Wednesday, January 7, 2009
Hari ini puasa asyura....
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi. Kesemuanya di dalam Kitab Puasa.
Peristiwa lain yang dikatakan berlaku pada 10 Muharram ialah mendaratnya kapal Nabi Nuh as di atas bukit Judi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Nabi Nuh kemudiannya berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. – Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, www.islamonline. net
Manakala kelebihan beramal pada 10 Muharram disebut di dalam satu hadis yang bermaksud : "Sesiapa yang meluaskan (memudahkan urusan) ke atas dirinya serta ahlinya pada hari 'asyura, Allah SWT akan meluaskan padanya sepanjang tahun.." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Ibnu Abdil Barr. Hadis ini mempunyai sanad-sanad yang lain namun dikatakan kesemuanya ialah sanad yang dhoif. Bagaimanapun jika digabungkan sebahagiannya dengan yang lain, ia boleh diterima sebagai hadis yang kuat. – Syeikh Sayyd Sabiq, Fiqhus-Sunnah.
Adapun amalan masyarakat Melayu kita yang merayakan hari 'asyura dengan mengadakan program membuat bubur 'ayura adalah satu perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh baginda SAW. Apatah lagi jika dinisbahkan perbuatan tersebut kepada Nabi Nuh AS dengan mendakwa bahawa Nabi Nuh AS membuat bubur tersebut apabila turun dari kapal. Ia adalah satu dakwaan yang sama sekali tidak mempunyai sandaran di dalam agama. Oleh yang demikian, jika tetap mahu diadakan program membuat bubur tersbeut, perlulah diyakini bahawa ia tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam. Manakala membuat bubur itu sendiri seandainya diyakini datang daripada sunnah Rasulullah SAW atau Nabi Nuh, maka ia adalah kepercayaan yang karut dan perlu diperbetulkan. Wallahu a'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment