Wednesday, November 30, 2011

Apa yg Nabi Muhammad S.A.W lakukan di dlm bulan Muharram


Bulan Muharram adalah salah satu dari 4 bulan-bulan yang diharamkan (dihormati) oleh Allah S.W.T. (Zulkaedah,Zulhijjah, Muharram dan Rejab).

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar......." Baqarah 217

Kehebatan bulan Muharram ini dapat dirasakan penduduk dunia ini sejak zaman pra-Islam lagi. Samada Ahli Kitab, agama samawi yang diturunkan dari langit mahupun masyarakat jahiliyah, mereka sangat menghormati bulan haram.

Terlalu menghormati bulan-bulan ini, mereka sanggup "cuti perang" walau perang adalah sesuatu yang sangat melibatkan kemarahan yang penuh emosional. Ya, mereka genjat senjata bila masuk bulan-bulan yang 4 ini.

Rasulullah S.A.W akan melebihkan berpuasa pada bulan-bulan haram ini.

Islam menghormati keunikan bulan ini.

Diperturunkan beberapa hadis dan pandangan ulama' berkenaan khusus bulan Muharram ini:

1. قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينة ، فرأى اليهود تصوم يوم عاشوراء ، فقال : ( ما هذا ) . قالوا : هذا يوم صالح ، هذا يوم نجى الله بني إسرائيل من عدوهم ، فصامه موسى . قال : ( فأنا أحق بموسى منكم ) . فصامه وأمر بصيامه

Ketika Nabi S.A.W tiba di Madinah, dia melihat masyarakat yahudi berpuasa pada 10 Muharram. Lalu baginda bertanya. Mereka menjawab: hari ini hari yang baik, hari dimana Allah selamatkan Bani Israel dari musuhnya(firaun). Maka Musa a.s berpuasa padanya. Lalu sabda baginda: Aku lebih berhak dari kamu untuk bersama Musa a.s lantas baginda berpuasa dan mengajak (sahabatnya) untuk berpuasa (Bukhari)

2. كان يوم عاشوراء تصومه قريش في الجاهلية ، وكان النبي صلى الله عليه وسلم يصومه ، فلما قدم المدينة صامه وأمر بصيامه ، فلما نزل رمضان كان رمضان الفريضه ، وترك عاشوراء ، فكان من شاء صامه ومن شاء لم يصمه

"Pada hari Asyura masyarakat Quraish berpuasa sejak jahiliyah. nabi S.A.W juga turut berpuasa padanya. Ketika di madinah baginda terus berpuasa padanya dan meminta sahabat-sahabatnya untuk berpuasa. Tetapi bila difardhukan puasa Ramadhan ditinggalkan Asyura dan sesiapa yang nak berpuasa berpuasalah sesiapa yang tidak mahu berpuasa tidak perlu berpuasa" Bukhari

3. لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع . وفي رواية أبي بكر : قال : يعني يوم عاشوراء

"ٍSekiranya aku berpeluang hidup tahun depan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan (bersama asyura) Muslim

4. صوموا يوم عاشوراء وخالفوا فيه اليهود صوموا قبله يوما وبعده يوما

"Berpuasalah pada Asyura dan bezakan dengan yahudi dengan berpuasa sebelumnya sehari atau selepasnya sehari" Ahmad

Diringkas dari pandangan fuqaha' agar kita semua disunatkan berpuasa pada hari Asyura sebagaimana berikut. Iaitu samada:

1. Puasa pada 10 Muharram sahaja
2. Puasa pada 9 dan 10 Muharram (pilihan lebih utama)
3. Puasa pada 10 dan 11 Muharram
4. Puasa pada 9. 10 dan 11 Muharram (satu qaul dalam Mazhab Syafie)
5. Mempelbanyakkan puasa sepanjang Muharram, sejak 1 Muharram lagi termasuk 10 Muharram itu sendiri

Rasulullah S.A.W mendoakan sesiapa yang berpuasa hari Asyura agar diampun dosanya sepanjang tahun lalu.

