhirnya pihak british membatalkan projek membahagikan palestin kepada dua dan membatalkan perisytiharan balfour. Mereka mahu menubuhkan kerajaan palestin berdaulah dalam masa sepuluh tahun dibawah kepimpinan orang2 palestin.

Perkara ini ditentang hebat oleh orang-orang yahudi. Pihak british menerangkan kepada mereka bahwa ini cara untuk menenangkan pemberontakan orang arab palestin.

Pada ketika ini juga berlaku perperangan dunia ke dua diantara Jerman dan negara2 eropah. Lebih dari 25 juta orang yang mati.

1942- Parti republican dan demokratik di Amerika telah menyokong penuh kepada yahudi utk mewujudkan Negara di palestin. Amerika telah meminta kepada british supaya membatalkan perjanjian dengan orang arab untuk membatalkan pembahgian palestin kepada dua.

Oleh kerana Britain perlu kepada pertolongan amerika untuk menghadapi peperengan yang sengit , mereka telah membatalkan perjanjian mereka dengan orang arab dan membenarkan orang2 yahudi berhijrah ke palestin. Seramai 90 ribu orang yahudi yang berpindah ke palestin semasa peperangan tersebut.

Pada ketika ini orang2 yahudi merancang untuk menghalau british keluar dari palestin. Mereka telah membunuh pegawai british dan memusnahkan pejabat2 british. Seorang pemimpin yahudi ben gurion (gambar) telah menyatakan:

“Bumi mu wahai Israel adalah dari furat (Iraq) sehingga Nil (mesir).”

Dia telah meminta supaya pemuda2 yahudi di seluruh dunia untuk membantu mewujudkan Negara ini.

1944- Britain merasakan sudah habis kepentingan mereka di palestin dan yahudi sudah mampu untuk menubuhkan Negara mereka sendiri. Parti buruh di Britain telah mengeluarkan keputusan untuk menggalakkan orang2 palestin meninggalkan palestin dan memberi ganjaran berbentuk keewangan kepada yg berpindah.

Parti republican dan demokratik di amerika juga menyeru dalam pilihanraya untuk menyokong orang2 yahudi menubuhkan Negara mereka sendiri di palestin.

Pertama kali bendera Israel dinaikkan pada bulan 10. Pada bulan berikutnya menteri Britain lord morain telah dibunuh oleh yahudi semasa dia menziarahi kaherah. Ini untuk menambahkan tekanan kepada brtish untuk meninggalkan palestin.

1945- Berakhirnya peperangan dunia ke2 dgn kekalahan jerman.

Ben gurion telah berkumpul dgn pemimpin2 yahudi di amerika. Dia memperolehi janji dari mereka untk membeli senjata untk yahudi. Sejumlah besar wang amerika deserapkan kpd yahudi di palestin.

Presiden Amerika Troman telah meminta kepada perdana menteri british supaya membenarkan penghijrahan 100 ribu orang yahudi ke palestin. Permintaan ini diterima.

Pihak Britain telah menyatakan secara rasmi membatalkan perjanjian mereka dgn arab dan meneruskan perisytiharan balfour.

1947- Bangsa-bangsa bersatu telah mengeluarkan resolusinya bernombor 181 di new york iaitu pembahagian palestin kepada dua Negara. Ini disokong dua pertiga delegasi disamping sokongan yg kuat dari amerika dan rusia. Telah dilukis peta pembahagian yang mana yahudi mendapat 54 % dan orang arab mendapat 46 %. Peratus penduduk yahudi ketika itu adalah 32 % dan orang arab 68 %. Ketika itu orang2 palestin memiliki 93.5 % dari tanah palestin. Keputusan ini sangat2 menzalimi orang2 palestin

Berlakulah pertembungan diantara orang yahudi dan orang palestin dgn hebatnya. Orang2 yahudi di palestin mendapat sumbangan 250 juta dollar. Manakala arab palestin hanya mendapat bekalan 10,000 senapang dan 4000 sukarelawan.

1948- Britain telah menjual 20 pesawat tentera untuk membina pasukan tentera Israel. Amerika juga mengirimkan pesawat2 kepada org2 yahudi.

Dengan kekuatan peralatan tentera dari Britain, republic chezh, Amerika dan perancis, tentera yahudi menyerang menjajah qustul dan menghalau penduduknya. Syeikh Abdul Qadir Husaini dan pejuang2nya telah menentang sehingga telah membunuh 150 org yahudi dan beliau sendiri telah gugur syahid. Mereka telah berjaya membebaskan qustul sehari kemudian ditawan semula.

Orang Yahudi telah menyerang kampong dir yaseen berhampiran dgn qustul. Lebih 250 orang yang telah terkorban dalam peristiwa yg menyayat hati. Tentera yahudi telah menembak penduduk kampung tanpa belas kasihan. Malahan ditusuk dengan pisau tajam kepada wanita yang tidak berdosa. Ada yang dibelah dgn pisau dari kepala sehingga kaki.

Peristiwa ini menakutkan orang2 arab yang tinggal di tanah Israel. Daripada 800 ribu penduduk arab yang tinggal disitu, hanya tinggal 165 ribu. Selebihnya telah lari kerana ketakutan dgn kekejaman Israel.

Pada 16/5 telah diumumkan Negara Israel dibawah perdana menteri pertama David ben Gurion.

Tentera yahudi meneruskan penjajahan mereka dgn menghalau 200 ribu penduduk.Diantaranya mereka telah menjajah Haifa dan barat Quds.


Rujukan: Palestin at-Tarikh al-Musawwir oleh Dr Tariq Suwaidan

Wednesday, January 14, 2009

Siapa Yahudi ? Siapa Orang Islam ?

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 14/01/2009

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam?

SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.

Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.

Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.

Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada20 00.org/Powerful- Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).

Begini tulisan beliau:

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya) . Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's) , Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.

Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Mempengaruhi

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.

Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universi ti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

Bengkel Penulisan Kreatif

Alhamdulillah pada 11hb Jan yang lalu,bertempat di USM Trankrian,Nibong Tebal telah diadakan Bengkel Penulisan Kreatif oleh Kak Ummi Kalsom Ngah,Penulis yang berbakat walau pun baru 2006 menceburi bidang penulisan ternyata teknik penulisan dan penyampaiannya dalam bengkel itu memberi satu impak yang berkesan dihati peserta.
Kak Ummi Kalsom Ngah sedang menyampaikan teknik Kembara Bisu
peserta sedang membuat penulisan masing-masing