Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Kemajuan moden tidak dapat memahami pengertian tarbiyah yang menjadi tunggak binaan.
Kemungkinan ada yang bertanya apakah hubungan antara tarbiyah dan tamadun Islam?
Ini disebabkan pendidikan, gaya hidup dan pemikiran barat telah menghalang mereka daripada dapat memahami tunjang tamadun Islam sedangkan apa yang kita perkatakan merupakan asas dan tapak tamadun Islam. Jika pengertian ini hilang daripada sesuatu umat, maka tamatlah riwayat hidupnya.
Kemajuan dalam bidang politik dan ekonomi telah dianggap sebagai budaya dan tamadun di sisi bukan Islam di mana ianya telah mengkagumkan ramai manusia, sedangkan keduanya dipisahkan daripada nilai aqidah dan akhlak.
Namun, di sisi kita orang Islam, ianya merupakan ibadah dan didirikan di atas asas iman dan akhlak di samping menerima segala penemuan dan ciptaan yang baru.
Kita amat bersikap terbuka dengan perkara yang baru, selagimana asasnya lslam. Bahkan kita tidak mencipta perkataan pembaharuan, tapi Allah swt sendiri yang mensyariatkan pembaharuan sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadits :
"Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat ini seorang yang memperbaharui urusan agamanya pada setiap seratus tahun".
Oleh kerana itu, ‘tajdid’ (pembaharuan) dalam urusan agama ialah syari’e selagimana tidak menyentuh unsur-unsur tetap, selain mempunyai garis panduan dan asas-asasnya.
Perkara-perkara yang perlu diperbaharui ialah :
1. Kefahaman umat terhadap Islam agar kembali sahih.
2. Keimanan umat Islam agar ibadah yang ditunaikan tidak sekadar syiar semata-mata.
3. Ilmu dan iltizam agar mereka menghayati Islam sehingga menjadi sebati dengan kehidupan mereka dan mereka berdakwah pula kepada seluruh manusia.
Itulah di antara perkara-perkara yang memerlukan ‘tajdid’ (pembaharuan) dalam pentarbiyahan individu. Namun, unsur-unsur tetap dakwah, tidak menerima sebarang pembaharuan seperti yang didakwah dan diamalkan oleh Imam Hasan Al-Banna.
Negara Islam telah ditegakkan dengan usaha manusia melalui proses tarbiyah yang panjang dan berperingkat-peringkat. Melalui proses tersebut terbentuklah sebuah masyarakat yang berasaskan aqidah tauhid sebagai rangka dan garis panduan kepada proses pembinaan itu sendiri.
Aqidah tauhid ini, selain mengenepikan segala sistem dan kaedah jahiliyah, ia juga telah menggariskan aktiviti-aktiviti dan gerakan jamaah muslimah pada ketika itu agar negara yang ditegakkan ialah hasil tabi’e daripada masyarakat yang berasaskan aqidah tadi.
Sebenarnya dalam melaksanakan tugasan sebuah negara Islam, ia bererti melaksanakan dan mencapai tujuan-tujuan syara’ yang memenuhi keperluan nilai-nilai asasi manusia.
Sudah tentulah, keperluan nilai-nilai asasi itu tidak akan dapat dipenuhi kecuali melalui ‘rijal’ yang beriman dan berdakwah kepada fikrah mereka serta sanggup berkorban untuk itu.
Oleh yang demikian, tarbiyah ialah jalan kita untuk membuat perubahan, bukannya melalui jalan keganasan atau kekerasan.
PERANAN TARBIYAH
Islam sekali-kali tidak akan tertegak kecuali di atas bahu-bahu pendukungnya di mana :
a. Mereka menepati janji mereka kepada Allah.
b. Jiwa mereka memandang besar negeri akhirat.
c. Mereka memandang remeh dan hina terhadap dunia.
d. Mereka tidak beramal kecuali dengan ketaatan.
e. Keyakinan ynng bertapak dalam jiwa mereka mampu menolak segala kekeliruan dan was-was.
“Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut Rasul(Mu); oleh itu catatkanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran rasulMu).” (QS Ali Imran : 53)
Dengan jiwa yang sedemikian, mereka mara dengan :
1. Keazaman dan ‘himmah’ yang tinggi.
2. Aqidah sebagai pendorong mereka.
3. Fikrah sebagai ketentuan halatuju mereka.
Oleh kerana itu, mereka berjaya menterjemahkan fikrah ke alam realiti kerana fikrah tidak akan
menjadi kenyataan kecuali fikrah tersebut diimani oleh pendukungnya, ikhlas dan bersemangat memperjuangkannya serta wujud kesediaan untuk berkorban demi melaksanakannya.