10 Muharram 1433H kali ini jatuh pada Selasa 6 Disember 2011 ini.

Ayuh! sama-sama kita memuliakan diri dengan berpuasa beramai-ramai. Jangan lupa saling mengingatkan antara satu sama lain. Serulah ahli keluarga kita untuk sesama menghidupkan syiar mulia ini.

Bagi wanita yang terhalang samada Haid atau Nifas, saya percaya sekiranya jauh dilubuk hati anda berazam untuk berpuasa dan terhalang dengan keadaan demikian, anda akan mendapat pahala sebagaimana orang lain berpuasa juga.

حـسـن الـديـن مـحـمـد يـونـس
Assoc. Prof. Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus
Student Affairs Department
CUCMS

Tarikh-tarikh Penting

Khulafa al-Rasyidun

632M- Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Usamah mengetuai ekspedisi ke Syria. Kempen menentang kumpulan Murtad iaitu Bani Tamim dan Musailimah.
633M- Pengumpulan Al Quran bermula.
634M- Kewafatan Saidina Abu Bakar. Saidina Umar Al-Khatab dilantik menjadi khalifah. Penaklukan Damsyik dan seterusnya kempen meluaskan jajahan Islam di Tanah Parsi
635M- Penawanan Madain.
636M- Penaklukan Syria, Mesopotamia, dan Palestin.
637M- Mesir ditawan.
638M- Penawanan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam.
640M- Kerajaan Islam Madinah mula membuat duit syiling Islam.
644M- Saidina Umar mati syahid akibat dibunuh. Saidina Uthman Affan menjadi khalifah.
645M- Kempen di Afrika Utara. Cyprus ditakluk.
646M- Kempen menentang Byzantine.
647M- Angkatan Tentera Laut Islam ditubuhkan & diketuai oleh Muawiyah Abu Sufyan. Perang di laut menentang angkatan laut Byzantine. Empayar Parsi ditumpaskan.
648M- Pemberontakan menentang pemerintahan Saidina Uthman.
656M- Saidina Uthman wafat akibat dibunuh. Saidina Ali Abi Talib dilantik menjadi khalifah. Terjadinya Perang Jamal.
657M- Saidina Ali memindahkan pusat pemerintahan daripada Madinah ke Kufah. Perang Siffin meletus.
659M- Saidina Ali menawan kembali Hijaz dan Yaman daripada Muawiyah. Muawiyah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah Damsyik.
661M- Saidina Ali wafat dibunuh. Tamatnya pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Muawiyah mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.



Kerajaan Bani Ummaiyyah


661M- Muawiyah menjadi khalifah dan mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.
670M- Mara ke Afrika Utara. Penaklukan Kabul.
677M- Penawanan Samarkand dan Tirmiz. Serangan ke atas Constantinople.
680M- Kematian Muawiyah. Yazid I menaiki takhta. Peristiwa pembunuhan Saidina Hussein.
685M- Khalifah Abdul Malik menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan.
700M- Kempen menentang kaum Barbar di Afrika Utara.
711M- Penaklukan Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
712M- Tentera Ummaiyyah mara ke Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
713M- Penaklukan Multan.
716M- Serangan ke atas Constantinople.
717M- Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah. Pembaharuan yang hebat dijalankan.
725M- Tentera Islam menawan Nimes di Perancis.
749M- Kekalahan tentera Ummaiyyah di Kufah, Iraq ditangan tentera Abbasiyyah.
750M- Damsyik ditawan oleh tentera Abbasiyyah. Kejatuhan Kerajaan Bani Ummaiyyah.



Kerajaan Bani Abbasiyyah


752M- Bermulanya Kerajaan Bani Abbasiyyah.
755M- Pemberontakan Abdullah bin Ali. Pembunuhan Abu Muslim.
756M- Abd ar-Rahman I mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah Sepanyol.
763M- Penubuhan kota Baghdad. Kekalahan tentera Abbasiyyah di Sepanyol.
786M- Harun al-Rashid menjadi Khalifah.
792M- Serangan ke atas selatan Perancis.
800M- Kaedah sainstifik dicipta. Algebra dicipta oleh Al-Khawarizmi.
805M- Kempen menentang Byzantine. Penawanan Pulau Rhodes dan Cyprus.
809M- Kewafatan Harun al-Rashid. Al-Amin dilantik menjadi khalifah.
814M- Perang saudara di antara Al-Amin dan Al-Ma'mun. Al-Amin terbunuh dan Al-Ma'mun menjadi khalifah.
1000M- Masjid Besar Cordoba siap dibina.
1005M- Multan dan Ghur ditawan.
1055M- Baghdad ditawan oleh tentera Turki Seljuk. Pemerintahan Abbasiyyah-Seljuk bermula, yang kekal sehingga tahun 1258 apabila tentera Mongol memusnahkan Baghdad.
1085M- Tentera Kristian tawan Toledo (di Sepanyol).
1091M- Bangsa Norman tawan Sicily, pemerintahan Muslim di sana tamat.
1095M- Perang Salib pertama berlaku.
1099M- Tentera Salib tawan Baitulmuqaddis. Mereka membunuh semua penduduknya.
1144M- Nuruddin Zengi tawan Edessa daripada tentera Kristian. Perang Salib kedua berlaku.
1187M- Salahuddin Al-Ayubbi tawan Baitulmuqaddis daripada tentera Salib. Perang Salib ketiga berlaku.
1194M- Tentera Muslim menawan Delhi, India.
1236M- Tentera Kristian tawan Cordoba (di Sepanyol).
1258M- Tentera Mongol menyerang dan memusnahkan Baghdad. Ribuan penduduk terbunuh.Kejatuhan Baghdad. Tamatnya pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyyah-Seljuk.
1260M- Kebangkitan Islam. Kerajaan Bani Mamluk di Mesir (merupakan pertahanan Islam yang ketiga terakhir selepas Makkah & Madinah) pimpinan Sultan Saifuddin Mahmud Al-Qutuz menewaskan tentera Mongol di dalam pertempuran di Ain Jalut.



Empayar Turki Uthmaniyyah


1243M- Bangsa Turki yang hidup secara nomad menetap secara tetap di Asia Kecil.
1299M- Sebuah wilayah pemerintahan kecil Turki di bawah Turki Seljuk ditubuhkan di barat Anatolia.
1301M- Osman I mengisytiharkan dirinya sebagai sultan. Tertubuhnya Empayar Turki Uthmaniyyah.
1345M- Turki Seljuk menyeberangi Selat Bosporus.
1389M- Tentera Uthmaniyyah menewaskan tentera Serb di Kosovo.
1402M- Timurlane, Raja Tartar (Mongol) menumpaskan tentera Uthmaniyyah di Ankara.
1451M- Sultan Muhammad al-Fatih menjadi pemerintah.
1453M- Constantinople ditawan oleh tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad Al Fatih. Berakhirnya Empayar Byzantine.
1520M- Sultan Sulaiman al-Qanuni dilantik menjadi sultan.
1526M- Perang Mohacs
1529M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna.
1571M- Perang Lepanto berlaku.
1641M- Pemerintahan Sultan Muhammad IV
1683M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna buat kali kedua.
1687M- Sultan Muhammad IV meninggal dunia.
1703M- Pembaharuan kebudayaan di bawah Sultan Ahmed III.
1774M- Perjanjian Kucuk Kaynarca.
1792M- Perjanjian Jassy.
1793M- Sultan Selim III mengumumkan "Pentadbiran Baru".
1798M- Napoleon cuba untuk menawan Mesir.
1804M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia pertama.
1815M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia kedua.
1822M- Bermulanya perang kemerdekaan Greece.
1826M- Pembunuhan beramai-ramai tentera elit Janissari. Kekalahan tentera laut Uthmaniyyah di Navarino.
1829M- Perjanjian Adrianople.
1830M- Berakhirnya perang kemerdekaan Greece.
1841M- Konvensyen Selat.
1853M- Bermulanya Perang Crimea.
1856M- Berakhirnya Perang Crimea.
1876M- Perlembagaan Uthmaniyyah diluluskan.
1878M- Kongres Berlin. Serbia dan Montenegro diberi kemerdekaan. Bulgaria diberi kuasa autonomi.
1908M- Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan atau lebih dikenali sebagai Turki Muda ditubuhkan. Perlembagaan Uthmaniyyah dikembalikan. Austria menyerang Bosnia dan Herzegovina.
1912M- Perang Balkan pertama.
1913M- Perang Balkan kedua.
1914M- Empayar Uthmaniyyah memasuki Perang Dunia I sebagai sekutu kuasa tengah.
1919M- Mustafa Kemal Atat黵k mendarat di Samsun.
1923M- Sistem kesultanan dihapuskan. Turki diisytiharkan sebagai sebuah Republik.
1924M- Pejabat khalifah dihapuskan. Tamatnya pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Tuesday, November 29, 2011

Sejarah Asal Usul Mahsuri yang Asli (3)

Berputik daripada perasaan cemburu inilah, Wan Mahora memasang perisiknya yang kebetulan tinggal berhampiran dengan rumah Mahsuri.Beliau bernama Mak Udoh. Tapak rumahnya sekarang ini telah terbina tandas awam berhampiran Makam Mahsuri.Mak Udoh hanya empat tahun lebih tua dari Mahsuri. Mereka juga berkawan baik lebih-lebih lagi mereka tinggal sekampung.

Deramang ialah seorang penjual kain dari seberang atau dari Sumatera. Beliau juga bersahabat dengan Wan Derus atau dengan keluarga Pandak Mayah sendiri.Tanda persahabatan mereka masih ada hingga ke hari ini dalam bentuk siling lama. Kerana beliau berniaga, sudah tentulah beliau akan rumah ke rumah untuk menjual barang-barangnya tidak kira waktu dan masa.

Kesempatan inilah diambil oleh Mak Udoh untuk menjalankan tugasnya untuk Wan Mahora. Inilah kesempatan yang amat baik bagi beliau untuk membantu Wan Mahora. Daripada perasaan cemburu berubah kepada hasad dengki dan seterusnya berlakulah fitnah.

Memang berlaku penjual kain bertandang ke rumah Mahsuri dengan tujuan menjual kain. Akan tetapi kesempatan ini diintai oleh Mak Udoh dengan mengatakan mereka berdua-duaan.Perkara ini telah dibawa oleh Mak Udoh ke pengetahuan Wan Yahya dan disokong kuat oleh Wan Mahora.

Maka Wan Yahya memerintahkan panglimanya ke Kampung Cenerai untuk membawa Mahsuri meghadap Wan Yahya. Dengan tidak tahu tujuan apa-apa Mahsuri pun pergilah meghadap Wan Yahya atau abang iparnya. Amat terkejutlah Mahsuri ketika beliau dituduh berkelakuan tidak senonoh dengan penjual kain. Dalam kekalutan ini, penjual kain pula megambil kesempatan lari keluar dari Pulau Langkasuka . Beliau sempat manaiki kapal yang menuju ke Sumatra.

Dua hari Mahsuri ditahan di Kampung Jerat. Juga tidak mengaku olehnya walaupun diugut untuk dibunuh. Maklumlah perkara tidak dilakukan oleh beliau bagaimana hendak mengaku mengikut kehendak penuduh.

Hari kedua gemparlah orang-orang Kampong Cenerai dengan berita Mahsuri dituduh berkelakuan tidak baik dengan penjual kain.Bergegaslah mereka ke Kampung Jerat untuk mendengar berita itu. Ibu bapa Mahsuri juga bergegas kerumah Wan Yahya. Berbagai-bagai penjelasan diberikan oleh ibu bapanya tapi tidak diendahkan oleh Wan Yahya.

Tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan oleh Pandak Mayah. Kerana kesemua orang-orang kuatnya pergi berperang.Tetapi orang-orang Wan Yahya ramai.Apa yang dapat dilakukan oleh Pandak Mayah, keluarganyadan sahabatnya hanya berdoa saja agar kebenaran berpihak kepadanya.

Masa berjalan , rayuan tidak di layan oleh Wan Yahya. Hukum bunuh hendak dilaksanakan juga . Yang tidak bersalah tetap mengaku tidak bersalah walaupun diugut hendak di bunuh.

Hari hampir senja. Mahsuri pun dibawa oleh orang-orang Wan Yahya ke tepi pantai.
Beliau pun diikat ke sebatang pokok cenerai yang sederhana besar.Pokok cenerai itu pula dikuatkan dengan sebatang buluh pancung. Tali untuk mengikat tangan Mahsuri dibuat oleh seseorang yang pandai. Tali itu dibuat dari empat jenis bahan yang berlainan iaitu dari kulit pisang benggala, rambut yang panjang, kulit pisang udang dan akar minyak.

Setelah tangannya diikat kuat oleh orang yang pandai,beliau tetap juga tidak mengaku dengan tuduhan itu.Orang yang menjalankan hukuman bagi pihak Wan Yahya ialah panglimanya bernama Alang Budiman. Mahsuri pula berpakaian kemas dan bertudung kepala hadiah dari suaminya yang terakhir. Disanggulnya tercucuk penyucuk sanggul merupai keris. Dilehernya tergantung seutas rantai emas berlokek. Didalam lokek itu tersimpan Quran kecil.

Kesemua orang kampungnya yang hadzir berada tidak jauh dari tempat hukuman itu termasuk ibu dan bapanya. Keris pertama diserahkan kepada Alang Budiman dan terus menikam ke dada Mahsuri tapi tidak berhasil. Ibunya jatuh pengsan. Diberi pula keris yang berlambang naga kepada Alang Budiman.Tiga kali Alang Budiman menggelilingi Mahsuri. Ditikamnya ke dada Mahsuri sebelah kiri dari arah belakang. Mahsuri masih tidak menyedari bahawa dadanya sudah ditikam.Beberapa lama barulah beliau merasa sakit. Ibunya sedar dari pengsan.

Selepas itu barulah ikatan ditangannya dibuka. Alang Budiman tidak lagi berada disitu . Keadaan ketika itu gempar dan sedih sekali. Mahsuri dipapah oleh ibu bapa dan rakannya keluar dari tempat hukuman. Setelah berjalan keluar ,dia berasa lemah dan jatuh di atas pasir.Beliau juga sempat meninggal beberapa pesanan kepada bapanya.
Kedaannya semakin uzur. Menyedari masanya hendak dijemput Allah hampir dekat sekali. Dengan tenaga akhir beliau mencabut cucuk sanggulnya dan menikam ketanah dan terus bersumpah “ ……………………….hingga tujuh keturunan aku “ .Tempat hukuman itu dijalankan sekarang ini menjadi tempat letak kereta antara gerai makan dengan Sek.Keb. Padang Matsirat.


Memang dia d tikam dari belakang d tempat d mana susu d simpan. Lagi pula anaknya Wan Hamzah baru berusuia 8 bulan juga dia d tahan selama dua hari. ini berarti mungkin 2 hari anaknya tak d susukan.


