Monday, September 8, 2008

TARAWIH - BERAPA RAKAAT SEBENARNYA?

Solat tarawih disunatkan di bulan Ramadan selepas melaksanakan fardu isyak. Mengikut Ibn Manzur dalam Lisanul Arab, kalimat ‘tarawih' ialah kalimat jamak (plural) bagi kalimat Arab ‘tarwihah' yang bermaksud ‘bersenang-senang atau beristirahat'.

Pada zaman Nabi solat malam di musim Ramadan tidak dinamakan sebagai solat tarawih sebaliknya dikenali sebagai qiam Ramadan. Selepas kewafatan Nabi barulah ia dikenali sebagai tarawih. Hal ini disebabkan umat Islam di Mekah sepeninggalan Nabi bersolat tarawih sebanyak empat rakaat dengan dua salam. Selepas itu mereka beristirahat dengan mengelilingi Kaabah sambil bertasbih dan bertakbir. (Fiqh Syafi'i, Ust. Idris Ahmad SH, jil. 1, hal 355)


Tarawih Di Zaman Nabi
Rasulullah menggalakkan umat Islam menghidupkan malam Ramadan dengan solat. Abu Hurairah meriwayatkan sabda Nabi, "Barang siapa melakukan qiyam pada bulan Ramadan kerana iman dan mencari pahala, maka diampuni untuknya apa yang telah lalu daripada dosa-dosanya". (Bukhari - Muslim)


Maksud qiyam Ramadan menurut Imam Nawawi ialah melaksanakan solat tarawih. Riwayat ini menunjukkan solat tarawih mendatangkan maghfirat atau keampunan serta menggugurkan dosa-dosa dengan syarat ia dilakukan penuh keimanan serta membenarkan pahala-pahala yang dijanjikan. (Fathul Bari 4/250; al-Ijabat al-Bahiyyah 18; al-Muntaqa 4/49-51)


Berhubung dengan jumlah rakaat solat sunat Nabi di musim Ramadan, Aisyah pernah ditanya, "Bagaimana solat Rasul pada bulan Ramadan?" Beliau menjawab, "(Nabi) tidak pernah menambah, sama ada di bulan Ramadan atau di bulan-bulan yang lain, lebih daripada sebelas rakaat. Baginda bersolat empat rakaat, maka jangan ditanya tentang bagusnya dan lamanya. Kemudian Baginda bersolat tiga rakaat." (Riwayat Bukhari)


Dalam hadis ini dinyatakan bahawa Nabi bersolat sebanyak 11 rakaat dan "Baginda bersolat empat rakaat". Ia bermaksud Nabi melakukan solat empat rakaat dengan dua kali salam, kemudian beristirahat. Hal ini berdasarkan keterangan Aisyah yang berkata, "Adalah Rasulullah melakukan solat selepas selesainya solat Isyak sehingga waktu fajar sebanyak sebelas rakaat. (Baginda) mengucapkan salam pada setiap dua rakaat...". (Riwayat Muslim)


Solat sunat tarawih khusus di musim Ramadan memang pernah dilakukan Nabi ada kalanya secara berjemaah. Mengikut sahabat Nu'man bin Basyir, "Kami melaksanakan qiamullail (tarawih) bersama Rasulullah pada malam 23 Ramadan sehingga sepertiga malam. Kemudian kami bersolat lagi bersama baginda pada malam 25 Ramadan sehingga sampai ke pertengahan malam. Kemudian baginda memimpin lagi pada malam 27 Ramadan sehingga kami menyangka tidak akan sempat memakan sahur." (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Hakim dan Nasaii)


Demikian juga yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Zar, "Kami berpuasa, tetapi Nabi tidak memimpin kami untuk melakukan solat (tarawih) sehingga Ramadan tinggal tujuh hari lagi, maka Rasulullah mengimami kami bersolat sehingga lewat sepertiga malam. Kemudian baginda tidak keluar pada malam keenam (sebelum Syawal). Pada malam kelima baginda memimpin solat sehingga lewat separuh malam. Lalu kami berkata kepada Rasulullah, "Semoga engkau menambah lagi untuk kami pada sisa-sisa malam ini?" Maka baginda bersabda, "Barang siapa bersolat bersama imam sehingga selesai ditulis untuknya seolah-olah dia bersolat satu malam." Kemudian baginda tidak memimpin solat lagi sehingga Ramadan berbaki tiga hari lagi. Maka baginda memimpin kami bersolat pada malam ketiga itu. Baginda mengajak keluarga dan isterinya bersama-sama. Baginda mengimami sehingga kami khawatir tidak mendapat falah (iaitu sahur)". (Hadis sahih riwayat Tirmizi, Ibn Majah, Abu Daud, Nasaii dan Ahmad)


