Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Bagaimana Menghilangkan Sifat Marah.
Sebenarnya seseorang itu tidak akan kekal menyintai atau menyukai sesuatu dan membenci sesuatu. Justeru itu dia tidak terlepas dari perasaan meradang dan marah. Selama mana sesuatu perkara itu bersesuaian dengannya atau menyalahinya, maka tidak boleh tidak sudah tentu dia menyukai apa yang bersesuaian dengannya dan membenci apa yang menyalahinya yang mana akan disusulinya dengan sifat marah. Sesungguhnya seseorang itu apabila diambil apa yang disukainya, sudah tentu dia akan marah dan apabila ditujukan kepadanya apa yang dibencinya, sudah pasti juga dia akan marah. Maka apa-apa yang disukai oleh seseorang itu terbahagi kepada tiga bahagian:.
Pertama: Apa yang penting kepada seseorang amnya seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan kesihatan. Jadi sesiapa yang dipukul badannya, tidak boleh tidak pasti dia akan marah. Begitu juga apabila diambil pakaian yang menutup auratnya, sudah pasti dia akan marah.
Kedua: Apa yang kurang penting bagi seseorang seperti kemegahan, harta banyak, dan binatang ternak. Semua yang tersebut ini adalah disukai menurut kesukaan.
Ketiga: Hal yang mustahak pada sebahagian orang, tidak pada sebahagian orang yang lain seperti buku pada orang yang berilmu kerana ia memerlukan buku itu lalu dia menyukainya, maka dia akan marah kepada orang yang membakar buku itu.
Adapun bahagian yang pertama, maka latihan yang dilakukan untuk menghilangkan sifat marah tidaklah bererti untuk menghapuskan kemarahan sama sekali, akan tetapi untuk dia tidak mengikuti nafsu marahnya melainkan pada batas-batas yang dianjurkan oleh agama dan dipandang baik oleh akal.
Jadi untuk mengalihkan kemarahan dari hati itu, mungkin tidak akan terjadi kerana ia bukan kehendak tabiatnya, tetapi hanyalah untuk mengurangi sifat marahnya sahaja.
Untuk bahagian yang ketiga, samalah keadaannya dengan yang pertama, kerana apa yang menjadi satu dharuri atau kepentingan kepada seseorang, tidak dapat menghalangnya dari bersifat marah, lantaran orang lain tidak memerlukan kepentingan yang diambil daripadanya itu. Jadi latihan yang dilakukan, dapat melemah dan mengurangkan kemarahannya sehingga dia tidak merasa terlalu pedih di atas kehilangan sesuatu daripadanya dan dia dapat bersabar menerima apa yang telah berlaku.
Sementara bahagian yang kedua pula, kemarahan mungkin dapat dihilangkan melalui latihan, kerana kesukaannya terhadap sesuatu seperti harta yang banyak dapat dibuang apabila dia memahami bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja dan kehidupan di akhirat jua yang kekal abadi. Jadi dengan cara ini dia akan mencari harta di dunia ini mengikut kadar keperluan sahaja.
Sebab-sebab Yang Menimbulkan Kemarahan.
Sebab-sebab yang menimbulkan kemarahan itu ialah sifat megah diri, membanggakan diri, suka bersenda gurau, membuang masa bermain-main, mengejek, memalukan orang, suka bermusuhan, menyalahi janji, dan tamak. Semua sifat yang tersebut di atas adalah budi pekerti yang tercela pada agama, yang mana seseorang itu tidak akan terlepas dari mempunyai sifat marah apabila dia mempunyai sifat-sifat yang tersebut. Jadi untuk menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan sifat marah itu tadi, perlulah seseorang itu bersifat dengan sifat-sifat yang menjadi lawannya. Contohnya sifat megah diri, maka perlulah dia bersifat rendah diri untuk menjauhi sifat marah. Begitu juga sifat membanggakan diri, maka perlulah dia menganggap bahawa manusia itu sebenarnya adalah sama rata sahaja.
Adapun sifat bersenda gurau yang menjadi sebab kepada kemarahan, dapat dihilangkan dengan menyibukkan diri dengan kepentingan-kepentingan agama. Begitu juga sikap membuang masa dengan bermain-main dapat dihilangkan dengan kesungguhan mencari keutamaan, dengan berperangai baik dan menimba pengetahuan agama yang dapat menjamin kebahagiaannya di akhirat kelak.
Sifat mengejek pula dapat dihilangkan dengan sifat memuliakan, dan sifat memalukan orang dapat dihilangkan dengan bersifat menjaga lidah dari perkataan keji. Begitu juga sifat-sifat yang lain, semuanya dapat dihapuskan dengan bersifat dengan lawannya.
Apabila sifat-sifat ini terhapus daripada diri seseorang, maka suci dan bersihlah dia dari sifat-sifat keji tersebut dan terlepaslah dia dari kemarahan yang ada pada dirinya.
Kesan-kesan Marah Yang Dicela
Sifat suka marah adalah suatu sifat yang dikeji dan suatu tabiat buruk. Jika seseorang itu menghambakan dirinya kepada sifat marah, nescaya terhasillah kesan-kesan yang memudharatkan dirinya sendiri khususnya dan masyarakat umumnya.
Adapun kemudharatan terhadap dirinya, dapat diketahui apabila kita menggambarkan keadaan seseorang yang sedang marah. Raut wajahnya berubah, darahnya meluap, anggotanya menggeletar, urat-urat lehernya menegang, pergerakannya kelam kabut, percakapannya tidak jelas, lidahnya mudah mengeluarkan kata-kata keji, mengumpat, mengutuk dan kemungkinan mengeluarkan kata-kata haram yang boleh mengeluarkannya daripada Islam seperti lafadz kufur, mencela agama dan seumpamanya. Selain daripada itu, seseorang yang cepat marah itu akan melakukan tindakan-tindakan yang diluar dugaan yang berkemungkinan akan melibatkan kerugian harta dan kesakitan pada tubuh badan.
Adapun kemudharatan terhadap masyarakat, ia melahirkan perasaan dengki di dalam diri dan menyembunyikan niat jahatnya terhadap seseorang. Ia boleh membawa kepada perbuatan menyakiti orang lain dan membenci serta merasa gembira apabila mereka ditimpa musibah. Seterusnya akan mencetuskan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia. Dengan itu juga, rosaklah kehidupan dan runtuhlah masyarakat.
Ada seperkara lagi yang selalu kita lakukan ketika marah, padahal perkara itu amat membahayakan diri sendiri sebelum ia membahayakan diri orang lain. Mungkin kita menyedari bahawa perbuatan itu salah, tetapi oleh kerana terlalu terpengaruh oleh marah tadi, sehingga kita tidak dapat menimbang lagi segala kata-kata yang diucapkan oleh lidah. Kata-kata itu seperti melaknati orang, menyundal-nyundalkan orang, mencelakakan orang dan sebagainya. Sebab jika kita menyebutkan kata-kata yang tidak senonoh itu kepada orang lain, seolah-olah kita telah menuduhnya dengan ucapan kita itu. Andaikata apa yang diucapkan itu memang benar, nescaya kita telah melanggar perintah menyuruh kita menutup segala keaiban orang lain. Orang yang mendedahkan keaiban saudaranya adalah berdosa besar di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalipun perkara yang dituduhnya itu memang benar. Apatah lagi jika tidak benar, maka dosanya akan bertimpa-timpa lagi.
Ada setengah ulama menganggap ucapan-ucapan seperti “sial”, “laknat”, “celaka” dan seumpamanya sebagai doa, kerana ada sebuah hadith daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang melarang perbuatan seperti itu. Sebab dikhuatiri, jika ucapan itu berkebetulan dengan masa pengabulan doa dan permintaan, nescaya bencana ucapan itu akan menimpa orang yang ditujukan ucapan itu, kiranya dia memang patut menerima bencana itu pada ukuran AllahSubhanahu Wa Ta’ala. Tetapi kiranya dia tidak patut menerimanya, maka bencana itu akan kembali menimpa ke atas orang yang menujukan ucapan itu.
Diriwayatkan dari Jabir Radhiallahu ‘anhu, dia berkata: “Suatu masa kami bersama-sama RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam sedang menuju ke medan perang, tiba-tiba ada seorang Anshar merasa tidak selesa terhadap binatang kenderaannya, lalu dia menyumpah-nyumpah binatang itu: Jalanlah, laknat! Maka Baginda marah kepada orang Anshar itu lalu bersabda: Turunlah dari binatang itu! Jangan engkau biarkan ia ikut bersama-sama kita, kerana ia telah mendapat laknat. Kemudian Baginda bersabda lagi: Janganlah engkau mendoakan (kecelakaan) ke atas dirimu atau ke atas anak-anakmu atau ke atas harta bendamu, kerana dikhuatiri bertepatan pada saat doa mustajab, di mana setiap hamba yang memohon (berdoa) sesuatu dari Tuhan akan dikabulkan”.
Bagaimana Mengendalikan Marah.
Sebenarnya penyakit marah yang dicela itu boleh diubati dengan dua perkara iaitu dengan ilmu dan amal.
Mengubati marah dengan ilmu itu ada enam perkara:
Pertama: Dengan bertafakkur memikirkan kisah-kisah teladan yang menyentuh tentang buruk baiknya bersifat marah, berfikir tentang keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah lembut. Dengan cara ini, akan menjadikannya gemar dan suka kepada pahala yang bakal diperolehinya dari menghiasi diri dengan sifat-sifat tadi. Seterusnya dapat mencegahnya dari bersifat marah.
Kedua: Dengan cara seseorang itu menakutkan dirinya kepada siksaan Allah dengan bekepercayaan bahawa kekuasaan Allah ke atas dirinya lebih besar dari kekuasaannya ke atas manusia lain.
Ketiga: Dengan mengingatkan diri akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam.
Keempat: Dengan berfikir tentang bentuk buruk dirinya ketika dia marah dan berfikir tentang betapa kejinya sifat marah itu.
Kelima: Dengan berfikir tentang sebab yang membawanya kepada kemarahan.
Keenam: Dengan menyedari bahawa kemarahannya adalah berpunca dari sikap membanggakan diri sendiri yang tidak sesuai dengan kehendak Allah.
Sementara itu mengubati marah dengan amal perbuatan pula di antaranya ialah:
Dengan membaca:
yang bererti: “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang kena rejam”.
Inilah ayat yang disuruh baca oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika marah.
Begitu juga sunat dibaca doa ini ketika marah:
“Wahai Tuhanku, Tuhan nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan”.
Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca yang demikian, maka hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan dia berdiri, dan berbaring jika dia marah dalam keadaan dia sedang duduk, dan dekatkanlah diri dengan bumi, yang mana dari bumi itulah dia dijadikan dan agar dia tahu akan kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu ketenangan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia menlekatkan dirinya ke bumi”.
(Hadith riwayat At-Tirmidzi)
dan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Apabila seseorang di antara kamu marah dan dia sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk, sesungguhnya yang demikian itu akan menghilangkan marahnya, dan jika tidak maka hendaklah di berbaring”
(Hadith riwayat Abu Daud)
Selain daripada itu, cara menghilangkan penyakit marah itu juga ialah dengan mendiamkan diri, Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam”.
(Hadith riwayat Ahmad)
Oleh kerana kesan-kesan yang tercela yang ditimbulkan oleh sifat marah itu, maka RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam telah menganjurkan kepada umat manusia supaya jangan suka marah, sebab marah itu tidak akan mendatangkan apa-apa yang baik kepada diri, malah ia akan menyebabkan berbagai-bagai bencana, terutama sekali bila perasaan marah itu diletakkan bukan pada tempatnya.
Selain itu, orang yang suka marah itu sering ditunggangi oleh syaitan yang memaksakan kehendaknya ke atas orang yang marah itu. Manakala orang yang menurut kehendak syaitan itu tidak akan selamat di dunia dan di akhirat.
1 comment:
Alhamdulillah, terima kasih penerangan yang sangat terperinci. Mohon keizinan, andai saya ada mencedok beberapa info. Jika berkesempatan, lawati blog kindhearty.blogspot.com.
Post a Comment