Hari sudah hampir malam. Berita Arwah Mahsuri mati dibunuh tersebar ke merata kampung. Pada malam itu juga mayat arwah diusung oleh orang-orang kampung Pandak Mayah balik ke Kampung Cenerai. Bermulalah zaman Pulau Langkasuka disumpah oleh Arwah Mahsuri. Hujan turun selama tujuh hari tanpa henti.

Setelah mayat arwah Mahsuri tiba dikampungnya , kerja-kerja berkaitan pun dilakukan oleh orang-orang kampong seperti membaca “ Yassin “ dan lain-lain lagi.

Hari berikutnya barulah arwah dikebumikan dihadapan rumahnya sendiri. Arwah meninggal dalam usia lebih kurang 34 tahun dengan meninggal dua orang anak Wan Hakim 2 tahun, dan Wan Hamzah 8 bulan.Hari-hari berikutnya keadaan masyarakat kampung Cenerai merasa sedih dengan apa yang telah berlaku. Lebih-lebih lagi pada keluarga Pandak Mayah.

Genap tujuh hari arwah Mahsuri dijemput Allah, pada suatu malam telah berlaku satu keajaiban di rumah Wan Yahya. Tiba-tiba rasuk rumahnya patah. Amat terkejut mereka semua. Keesokannya mereka semua terus megambil keputusan untuk berpindah . Wan Mahora tidak mahu ikut serta tapi dipaksa oleh Wan Yahya untuk berpindah. Dalam keadaan yang tidak sempurna, mereka berpindah menuju Satun. Turut serta dalam rombongan itu ialah seorang panglimanya bernama Alang Budiman..

Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya pun tiba di Satun. Tidak berapa hari di Satun beliau pun jatuh sakit hingga mulutnya herot ke kiri. Beliau pun berubat dengan beberapa orang bomoh. Salah seorang bomoh itu mengatakan sakitnya itu berlaku disebabkan oleh beliau sendiri iaitu membuat keputusan tanpa selidik terlebih dahulu.

Tidak berapa lama selepas itu, beliau menceraikan isterinya. Beliau berpindah lagi dan tinggal di suatu tempat bernama Pakbara.Beliau mempunyai dua orang anak laki-laki. Pertama bernama Wan Ayob dan kedua bernama Wan Ishak. Kedua –dua anak mereka pula menetap bersama ibunya di Satun.

Setelah enam bulan Wan Yahya di Pakbara, beliau pun berkahwin pula dengan orang Pakbara bernama Salini. Salini bekerja sebagai tukang jahit dan Wan Yahya sebagai nelayan.Tidak berapa lama selepas mereka berkahwin, berpindah pula mereka ke Phatalong. Disinilah Wan Yahya meninggal dunia. Selepas enam bulan, isterinya pula meninggal dunia akibat diracun orang. Perkahwinan mereka tidak mendapat seorang anak pun.

Wan Mahora. Setelah berapa lama menetap di Satun, beliau serta dua orang anaknya pula berpindah ke Songkla. Beliau menetap di Songkla sehingga akhir hayatnya.

Mak Udoh. setelah sebulan pemergian arwah Mahsuri. Beliau pula meninggal dunia dipanah petir ketika sedang memancing di laut bersama rakannya.Beliau mati tidak berkubur.

Deramang penjual kain yang sempat meloloskan dirinya dan menaiki kapal menuju ke Sumatra pula menerima kemalangan di atas kapal. Beliau meninggal dunia di atas kapal disebabkan oleh ditimpa tiang kapal yang patah.

Peperangan di Satun sudah pun tamat. Kemenangan berpihak kepada raja Satun. Beberapa barang hadiah dikurniakan oleh baginda raja Satun kepada Wan Derus dan orang-orangnya. Maka berangkatlah mereka kembali ke Pulau Langkasuka. Setelah beberapa hari dalam pelayaran maka sampailah mereka ke Pulau Langkasuka.