Nabi juga meredai solat (tarawih) yang dilakukan secara berjemaah oleh sebahagian sahabat pada malam Ramadan. Sehubungan dengan ini, Tsa'labah bin Abi Malik al-Qurazi meriwayatkan, "Pada suatu malam di musim Ramadan Rasulullah keluar rumah, kemudian beliau melihat sekumpulan orang di satu penjuru masjid sedang melaksanakan solat. Baginda lalu bertanya, ‘Apa yang sedang mereka lakukan?' Seorang menjawab, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang tidak pandai al-Quran, sedang Ubay bin Kaab ahli al-Quran maka mereka solat (sebagai makmum) kepada Ubay'. Baginda lalu bersabda, ‘Mereka telah berbuat baik dan telah melakukan yang benar.' Baginda tidak membencinya". (Hadis mursal hasan riwayat Abu Daud dan Baihaqi. Albani berkata: Telah diriwayatkan secara mursal dari jalan lain dari Abu Hurairah dengan sanad yang boleh diterima)


Hal ini diperkukuhkan oleh satu riwayat yang lain daripada Ubai bin Kaab. Beliau berkata, "Ya Rasulullah, ada sesuatu yang aku lakukan malam tadi (Ramadan). Baginda bertanya, ‘Apa itu wahai Ubai?' Ubai menjawab, ‘Kaum wanita di rumahku berkata: Sesungguhnya kami tidak (pandai) membaca al-Quran. Bagaimana kalau kami solat bersamamu? Maka aku bersolat dengan mereka sebanyak lapan rakaat dan (kemudian) berwitir'. Maka hal itu menjadi sunah yang diredai. Baginda tidak berkata apa-apa." (Riwayat Abu Ya'la, Tabrani dan Ibn Nasir. Di hasankan oleh al-Haithami dan Albani)


Dalil-dalil ini menunjukkan solat tarawih khusus di musim Ramadan pernah dilakukan Nabi dan para sahabat ada kalanya secara berjemaah.
Adapun hadis-hadis yang menceritakan bahawa Nabi bertarawih sebanyak 20 rakaat, kesemuanya adalah tidak sahih. (Fathul Bari 4/254; al-Hawi. 1/413; al-Fatawa al-Hadithiyah 1/195)


Tarawih Di Era Selepas Nabi
Para sahabat Rasulullah bersolat tarawih di masjid Nabawi pada malam-malam Ramadan secara terpancar-pancar. Ada yang mengimami 5 orang, ada yang 6 orang dan ada yang melibatkan kelompok yang lebih ramai daripada itu.
Imam az-Zuhri berkata, "Ketika Rasulullah wafat, orang-orang bersolat tarawih dengan cara seperti itu. Kemudian pada masa Abu Bakar caranya tetap sama seperti itu dan demikian juga di peringkat awal pemerintahan khalifah Omar".


Tarawih 8 Rakaat dan 3 Witir


Akhirnya di era khalifah Omar al-Khattab beliau mengambil satu pendekatan yang menarik. Berhubung dengan ini Abdul Rahman bin Abdul Qari' berkata, "Saya keluar ke masjid bersama Omar di bulan Ramadan. Ketika itu orang-orang bersolat secara berpancaran. Ada yang solat bersendirian dan ada yang bersolat secara berjemaah. Omar berkata, "Demi Allah, saya berpandangan, seandainya mereka disatukan di belakang seorang imam, ia tentu lebih utama". Kemudian beliau mengumpulkan mereka di bawah pimpinan Ubai bin Kaab (sebagai imam). Kemudian saya keluar lagi bersama beliau pada malam yang lain. Ketika itu orang-orang bersolat di belakang imam mereka. Maka Omar berkata, "Ini adalah sebaik-baik hal yang baharu. Dan solat di akhir malam nanti adalah lebih utama daripada solat yang mereka lakukan sekarang."
Peristiwa ini terjadi pada tahun 14 Hijrah.
Dalam riwayat yang lain oleh Saib bin Yazid, beliau berkata, "Omar mengarahkan Ubai bin Kaab dan Tamim Ad-Dari mengimami solat tarawih pada bulan Ramadan dengan sebelas rakaat. Maka dibacanya ratusan ayat sehingga kami bersandar pada tongkat karena sangat lamanya berdiri. Maka kami tidak pulang dari tarawih melainkan ketika menghampiri fajar." (Imam Suyuthi dan Subki menilai riwayat ini sebagai tersangat sahih)


Tarawih 20 Rakaat dan 3 Witir


Al-Baihaqi dalam as-Sunan dan al-Firyabi dalam as-Siyam meriwayatkan bahawa di zaman khalifah Omar di bulan Ramadan solat tarawih dilakukan sebanyak 20 rakaat. (Riwayat ini disahihkan oleh Imam Nawawi, al-Zaila'i, al-Aini, Ibn al-Iraqi, as-Subki, as-Suyuthi dan yang lain-lain)
Dalam riwayat yang lain oleh Yazid Ibn Ruman maula sahabat Zubair bin al-Awwam, beliau mengatakan bahawa masyarakat (Madinah) di zaman Omar melakukan qiyam Ramadan sebanyak 23 rakaat. Yazid Ibn Ruman merupakan seorang ahli al-Quran di Madinah yang dipercayai. (Riwayat Malik, al-Firyabi, Ibn Nasr dan al-Baihaqi)
Berhubung dengan solat tarawih 11 rakaat dan 23 rakaat yang berlaku di zaman Omar al-Khattab, al-Tharthusi (451-520 H) berkata, "Para sahabat kami (Malikiyah) menjawab dengan jawapan yang benar yang boleh menyatukan kesemua riwayat. Mereka berkata, ‘Mungkin Omar di peringkat awalnya memerintahkan agar mereka melakukan 11 rakaat dengan bacaan yang amat panjang. Apabila masyarakat tidak lagi kuat untuk melakukannya, Omar memerintahkan agar dilakukan 23 rakaat demi meringankan lamanya bacaan'..."
Terdapat juga riwayat yang menunjukkan bahawa solat tarawih 20 + 3 juga dilakukan di Mekah pada zaman selepas Omar al-Khattab. Imam Atha' ibn Abi Rabah maula Quraisy, (lahir di era pemerintahan Uthman bin Affan dan pernah menjadi mufti Mekah) berkata, "Saya telah mendapati orang-orang (Mekah) pada malam Ramadan bersolat 20 rakaat dan 3 rakaat witir". (Fathul Bari 4/235)

Tarawih 36 Rakaat dan 3 Witir


Berhubung dengan ini Imam Nafi' al-Qurasyi meriwayatkan, "Saya mendapati orang-orang (Madinah) bersolat pada bulan Ramadan 36 rakaat dan berwitir 3 rakaat." (al-Hawadits 141; al-Hawi 1/415)
Daud Ibn Qais pula berkata, "Saya mendapati orang-orang di Madinah pada masa pemerintahan Aban ibn Uthman ibn Affan al-Umawi (iaitu Amir Madinah, wafat pada tahun 105 H) dan di era pemerintahan Khalifah Omar Abdul Aziz melakukan qiyam Ramadan sebanyak 36 rakaat ditambah dengan 3 witir." (Fathul Bari 4/253)
Imam Syafie pernah berkata, "Saya menjumpai orang-orang di Mekah bersolat 23 rakaat dan saya melihat penduduk Madinah bersolat 39 rakaat dan tidak ada masalah sedikit pun
tentang hal itu." (Sunan Tirmizi 151; Fath al-Aziz 4/266; Fathul Bari 4/23)
Jika dihimpunkan pendapat para ulama berhubung isu ini terdapat perbezaan pendapat yang cukup banyak, antaranya:
1- Sebelas rakaat (8 + 3 witir), mengikut riwayat Malik dan Said bin Mansur.
2- Tiga belas rakaat (2 rakaat ringan + 8 + 3 witir), mengikut riwayat Ibn Nasr dan Ibn Ishaq, atau (8 + 5) menurut riwayat Muslim.
3- Dua puluh satu rakaat (20 + 1), mengikut riwayat Abdul Razzaq.
4- Dua puluh tiga rakaat (20 + 3), mengikut riwayat Malik, Ibn Nasr dan al-Baihaqi. Inilah pegangan dalam mazhab Abu Hanifah, Syafie, at-Thauri, Ahmad, Abu Daud dan Ibn Mubarak.
5- Tiga puluh sembilan rakaat (36 + 3) atau (38 + 1), mengikut mazhab Maliki.
6- Empat puluh satu rakaat (38 + 3) atau (36 +5), mengikut riwayat Ibn Nasr dari kesaksian Salih Mawla al-Tau'amah yang disebutkan dalam al-Mughni 2/167.
7- Empat puluh sembilan rakaat (40 + 9). 40 rakaat tanpa witir adalah riwayat dari al-Aswad Ibn Yazid.
8- Tiga puluh empat rakaat tanpa witir, ialah amalan di Basrah, Iraq.
9- Dua puluh empat rakaat tanpa witir, mengikut Said bin Jubair.


Bagaimana Ulama Menilai Perbezaan Ini


Imam Ibn Hibban (meninggal tahun 354 H) berkata, "Sesungguhnya tarawih itu pada mulanya adalah 11 rakaat dengan bacaan yang sangat panjang sehingga memberatkan mereka. Kemudian mereka meringankan bacaan dan menambah bilangan rakaatnya menjadi 23 rakaat dengan bacaan yang sedang. Setelah itu mereka meringankan lagi bacaan dan menjadikan tarawih 36 rakaat tanpa witir." (Fiqhus Sunnah, 1/174)
Imam al-Subki berkata, "Tarawih adalah termasuk nawafil (perkara sunat). Terserah kepada masing-masing, sama ada ingin bersolat sedikit atau banyak. Boleh jadi mereka terkadang memilih bacaan panjang dengan bilangan rakaat yang sedikit, iaitu 11 rakaat. Terkadang mereka memilih bilangan rakaat yang banyak, iaitu 20 rakaat, dengan bacaan yang panjang, lalu amalan ini terus berjalan." (Al-Hawi, 1/417)
Imam Ibn Taimiyah pula berkata, "(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Kesemuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan." Beliau juga berkata, "Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan 3 rakaat witir sebagaimana yang diperbuat oleh Rasul di bulan-bulan Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, karena ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika ia seseorang bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan yang lainnya ia juga diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadhan itu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia telah salah." (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)
Hal ini dipersetujui oleh al-Hafiz Ibn Hajar. Beliau berkata, "Hal tersebut dapat difahami sebagai variasi sesuai dengan situasi serta keadaan manusia. Kadang-kadang yang sesuai ialah 11 rakaat, atau 21, atau 23 rakaat, bergantung pada persiapan dan kesanggupan mereka. Kalau dilakukan 11 rakaat, mereka boleh memanjangkan bacaan... Jika 23 rakaat, mereka boleh meringankan bacaan supaya tidak membebankan jemaah." (Fathul Bari 4/253)
Syeikh Abdul Aziz Ibn Bazz merumuskan pandangan-pandangan ini dengan berkata, "Antara perkara yang menjadi kesamaran bagi sebahagian orang ialah berhubung solat tarawih Sebahagian mereka mengira bahawa tarawih tidak boleh kurang daripada 20 rakaat. Sebahagian yang lain mengira bahawa tarawih tidak boleh lebih daripada 11 rakaat atau 13 rakaat. Kesemua ini semua adalah persangkaan yang tidak tepat, bahkan salah serta bertentangan dengan dalil. Hadis-hadis sahih daripada Rasulullah menunjukkan solat malam itu adalah muwassa' (iaitu fleksibel)... Bahkan telah sahih daripada Nabi bahawa baginda bersolat malam 11 rakaat, terkadang 13 rakaat, terkadang lebih sedikit daripada itu dalam Ramadan atau di luar Ramadan. Ketika ditanya tentang sifat solat malam, baginda menjelaskan: Dua-dua rakaat dan apabila salah seorang daripada kamu khawatir akan terlajak memasuki waktu subuh, maka bersolatlah satu rakaat witir sebagai penutup. (Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)....
Justeru pada zaman Omar solat dilakukan 23 rakaat dan pada waktu yang lain dilakukan 11 rakaat. Kesemua itu adalah sahih daripada Omar dan para sahabat di zamannya. Dan sebahagian ulama salaf bersolat tarawih sebanyak 36 rakaat ditambah dengan witir 3 rakaat. Sebahagian yang lain bersolat sebanyak 41 rakaat. Semua ini dikisahkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan ulama yang lain.... Barang siapa merenung sunah Nabi dia pasti mengetahui, bahawa yang paling afdal ialah bersolat sebanyak 11 rakaat atau 13 rakaat sama ada di bulan Ramadan atau di bulan-bulan yang lain. Hal ini disebabkan ia sesuai dengan perbuatan Nabi dan itulah kebiasaannya di samping ia adalah lebih ringan bagi jemaah dan lebih dekat kepada khusyuk' dan tamakninah. Namun, barang siapa menambah (rakaat) maka tidak mengapa baginya dan tidak makruh". (Al-Ijabat al-Bahiyyah 17-18; Fatawa Lajnah Daimah 7/194-198)
Jelas sekali para ulama berlapang dada berdepan perbezaan pendapat berhubung solat tarawih ini. Mereka tidak mengutuk antara satu sama lain sebaliknya mencari satu jalan tengah yang dapat meletakkan kepelbagaian ini pada perspektifnya yang betul di bawah sinaran Sunah.


Kesimpulan


Bulan Ramadan merupakan bulan keberkatan dan bukannya bulan pertengkaran. Ia adalah bulan ibadat dan bukannya bulan berdebat dan mengumpat. Umat Islam sepatutnya menggunakan Ramadan untuk mempertingkatkan pahala bukannya dosa.
Tarawih merupakan amalan sunat yang istimewa di musim Ramadan. Agama Islam menuntut umatnya melaksanakan ibadah ini sebaik mungkin mengikut kemampuan masing-masing. Jika jumlah rakaat tarawih yang dilakukan seseorang berbeza dengan orang lain, dia sepatutnya tidak cepat menghukumkan orang lain sebagai salah atau ahli bidaah. Ulama sendiri berpendapat bahawa Sunah fleksibel tentang jumlah rakaat bagi solat tarawih justeru bersikap keras tentangnya adalah menyalahi Sunah. Apatah lagi di Malaysia, jumlah rakaat yang sering kali dipopularkan ialah (8 + 3) dan (20 + 3). Kedua-dua amalan ini mempunyai sumber-sumbernya yang sahih yang perlu dihormati.

Walau bagaimanapun kita mengakui bahawa solat tarawih yang lebih utama adalah yang sesuai dengan Sunah Nabi, iaitu berjumlah 11 rakaat. Hadis-hadis menunjukkan Rasulullah telah melakukan dan mengimami solat tarawih sebanyak sebelas rakaat. Dalilnya ialah jawapan Aisyah (ketika ditanya oleh Abu Salamah Abdul Rahman berhubung solat Nabi khusus di malam Ramadan), iaitu, "Sesungguhnya baginda tidak pernah menambah pada bulan Ramadan atau pada bulan yang lainnya. lebih daripada sebelas rakaat." (Bukhari-Muslim)


Juga berpandukan hadis Jabir bin Abdullah yang berkata, "Rasulullah solat dengan kami pada bulan Ramadan delapan rakaat dan witir. Ketika malam berikutnya kami berkumpul di masjid dengan harapan beliau solat dengan kami dan kami terus berada di masjid sehingga pagi, kemudian kami bertanya, "Ya Rasulullah, malam tadi kami berkumpul di masjid dengan harapan (tuan) bersolat bersama kami." Baginda bersabda, "Sesungguhnya aku khawatir ia diwajibkan ke atas kamu." (Riwayat Tabrani, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah, dihasankan oleh Albani)
Nabi juga memperakui solat berjemaah delapan rakaat yang dilakukan oleh sahabat di malam Ramadan. Perakuan ini menjadi Sunah untuk diikuti. Ubai bin Kaab pernah berkata, "Ya Rasulullah, ada sesuatu yang aku lakukan malam tadi (Ramadan). Baginda bertanya, ‘Apa itu wahai Ubai?' Ubai menjawab, ‘Kaum wanita di rumahku berkata: Sesungguhnya kami tidak (pandai) membaca al-Quran. Bagaimana kalau kami solat bersamamu? Maka aku bersolat dengan mereka sebanyak lapan rakaat dan (kemudian) berwitir'. Maka hal itu menjadi sunah yang diredai. Baginda tidak berkata apa-apa." (Riwayat Abu Ya'la, Tabrani dan Ibn Nasir. Di hasankan oleh al-Haithami dan Albani)


Tambahan daripada itu, di zaman khalifah Omar al-Khattab riwayat yang paling sahih menunjukkan bahawa tarawih dilakukan sebanyak sebelas rakaat. Saib bin Yazid berkata, "Omar mengarahkan Ubai bin Kaab dan Tamim Ad-Dari mengimami solat tarawih pada bulan Ramadan dengan sebelas rakaat. Maka dibacanya ratusan ayat sehingga kami bersandar pada tongkat karena sangat lamanya berdiri. Maka kami tidak pulang dari tarawih melainkan ketika menghampiri fajar." (Imam Suyuthi dan Subki menilai riwayat ini sebagai tersangat sahih. Albani menilai riwayat ini sebagai sangat sahih)


Justeru Imam Malik berkata, "Yang saya pilih untuk diri saya untuk qiyam Ramadan ialah solat yang diperintahkan oleh Omar, iaitu 11 rakaat, dan itulah (cara) solat Nabi. 11 rakaat adalah dekat dengan 13 rakaat." (al-Hawadith 141)


Namun bersikap fanatik dengan 11 rakaat adalah dilarang kerana terdapat riwayat-riwayat lain yang sahih berhubung bilangan rakaat solat tarawih yang melebihi 11 rakaat dilakukan di era sahabat-sahabat Nabi


Benarlah Syeikh Abdul Aziz Ibn Bazz ketika beliau berkata, "Antara perkara yang menjadi kesamaran bagi sebahagian orang ialah berhubung solat tarawih Sebahagian mereka mengira bahawa tarawih tidak boleh kurang daripada 20 rakaat. Sebahagian yang lain mengira bahawa tarawih tidak boleh lebih daripada 11 rakaat atau 13 rakaat. Kesemua ini semua adalah persangkaan yang tidak tepat, bahkan salah serta bertentangan dengan dalil." (Al-Ijabat al-Bahiyyah 17-18; Fatawa Lajnah Daimah 7/194-198)


Sudah pasti perpaduan umat dan bukannya perpecahan perlu diutamakan berdepan isu-isu ranting seperti ini. Akhirnya yang dicari dalam sesebuah solat ialah keikhlasan, kekhusyukan, tamakninah dan keredaan Ilahi. Wassalam.


Rujukan Utama:
1- Shalat Tarawih Nabi & Salafushshalih, Abu Hamzah al-Sanuwi (30 Okt. 2004), nukilan dariamza majalah As-Sunnah 07/VII/1424 H.
2- At-Tamhid, lbn Abdil Barr, tahqiq Muhammad Abdul Qadir Atha, Maktabah Abbas Ahmad Al-Bazz, Mekkah.
3- Al-Hawadits Wal Bida', Abu Bakar At-Tharthusi, tahqiq Abdul Majid Turki, Darul Gharb Al-Islami.
4- Al-Hawi Li Al-Fatawa, As-Suyuthi, Darul Fikr, Beirut.
5- Solat At-Tarawih, Albani, Al-Maktab Al-Islami, Beirut.
6- Fatwa Lajnah Daimah, tartib Ahmad Ad-Duwaisi, tartib Adil Al-Furaidan.
7- Al-Ijabat Al-Bahiyyah, Al-Jibrin, I'dad dan takhrij oleh Saad As-Sa'dan, Darul Ashimah, Riyadh.
8- Durus Ramadhan, Salman Al-Audah, Darul Wathan, Riyadh.
9- Majmuk Fatawa, Ibn Taimiyah.
10- Fiqhus Sunnah, Sayyid Sabiq, Darul Fikr, Beirut.


Sumber dari http://www.mindasuper.com/ oleh Dr Danial Zainal Abidin

No comments: