Wednesday, September 30, 2009

Dakwah , Jamaah & Organisasi




Hasil Penulisan dari Naqib Net oleh : fakhrul Zulkawi

Di dalam organisasi kerja kita mempunyai peraturan organisasi. Paling minima ialah apa yang tertera di dalam surat tawaran kerja. Oleh itu kita perlu mematuhinya dan wajar dikenakan tindakan oleh syarikat setelah diberikan peringatan beberapa kali serta surat tunjuk sebab.

Namun, di dalam organisasi dakwah, kita perlu mematuhi peraturan. Ini dipanggil indibhat atau disiplin dalam jamaah. Dan ianya dilaksanakan di dalam suasana berjamaah yang menjadikan pedoman akhlak sebagai panduannya. Dan ini berlaku di dalam tahap penghayatan dakwah dan harakah seseorang yang dibina menerusi tarbiah.

Apabila kita berjamaah, sekiranya ada perjanjian taat setia atau peraturan yang ditetapkan, maka perlulah ianya dihormati dan dipatuhi. Namun ianya mesti bermula dengan kefahaman. Kefahaman dibina menerusi tarbiah. Dan tarbiah membina karakter atau keperibadian seseorang sehingga mampu menghayati budaya berjamaah seperti unsur ketaatan, muhasabah, syura dan kepimpinan serta kepengikutan. Inilah dasar serta penghayatan jamaie yang perlu dibina. Sekiranya berlaku pada tahap ini perkara-perkara yang boleh dikategori sebagai tidak menghormati atau tidak mentaati peraturan, maka wajar harakah tersebut memberikan nasihat serta mau'izah dengan penuh berhikmah dan mengenakan tindakan disiplin sekiranya berterusan melanggari disiplin jamaah setelah inzar atau peringatan telah diberikan dengan sewajarnya. (situasi ini akan menjadi lebih kritikal lagi sekiranya seseorang akh atau ukht tersebut melanggari prinsip syariah dan melakukan maksiat dosa besar secara berterusan).

Kisah Perang Tabuk juga memperlihatkan kepada kita kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada para sahabat yang tidak pergi berperang tanpa alasan yang dibenarkan syarak. Juga di dalam Islam, apabila seseorang muslim mengisytihar dirinya bukan lagi Muslim dan mahu keluar daripada Islam, hukuman dikenakan kepada orang itu samada dalam kategori hudud mahupun ta'zir. Ini kerana orang itu telah melanggari perjanjian. Perjanjian yang telah dimeterai semasa akad syahadah.

Sewajarnyalah tarbiah di dalam pengertiannya yang murni diperkasakan di dalam jamaah. Hubungan ukhuwah perlu sentiasa dibina. Islam juga melarang kita menjatuhkan maruah seseorang. Apa lagi mereka yang berada di dalam sesama organisasi dakwah melainkan dengan tujuan untuk keselamatan jamaah mahupun untuk mempertahankan diri. Berkomunikasilah secara jujur dan telus di kalangan sesama ahli. Fahami masalah mereka. Elakkan buruk sangka di peringkat awal komunikasi lagi. Setelah itu, jika berlaku juga pelanggaran disiplin, maka wajarlah bentuk hukuman dikenakan. Bila wujudnya iklim ukhuwwah yang sebegini maka bolehlah kita mengatakan penghayatan disiplin jamaah telah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Ketika itu kepimpinan yang tegas amat diperlukan.

Apabila jamaah ataupun ahli meninggalkan prinsip-prinsip di atas, kita akan mengundang kecelakaan dan musibah. Lebih berat lagi sekiranya Allah gantikan kita dengan mereka yang lebih baik dan lebih benar di dalam menghayati tuntutan syariat di dalam menegakkan agama-Nya. Bertindaklah mengikut neraca yang dijelaskan oleh Allah SWT, bukan daripada tindakan yang didasari aqal dan hawanafsu semata-mata.


selain futur, banyak lagi penyakit yang pendakwah lalui - antaranya isti'jal atau terburu-buru, ishrof atau berlebih-lebihan, hubbu riasah atau cintakan kuasa atau kepimpinan, 'ujub atau kagum dengan diri sendiri dan banyak lagi. Kita boleh rujuk kitab yang ditulis oleh syeikh al-tarbiah iaitu al-Marhum Dr Sayyid Muhammad Nuh berhubung penyakit-penyakit yang dihadapi pendakwah.

al-Marhum Dr Fathi Yakan juga menulis lebih awal dalam isu gugur di jalan dakwah di dalam kitab beliau "Mutasaaqitun 'ala Toriqqud-Dakwah". Beliau menukilkan sejarah penyelewengan yang diambil daripada al-Quran dan Seerah Nabi s.a.w. al-Marhum Sheikh Mustafa Masyhur juga menulis beberapa aspek penyelewangan di dalam organisasi dakwah di dalam kitab beliau yang mashur iaitu "Toriqqud-Dakwah Bainal Asl' wal Inhiraf". Manakala al-Marhum Sheikh Sayyid Hawwa pula menulis beberapa pelajaran yang perlu pendakwah ambil iktibar di dalam kitab beliau "Durus fil Amal Islami". Wajarlah kitab-kitab di atas ditekuni semula oleh pendakwah hari ini daripada para ulama' 'amilin ini di dalam pertemuan-pertemuan mingguan disamping pembacaan peribadi sebagai pedoman pendakwah.
Kita manusia bukan malaikat. Lupa, lalai, sifat keluh kesah, jahil dan sebagainya ada dalam diri kita. Sebab itulah tarbiah menjadi teras harakah kita. Pertemuan mingguan sebagai tempat kita membelek kesalahan diri ataupun diberikan pelajaran dan nasihat oleh naqib dan sesama ahli. Kena perhatikan samada pertemuan mingguan di dalam jamaah ini berjalan sepertimana maksud sebenarnya perjalanannya.
Selain daripada itu, memahami dan menghayati indhibat jamaah sebagai pedoman memimpin organisasi dakwah. Peraturan dan arahan yang perlu kita patuhi selagimana tidak bertentangan dengan syarak.


1 comment:

hrusli61 said...

Salam. MasyaAllah satu penulisan yang baik dan penuh peringatan. Semoga dapat kita praktikan bersama.

Semoga dapat melahirkan akh yang soleh dan musleh yang tahan lasak.
Barakallah