Fikrah yang baik memerlukan tiga faktor untuk berjaya :
a. Tasawur fikrah benar-benar jelas pada pendukungnya.
b. Iman pendukung yang mendalam terhadap fikrah.
c. Kesatuan yang kuat di antara pendukungnya.
Fikrah yang sahih memerlukan kepada peribadi Islam yang unik bertepatan dengan manhaj rabbani di mana manhaj ini tidak datang bersamanya unsur-unsur yang batil dan merosakkan. Ini adalah kerana, ianya datang daripada Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Terpuji.
Manakala Rasulullah saw sebagai contoh tauladan yang telah menggariskan jalan amal.
1. Apabila baginda menunjukkan yang halal, mereka akan patuh mengikutinya.
2. Apabila baginda menunjukkan yang haram, mereka patuh menjauhinya.
3. Apabila baginda menekankan bahawa kesenangan dan kesusahan itu merupakan ujian, maka ia memerlukan kesabaran bagi menghadapinya.
Inilah individu yang mampu mengekalkan kelangsungan masyarakat yang dibina ketika mana ia menjadi agen kepada perubahan dan pembawa misi pengislahan.
Rasulullah saw telah menerangkan bahawa umat satu ketika nanti akan ditimpa kesusahan dan dikerumuni oleh golongan kafir. Situasi ini hanya akan dapat diselamatkan oleh individu muslim yang berkeperibadian tinggi.
Sabda Rasulullah saw :
"Sesungguhnya Allah membangkitkan seseorang yang memperbaharui urusan agama ini pada setiap seratus tahun".
Ia adalah seorang muslim yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Nabi dan Rasul, beriltizam dengan semua perintah Allah dan melaksanakannya tanpa mengambil peduli akan tuntutan hawa nafsunya seraya berkata dengan yakin seperti mana firman Allah swt :
"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) ialah orang-orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahnya)". (QS Al Ana’am : 162-163)
Untuk mencapai tahap individu sedemikian, ia memerlukan kepada penyerahan diri dan jiwa, pengawalannya sehingga seseorang itu merasakan diri dan jiwanya itu berada ditanganNya serta diuruskan sekehendakNya.
Perasaan sebegini akan melahirkan ‘intima’ (penggabungan diri) kepada agamanya. Lalu dia beriltizam dengan manhaj Allah dalam kehidupannya. Hawa nafsunya menurut apa yang didatangkan oleh Rasulullah saw. Lantas ia akan :
a. Meyakini bahwa penciptaannya hanyalah untuk melunaskan amanah risalah ini.
b. Merasai bahwa perasaan kasihnya meliputi seluruh hati sanubarinya.
c. Hanya mengharapkan semata-mata keredaanNya apabila ia kembali menemuiNya.
Inilah peribadi yang berkualiti yang mengimani apa yang ia perkatakan dan apa yang ia sematkan di dalam jiwanya. Tindakannya ialah kajian dan manifestasi manhaj nubuwwah yang menjadi tujuan dan matlamatnya sehingga jadilah seluruh kehidupannya sebagai interpretasi kepada risalah yang agung ini.
OBJEKTIF DAN MATLAMAT
Sebenarnya, setiap amalan yang dilakukan oleh manusia tidak kira kecil atau besar didorong oleh kekuatan dalaman yang terbit dari hati dan perasaan.
Ini adalah kerana setiap manusia akan melakukan sesuatu amalan berdasarkan tujuan yang ingin dicapainya. Apabila kekuatan yang sepatutnya menjadi batu asas itu hilang atau tiada, ianya akan menyebabkan kegagalan kepada amal dan usaha yang dilakukan di mana segala cita-cita tidak akan kesampaian dan bahkan ianya akan menyebabkan kepenatan, bagaikan mereka yang mengejar bayang-bayang sedangkan usaha tersebut tidak memberi apa-apa kesanpun kepada realiti sebenar.
Ini kerana setiap manusia akan melaksanakan amal dan perkerjaannya berdasarkan matlamat dan objektif yang telah digariskan.
Maka ia akan berusaha untuk mencapai matlamat dan objektif tersebut tanpa mengambil kira kesusahan dan kepayahan yang akan dihadapinya dalam usahanya mencapai apa yang dicita-citakannya.
Barang siapa yang mengetahui apakah hakikat sebenar kehendaknya (amal), maka segala kewajipan yang terpikul terasa ringan dan mudah.
Manusia akan meletakkan objektif berada di hadapan mata, walaupun objektif itu masih jauh kerana baginya, segala usaha yang dilakukan akan merapatkannya dengan jarak tujuan yang hendak dicapai di mana sudah pasti usaha dan amal tersebut memerlukan pengorbanan dari kelapangan masanya, kerehatan jasadnya dan keringanan fikirannya sehingga ada ketikanya ia akan mengorbankan harta dan kehidupannya sebelum ia berjaya mengecapi kejayaannya.
Benarlah sabda Rasulullah saw :
"Jalan ke syurga itu dipenuhi dengan kepayahan dan kesusahan".
Sudah tentulah syurga yang merupakan matlamat tertinggi seseorang insan itu akan dililiti dengan seribu satu kepayahan dan kesusahan. Maka usaha dan pengorbanan mesti dilakukan untuk mencapai syurga tersebut.
KEFAHAMAN YANG DIPELAJARI
Manhaj Imam Hasan Al-Banna mengajar kita bahawa sebelum seseorang insan memulakan langkah pertama untuk mencapai sesuatu objektif, ia memerlukan kepada dua asas utama iaitu :
PERTAMA : DIA MESTILAH BERIMAN (YAKIN) DENGAN OBJEKTIF ITU
KEDUA : DIA MESTILAH YAKIN DAN MAMPU UNTUK MENCAPAI OBJEKTIF YANG DIIMANINYA ITU DENGAN IZIN ALLAH SWT
Ini disebabkan kerana mengimani objektif dan berkeyakinan mampu mencapai objektif tersebut, ialah dua syarat asasi bagi setiap amal yang serius.
Dalam hal ini, Rasulullah saw menunjukkan contoh tauladan di sepanjang perjalanan hidup dan dakwahnya. Baginda amat tekun, tidak jemu dan bosan bekerja dan berdakwah walaupun Allah swt telah menjanjikan kemenangan kepada baginda.
Dengan keimanan dan tasawur yang beginilah Imam Hasan Al-Banna telah memulakan dakwahnya setelah beliau menetapkan objektif-objektifnya.
Objektif-objektif tersebut yang berpandukan manhaj Rasulullah saw berdasarkan peringkat-peringkat berikut :
a. ‘Ta’arif’ (peringkat memperkenalkan Islam).
b. ‘Takwin’ (peringkat pembentukan peribadi muslim).
c. ‘Tanfidz’ (peringkat perlaksanaan dan pengorbanan dalam tugas memenangkan Islam)
Semua peringkat-peringkat tersebut tidak akan mampu dilaksanakan kecuali melalui tarbiyah secara perlahan-lahan.
Manakala objektif-objektif tersebut ialah :
1. Membangkit ruh keimanan.
2. Mentarbiyah individu merangkumi pentarbiyahan ruh, jasad, akal dan perasaan meliputi seluruh aspek kehidupan.
3. Membentuk keluarga muslim berasaskan tarbiyah ini.
4. Mewujudkan masyarakat yang individunya telah ditarbiyah dan melaksanakan manhaj Islam dalam realiti kehidupan.
5. Menghidupkan kembali Khilafah Islamiyah yang telah lama hilang.
6. Memartabatkan kembali kedudukan identiti dan penguasaan di peringkat antarabangsa umat Islam sebagai sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia.
Semua objektif itu menuntut amal daripada akar umbi yang berterusan dan tersusun untuk mengembalikan Islam sebagai pemimpin masyarakat.
Usaha mengatur kembali kehidupan berdasarkan arahan, larangan dan syariat Allah bukan sekadar melalui kata-kata dan ucapan atau buku-buku, walaupun semuanya itu dituntut.
Ceramah, pidato, buku dan makalah hanyalah satu daripada usaha-usaha harakah, bukannya keseluruhan harakah.
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Beramallah kamu (akan segala yang perintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan. (QS At Taubah : 105)
Amal di peringkat akar umbi masyarakat yang tersusun dan berterusan ini hanya boleh dilakukan hasil dari dorongan jati diri dan keyakinan peribadi yang menjadikan keredhaan Allah sebagai matlamat agung.
Dorongan dalaman itu bermula apabila seseorang muslim yang telah mendapat sedikit sebanyak sentuhan kebangkitan Islam. Kesannya, ia akan merasa serba salah akibat daripada suasana bertentangan yang berlaku antara imannya dan realiti sekelilingnya.
Bertitik tolak daripada rasa kecintaan kepada agamanya, ia akan :
a. Berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri dan saudaranya.
b. Menyumbang ke arah perlaksanaan syariat.
c. Mewujudkan kesatuan umat Islam.
d. Berusaha ke arah pembebasan bumi Islam yang telah dijajah.
e. Bekerja untuk mengembalikan semula khilafah yang telah hilang.
f. Memperbaharui kewajiban berdakwah dan amar makruf nahi mungkar.
g. Berjihad di jalan Allah dalam segala kategorinya iaitu meliputi kuasa, lisan dan hati yang menggambarkan selemah-lemah iman.
Semua usaha-usaha di atas memerlukan kepada kefahaman dan tarbiyah.
Oleh sebab itu, kandungan dakwah Imam Hasan Al-Banna ialah :
1. Menggerakkan semula umat daripada lamunan yang panjang.
2. Mengejutkan kembali minda umat agar mereka faham.
3. Menyentuh hati umat supaya mereka beriman.
4. Menghidupkan keinginan umat agar mereka berazam.
5. Menggerakkan anggota umat agar mereka berkerja.
Dakwah, sebagaimana kefahaman yang dibawa oleh Imam Hasan Al-Banna dan diimplementasikan oleh Jamaah Ikhwanul Muslimin ialah :
a. Amal ‘fikri’ (usaha minda) yang menerangi akal.
b. Amal ‘da’wi’ (usaha dakwah) yang mendorong perasaan.
c. Amal ‘tarbawi’ (usaha pentarbiyahan) yang melahirkan peribadi Islam yang seimbang.
d. Amal ‘ijtima'ie’ (usaha kemasyarakatan) yang menyumbang menyelesaikan permasalahan masyarakat dan menyebarkan kebaikan.
e. Amal ‘iqtisadi’ (usaha ekonomi) untuk membebaskan ekonomi negara daripada cengkaman barat dan riba.
f. Amal ‘siyasi’ (usaha politik) untuk menegakkan pemerintahan negara yang melaksanakan hukum Islam.
g. Amal ‘jihadi’ (usaha jihad) untuk membebaskan tanah milik umat Islam di serata dunia daripada penjajahan asing melalui manhaj Nabi saw.
Perkara yang kita perkatakan ini perlu kepada penegasan bahawa Islam ialah :
1. Risalah tarbiyah sebelum menjadi risalah tanzim dan tasyri'.
2. Risalah nilai dan neraca sebelum menjadi risalah jihad dan perang.
Oleh yang demikian, ia perlu kepada kefahaman bahwa :
PERTAMA :
Objektif daripada perlaksanaan manhaj Nabi saw adalah untuk mewujudkan realiti amali yang Islamik, di mana hukum-hukum syariat dilaksanakan secara ruh dan nash.
Tidak sepatutnya kita menuntut Islam menyelesaikan permasalahan yang kita hadapi sebelum kita sendiri mewujudkan satu realiti persekitaran yang dilaksanakan syariat dan hukum di dalamnya.
Perkara ini tidak boleh diwujudkan dengan paksaan tetapi dengan :
a. Tarbiyah.
b. Keyakinan.
c. Iman.
KEDUA :
Amal untuk mencapai objektif-objektif tersebut hendaklah dilakukan melalui perancangan yang berperingkat-peringkat.
Amal tidak sepatutnya berganjak ke satu peringkat yang lain kecuali setelah objektif peringkat sebelumnya tercapai. Begitu juga amal dalam peringkat-peringkat ini hendaklah bersifat anjal kerana tabiatnya yang saling kait mengait antara satu sama lain. Ini kerana pencapaian objektif mana-mana peringkat akan membantu usaha mencapai objektif di peringkat seterusnya seperti mana pencapaian semua objektif di semua peringkat akan menyumbang ke arah pencapaian objektif terbesar.
Oleh itu, kewujudan individu muslim akan membantu ke arah pembentukan ‘usrah’ (keluarga) muslimah. Kewujudan ‘usrah’ (keluarga) muslimah pula akan membantu pembentukan ‘mujtama'’ (masyarakat) muslim, begitulah seterusnya.
KETIGA :
Amal untuk mencapai objektif-objektif tersebut hendaklah dilakukan secara ‘jamai’e’ (kolektif) yang mempunyai pimpinan yang berakar umbi dalam masyarakat dan mengepalai kelompok mukmin.
la bekerja untuk membentuk pendapat umum yang Islamik, yang akan menggembeling pelbagai tenaga bagi mencapai objektif Islam.
Amal ‘fardi’ (individu) tidak akan mampu mencapai objektif-objektif tersebut, di samping Islam sendiri agama jamaah yang mentarbiyah individunya dengan pengertian ini.
Ya Allah, tetapkanlah kami di atas jalan Tarbiyah dan Takwin (Pembentukan) kerana hanya inilah jalan yang paling selamat dan kukuh untuk menegakkan syariatMu di muka bumi kerana kami memahami bahwa inilah juga jalan yang telah dirintis oleh Rasulullah saw dan ditegakkan oleh para sahabat Radhiallahu ‘anhum sehingga syariatMu terlaksana pertama kalinya di bumi Madinah Al Munawwarah dan seterusnya menyebar ke bumi Islam yang lain.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/