Sunday, May 29, 2011

IKRAMTeens untuk generasi kemenangan

PUTRAJAYA - Sebuah kelab remaja yang terbuka untuk anak-anak Malaysia yang dipanggil IKRAMTeens ditelah dilancarkan pada hari Sabtu yang lalu di sini. IKRAMTeens ditubuhkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia.

“IKRAMTeens adalah untuk ummah. Inilah usaha untuk membangun generasi kemenangan yang akan memacu ummah mencapai tahap terbaik atau khaira ummah”.

Demikian aspirasi yang diumumkan oleh Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad ketika berucap di hadapan 1200 remaja yang merupakan wakil-wakil remaja daripada negeri-negeri di Malaysia sempena pelancaran kelab tersebut di Sekolah Alam Shah, Putrajaya, Sabtu lalu.

“Misi IKRAMTeens ialah untuk membentuk remaja yang menghayati Islam secara menyeluruh, memiliki ciri ciri unggul dan berkepimpinan tinggi melalui bimbingan yang komprehensif, kontemporari, seimbang serta berterusan, mampu untuk menjadi remaja yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara”, huraian Dr Mohd Parid mengenai misi IKRAMTeens.

Dengan penubuhan IKRAMTeens ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia kini menambahkan lagi sayapnya melalui institusi dan kelab naungan yang beroperasi menurut kumpulan sasar masing-masing seperti wanita, pemuda, remaja bagi menggerakkan agenda dakwah dan tarbiah dalam masyarakat.

“Impian kami bukan sahaja untuk melahirkan remaja yang taat kepada ibu bapa dan guru kerana perkara ini sudah tentu amat penting dan mesti. Namun, impian kami juga adalah melahirkan anak-anak yang dapat membesar dengan cita-cita besar iaitu memimpin masyarakat dan dunia”, ujar Dr Mohd Parid.

Ditanya oleh wartawan selepas majlis pelancaran tersebut tentang bagaimana untuk melakukan semua ini, Dr Mohd Parid menegaskan, “Amal kita untuk membina remaja hendaklah diasaskan kepada persiapan yang menyeluruh, proses bimbingan rohani dan tarbiah yang tersusun rapi selain aktiviti yang menjadi kesukaan mereka. Kita mengutamakan fasal membimbing dan menyiapkan mereka kerana mereka disediakan untuk tanggungjawab yang besar.”

Bila ditanya sama ada mat rempit atau remaja yang telah rosak dapat menyertai IKRAMTeens, Dr Mohd Parid menyatakan, “Ya boleh. Kita akan membantu dan memulihkan mereka dengan menimbulkan kesedaran terhadap tanggungjawab pertama kepada diri sendiri dan kemudian tanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat”.

Bagi merealisasikan impian ini, Dr Mohd Parid juga mengharapkan semua pihak sama ada agensi kerajaan, pihak swasta, pemimpin negara, ketua masyarakat setempat dan orang-orang perseorangan dapat membantu dan menyumbang kepada kelab ini dengan apa sahaja.

“Dalam IKRAM kami berpegang kepada konsep partnership atau perkongsian amal dan usaha sama dengan agensi atau organisasi lain. Oleh itu, kami mahu program IKRAMTeens juga digerakkan secara perkongsian dan penglibatan bersama organisasai luar kerana dakwah dan mendidik masyarakat agenda semua orang”, sambung Presiden IKRAM lagi.

IKRAMTeens melalui lamannya telah mengumumkan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan yang merangkumi pembinaan mental, jasad dan rohani atau yang disebutnya pendekatan MENTaRi, antaranya:

● Pembangunan Sakhsiah dan amal
● Pembangunan Ilmu dan Minda
● Kecemerlangan Akademik
● Pembangunan Kemahiran Diri
● Pemimpin dan Kepimpinan
● Bijak IT dan Celik Media
● Perkhemahan dan aktiviti lasak
● Sukan dan rekreasi.
● Hiburan, Seni dan Kebudayaan
● Survival hidup / Kendiri
● Penulisan dan penerbitan
● Prihatin Masyarakat
● Program Kesedaran Ummah Antarabangsa
● Interaksi antara Kaum dan Agama
● Amar maaruf nahi mungkar
● Masjid Mesra Remaja

“Melalui strategi dan penglibatan yang menyeluruh ini kita mengharapkan cabaran gejala sosial yang menimpa remaja seperti gejala hedonism, penagihan dadah dan pergaulan bebas dapat ditangani dengan bijak dan berkesan. Semoga kita dapat sama berdoa agar usaha kita semua mendapat kerahmatan dan bimbingan daripada Allah jua”, rumus Dr Mohd Parid di akhir pertemuan dengan wartawan-wartawan pada hari pelancaran IKRAMTeens.

No comments: