Wednesday, June 30, 2010

Kenyataan Media IKRAM

Kenyataan Media

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

30 Jun 2010 bersamaan 17 Rejab 1431

IKRAM BERSEDIA MENYUMBANG BAGI MEMBANGUNKAN SISTEM PENTAKSIRAN PELAJAR YANG LEBIH MENYELURUH.

IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang menaungi rangkaian 34 buah sekolah-sekolah menengah dan rendah yang mengambil pendekatan pendidikan secara holistik, bersepadu dan berteraskan aqidah Islam. Sekolah-sekolah ini telah beroperasi sejak tahun 1985 dan pada tahun 2000 disejajarkan di bawah Pusat Pendidikan SRI SMI Berhad (MUSLEH). MUSLEH kini bergabung dengan/di bawah IKRAM menjadikan IKRAM kini menaungi lebih 14,000 orang murid, 1,100 orang pendidik dan 20,000 orang ibubapa di seluruh negara.

2. Matlamat Pendidikan IKRAM, adalah untuk memperkasa pendidikan Islam ke arah menjana generasi rabbani (yang diredhai Allah)”.

3. MUSLEH telah membina satu sistem pentaksiran yang holistik dan bersepadu bagi menilai dan meningkatkan pencapaian prestasi pelajar secara berterusan di sekolah secara lebih menyeluruh dan seimbang. Sistem tersebut dinamakan Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM).

4. IKRAM mengambil maklum akan cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR dan mengalu-alukan hasrat Kementerian untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak.

5. IKRAM bersetuju agar semua bentuk penilaian dan pengukuran pencapaian pelajar, sama ada di peringkat pusat mahupun penilaian berasaskan sekolah, termasuk UPSR, PMR dan SPM hendaklah dikaji semula dan diubahsuai, agar semuanya menuju ke arah pencapaian hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

6. IKRAM ingin menyarankan agar:

1. Kementerian Pendidikan kembali meneliti dan bertindak dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai hasrat murni Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ke arah:

“Memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

2. Sebarang perubahan kepada sistem pentaksiran sedia ada hendaklah dilakukan hanya setelah kajian terperinci dilakukan. Pengalaman yang lalu di mana perubahan-perubahan yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tanpa kajian terperinci telah membawa kesan yang amat buruk kepada sistem pendidikan negara.

3. Segala keperluan asas dan infrastruktur hendaklah disiapkan dengan sempurna sebelum sebarang perubahan kepada sistem pentaksiran dilakukan.

7. IKRAM bersedia bekerjasama dengan pihak KPM khususnya pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk menggubal satu sistem pentaksiran kebangsaan yang boleh digunapakai untuk mencapai hasrat murni ke arah melahirkan insan seimbang dan harmonis (JERI) seperti yang termaktub dalam FPK.

8. IKRAM bersedia untuk:

1. menjelaskan kepada pihak KPM, khususnya pihak LPM mengenai konsep, falsafah, instrumen dan prosedur SPPM dan membuat kajian untuk mencari suatu mekanisme perlaksanaan yang lebih meluas di sekolah-sekolah kerajaan.

2. menjalankan penyelidikan lebih mendalam setelah mendapat maklumbalas daripada perbincangan dengan LPM untuk memurnikan lagi SPPM, agar ia dapat disesuaikan dengan hasrat dan kehendak KPM untuk perlaksanaan pada skala yang lebih besar di seluruh negara.

9. IKRAM percaya jika konsep di atas diterima, maka segala bentuk latihan kepengetuaan dan perguruan, kursus dalam perkhidmatan dan usaha memberi kesedaran awam perlulah dilaksanakan. Dalam hal ini, IKRAM bersedia untuk menyumbang tenaga kepakaran.

10. Akhirnya, IKRAM berharap agar isu pendidikan tidak dipolitikkan kerana ia melibatkan masa depan anak-anak dan negara.

Moga-moga Allah swt memberkati dan meredhai segala usaha kita demi kemaslahatan negara dan ummah.

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad

Presiden

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Tuesday, June 22, 2010

Hari bersejarah Pertubuhan IKRAM Malaysia

Hari bersejarah Pertubuhan IKRAM Malaysia

Ahad, 20 Jun 2010 23:38 TM Lim
Pelancaran IKRAM

KUALA LUMPUR - Di hadapan lebih 5,000 orang yang terdiri daripada ahli, tetamu khas, petugas media serta para pemerhati dari dalam dan luar negara, sebuah gerakan Islam, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) telah dilancarkan pagi tadi. Majlis bersejarah tersebut berlangsung di Malaysia International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan dekat sini.

Sungguhpun IKRAM nama baharu dalam dunia gerakan Islam di negara ini, ia bukanlah pertubuhan (NGO) yang baru hendak bertatih. IKRAM lahir hasil gabungan lima NGO yang selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. NGO terbabit, Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS). Aqsa Syarif Berhad yang ditubuhkan Februari lalu menjadi NGO kelima yang bernaung di bawah IKRAM.

Setakat hari pelancarannya sahaja, IKRAM telah mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri di seluruh negara, manakala bilangan ahli-ahlinya sudah menjangkau 3500 orang. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Pelancaran IKRAM telah disempurnakan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad.

Dalam sidang media yang diadakan seusai pelancaran tersebut, Dr Parid menjelaskan IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang komprehensif dan tidak memberikan fokus kepada bidang-bidang tertentu sahaja kerana dakwah adalah hak semua orang.

Bingkisan Islam yang hendak disampaikan oleh IKRAM adalah untuk semua manusia tanpa mengira agamanya agar lebih ramai yang dapat menerima kebaikan Islam dan sujud kepada Pencipta alam.

"Walaupun begitu, kita tetap berpegang kepada konsep bahawa tidak ada paksaan dalam beragama. Mereka yang belum bersedia menganut Islam tiada halangan untuk berdialog dan bekerjasama dengan kita dalam bidang-bidang tertentu," katanya.

Antara matlamat IKRAM yang disebut dalam perlembagaannya adalah menyebarkan Islam melalui dakwah, meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam, memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial dan menegakkan syariat Islam secara praktikal. Selain yang demikian, IKRAM bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam, sesuai dengan moto IKRAM, 'Ukhuwah Teras Kegemilangan'.

IKRAM menyatukan dalam satu organisasi kerja-kerja dakwah yang telah diusahakan oleh ahli-ahlinya di bawah pelbagai nama. Dengan tertubuhnya IKRAM, kegiatan-kegiatan seperti dakwah kepada yang belum Islam, pendidikan, wanita, remaja, belia, kebajikan, bantuan kemanusiaan, hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik (good governance) akan digabung (consolidate) dan diperteguh.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, Setiausaha Agung, Haji Zaid Kamaruddin dan Ketua Wanita, Ustazah Maznah Daud. Kebanyakan media utama negara termasuk daripada akhbar berbahasa Cina turut hadir membuat liputan majlis pelancaran dan sidang media IKRAM itu.

Menjawab satu soalan, Dr Parid menerangkan bahawa IKRAM berusaha membawa konsep dakwah yang dapat diterima oleh semua pihak demi mewujudkan kefahaman serta amalan hidup yang selari dengan tuntutan massa.

"Yang penting, ia mestilah tidak terkeluar daripada landasan Islam. Kita mesti yakin Islam itu baik bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga untuk yang belum Islam," ujar lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Fiqh dan Usul Universiti Jordan, Amman ini.

Pelancaran IKRAM hari ini sekali gus melancarkan lagu rasmi pertubuhan itu yang menarik dan bersemangat. Lagu berjudul 'IKRAM' tersebut ditulis oleh Prof Dr Hatta sendiri manakala lagu dan vokalnya disampaikan oleh kumpulan SaffOne.

Sesi kedua majlis diserikan dengan Tazkirah Perdana oleh Ahli Lembaga Timbangtara IKRAM, Ustaz Alias Othman berjudul 'Bekalan di Perjalanan' dan ucapan berapi-api oleh Ustaz Hasanuddin Yunus, Pengerusi Aqsa Syarif yang turut menyertai flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Seorang pengunjung, Azhar Maluddin, 45, berkata, jumlah kehadiran yang begitu ramai pada hari ini memberi petanda yang amat baik.

"Pelancaran IKRAM yang dihadiri tidak kurang daripada 5,335 hari ini mampu memberi impak yang besar kepada ahli-ahli. Ia menunjukkan IKRAM boleh mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada ahli-ahlinya apabila diperlukan," katanya.

Sementara itu, gerai-gerai yang dibuka di lobi dewan, terutamanya yang menjual barangan berkaitan Palestin mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung.

Pelancaran IKRAM
Jawatankuasa Pusat IKRAM 2010 - 2014.

Pelancaran IKRAM
Sebahagian daripada khalayak yang hadir pada Majlis Pelancaran IKRAM.

Friday, June 18, 2010

Untuk Sahabat Seperjuangan ...



Teman, aku ingin.....
Teman tersayang,
Aku ingin kita seperti Abu Bakar al-Siddiq,
Persahabatan dijalin kerana al-khaliq,
Harta dikorban bukan sedikit,
Cintakan kebenaran, sanggup bersakit.

Serta tawakal Ibrahim mulia,
ketika meninggalkan insan tercinta,
di bumi tandus tanpa bicara,
menyakini Allah sebagai Penjaga.

Aku impikan antara kita seorang Umar,
berdiri tatkala tunduknya manusia,
bersuara tatkala diamnya mereka,
menggerunkan musuh durjana.

Serta senyuman Syed al-Qutb,
ketika berhadapan dengan tali maut,
akidah mantap tidak terrengut,
roh dakwahnya tidak surut.

Aku ingin kita seteguh Ibnu Zubbair,
menahan panahan Hajjaj dengan rela,
bersama si ibu tua,
lantas syahid, rohnya ke syurga.

marilah kita menyemai benih Hassan al-Banna,
fikrahnya jernih, menggegar dunia,
merelakan tubuhnya dimamah peluru,
demi menegakkan kalam Allah dan Rasul.

Aku cintakan pemuda Giffari,
menentang kezaliman walaupun diancam,
moga kan lahir lagi di abad ini,
jiwa jitu pemuda yang tak pernah suram.

Aku ingin kita sepemaaf Yusuf,
Tetap mencintai saudaranya,
walaupun dihumban ke perigi tua,
terpisah dari ayahanda bertahun lamanya.

Aku ingin pusara kita harum mewangi,
bagai harumnya pusara Masyitah,
semerbak kasturi.

Aku ingin persahabatan indah ini,
bisa menjadi syafaat,
di Mahkamah Masyar nanti.

Thursday, June 10, 2010

Baca untuk Iman

Salam Alaik buat pembaca yg membaca bicara iman....lama sudah tidak ku titik dakwat utk menjadi bingkisan iman...Bersyukur sgt pada Allah yg menjadikan Alam ini utk tempat manusia berteduh sebentar utk menuju ke tempat yg kekal Abadi.

Ketika ku bersiar-siar di laman web sahabat-sahabat dapat juga ku petik mutiara iman utk ku terus kehidupan di alam fana ini.

Pelbagai Halangan

Mungkin halangan di zaman ini semakin banyak.. halangan nafsu, jawatan, kesibukan kerja,pelajaran, keluarga( anak dan isteri) dll . Ya terasa satu keperluan untuk membebaskan diri daripada simpulan syaitan ini agar kita terus selamat ketika melalui setiap liku kehidupan. Apa juga permasalahan merupakan ujian untuk dilihat siapakah paling bijak dan boleh menyesuaikan diri hingga setiap dari kita sentiasa berjaya pada setiap kali ujian.

Untuk berjaya, semua mestilah faham,ikhlas dan berhemah dalam hidup ... Tipu daya syaitan dalam bab ini sering mengelirukan dan ramai yang terperangkap.. insyaallah orang yang tenang dan berhemah sering selamat.

Tarbiah & Dakwah
  1. Tarbiah adalah penentu kelansungan hidup kita: Tanpa ditarbiah dan mentarbiah, kita tidak akan ke mana dan bukan pewaris kegemilangan al Banna. Ikhwah mesti mempunyai kesediaan yang tinggi untuk belajar semula/ ulangkaji bahan silam yang di refresh dan bersedia utk berubah dan membimbing dengan kasih sayang para adek- adek/ anak- anak baru kita.

  2. Sayangilah dakwah ini, bangunkan ia di tempat anda dgn segala prasarana yang perlu... terus tingkatkan kualiti diri.... sokonglah dakwah ini dgn penglibatan anda yang positif... ia adalah penentu masa depanmu nanti di alam lain...

  3. Segala masalah perlu diselesai dengan baik dan harmoni.

  4. Orang yang enggan berbuat baik kepada orang lain, yang angkuh dgn pandangannya, serahkan saja mereka itu kepada Allah. Aku masih berpegang kepada prinsip " Dakwah ini ada Rabbnya, Dia tetap akan melindungi milikNya ...( seperti kata Abu Talib ketika lari keluar meninggalkan Kaabah ketika di serang Abrahah...
wallahua'lam...semoga Allah membantu kita dlm setiap urusan.