Di Kampung Pengkalan kapal sanak saudara menunggu mereka kerana ada yang cedera dan lemah dan perlu diberi rawatan. Tidak kurang juga berita yang didengar dan diceritakan diantara mereka.

Wan Derus senang dengan tugas yang telah diselesaikan ketika di Satun . Tetapi lain pula setelah beliau pulang ke Pulau Langkasuka. Hadiah di Pulau Langkasuka pula amat menyedihkan beliau dan boeh membawa kepada pergaduhan di antara keluarga sendiri.

Beliau dan dibantu dengan sahabat-sahabatnya dapat mengawal keadaan yang kalau tersilap hitung boleh membawa kepada pembunuhan. Beliau menerima saja takdir yang telah menimpanya dengan penuh sabar dan berserah kepada Allah.

Dalam seminggu setelah arwah Mahsuri meninggal, Pandak Mayah tidak dapat melihat lagi barang-barang peninggalan arwah. Dikumpul olehnya barang-barang itu dan diberi kepada seseorang untuk menjaganya.

Ibu dan kakak-kakak arwah tidak lagi dapat menahan kesedihan yang menimpa mereka. Mereka sentiasa mendoakan agar mereka dipendekan umur. Maka selepas setahun pemergian arwah, ibunya pula dijemput Allah. Ibunya juga disemadikan tidak jauh dari tempat arwah disemadikan.Tidak lama selepas itu pula turut diikuti oleh dua orang kakaknya. Kakaknya juga disemadikan ditempat yang sama.

Setelah beberapa lama Wan Derus tinggal bersama dua orang anaknya, beliau pun meminta izin dari Pandak Mayah untuk meninggal Pulau Langkasuka. Setelah keizinan
diberikan oleh Pandak Mayah barulah beliau berpindah dan tidak pulang lagi.

Bekalan untuk beliau dan anak-anaknya pun disediakan oleh keluarga dan rakan-rakannya. Tiba hari berpindah, beliau pun dihantar oleh orang–orang terdekat hingga ke pantai. Maka belayarlah mereka ke destinasi yang dirahsiakan. Bersama beliau turut serta ialah kawan rapatnya. Setelah sampai ke tempat yang di tujunya maka bermudiklah mereka menyusuri sungai dan sampai ke suatu daerah bernama Trang .Beliau dan anak-anaknya pun menetap di Trang. Beliau tidak lagi berkahwin. Beliau sendiri membesarkan anak-anaknya. Beliau juga mengajar ilmu agama kepada orang-orang sekitarnya. Beliau memilih Trang untuk menetap kerana di sini beliau mempunyai ramai kenalan.

Setelah beberapa lama beliau menetap disitu, sahabatnya berangkat pulang ke Pulau Langkasuka dengan tujuan untuk menyampaikan berita kepada Pandak Mayah. Sahabatnya itu berulang alik setahun sekali di antaraTrang dan Pulau Langkasuka.

Pandak Mayah, setelah kematian isteri dan anak-anaknya beliau pun berpindah ke tempat Wan Derus. Sebelum berpindah beliau memberi barang-barang kepada sahabatnya untuk dijaga dan diserah kepada anak-anak cucunya di kemudian hari. Rumah asalnya pun hendak diroboh tetapi dicadang oleh sahabatnya supaya tinggalkan untuk tatapan anak-anak cucunya. Cadangan itu diterimanya. Maka kekalah ukuran rumah itu hingga kehari ini.

Setelah tiba masanya berpindah ,beliau pun berpindahlah ke tempat cucunya tinggal dengan ditemani oleh sahabat Wan Derus tadi dalam usianya tujuh puluhan. Semasa perpindahan itu beliau membawa bersamanya persalinan ketua kampung termasuk kasut capar, Keris Wali,tengkolok, lebai dan lain-lain barang.Tiba di Trang menetaplah beliau bersama menantu dan cucu-cucunya.Mereka membuat kerja seperti biasa untuk menyara kehidupan harian.

Lebih kurang sepuluh tahun Pandak Mayah berada di Trang ,beliau pun uzur. Oleh itu beliau pun meminta agar beliau dihantar pulang ke Pulau Langkasuka.Pulanglah beliau ke Pulau Langkasuka dan ditemani oleh orang harapan . Setiba di Pulau Langkasuka beliau tinggal bersama saudaranya. Hari berganti hari. Pandak Mayah semakin uzur. Beliau meninggal di Pulau Langkasuka dan disemadikan di Pulau Langkasuka. Berita kematian Pandak Mayah disampaikan kepada Wan Derus oleh penyampainya.

Setelah sekian lama di Trang , Wan Hakim pun dewasa. Beliau dikahwinkan dengan Umi Kalsom dari Pathalong. Setelah berkahwin beliau tinggal berasingan dari bapanya. Lebih kurang 86 tahun usia Wan Derus maka meninggallah beliau. Beliau disemadikan oleh orang-orang kampung. Makamnya sekarang ini terletak di belakang Masjid Trang yang imamnya sekarang ini bernama Hj. Ramli.

Wan Hakim dan isteri. setelah beberapa tahun mereka kahwin, maka dikurniakan dua orang anak laki-laki. Anak pertama bernama Wan Mohd Salleh dan yang kedua bernama Wan Mohd Zaidi. Wan Mohd Zaidi dua tahun lebih muda dari abangnya.

Setelah usia Wan Mohd Salleh 10 tahun, Wan Hakim sekeluarga berpindah pula ke Pathong (atau Pathongmoi). Mereka tinggal di satu kampung yang tidak jauh dari pantai .Kerja harian mereka adalah bertani dan ke laut.

Wan Mohd Salleh ketika usianya 18 tahun dengan keizinan ibu dan bapanya , merantau pula beliau untuk belajar ilmu agama. Beliau merantau hingga sampai ke Naratiwat. Di Naratiwat beliau belajar disebuah sekolah pondok di Daerah Weng. Beliau berguru dengan seorang sheikh selama tiga tahun. Selepas pengajian beliau terus berniaga kain dan batu pemata. Beliau berurus niaga hingga ke Saiburi.

Setelah umur Wan Mohd Salleh 25 tahun, beliau berkahwin dengan orang dari Saiburi bernama Wan Siti Hajar Bt Wan Alias. Mereka menetap di Ban Yala. Disini mereka mendapat seorang anak perempuan dan diberi nama Cik Aa.

Sementara itu di Phatong, Wan Mohd Zaidi meninggal dunia dalam usia 17 tahun kerana demam panas.

Wan Mohd Salleh dan isteri setelah mendapat anak pertama , mereka berpindah lagi. Kali ini mereka berpindah hingga ke negeri Kedah. Setelah mendapat tempat yang sesuai mereka membina rumah dan menetap di situ. Pekerjaan mereka bersawah , menangkap ikan dan kerja-kerja kampung yang lain. Selepas menetap di Kedah, mereka mendapat lima orang lagi anak. Anak kedua bernama Cik, ketiga Embong, keempat Fatimah,kelima Aishah dan keenam laki-laki bernama Nan.Hari ini yang masih ada hanyalah Fatimah saja dan usianya hampir 80 tahun Kakak-kakak dan adiknya sudah pun meninggal dunia. Fatimah ialah ibu kepada Abdul Ghoni. Beliau mempunyai 12 orang anak.

Cik Aa pula berkhawin dengan Awang. Mereka menetap di Kampung Kubang Jelai dalam Daerah Pendang. Mereka mendapat beberapa orang anak. Anak sulungnya bernama Abdul Rahman.Awal tahun 60an Cik Aa meninggal dunia melewati suaminya. Beliau dimakamkan di perkuburan Islam Kampung Rambai.

Abdul Rahman pula berkahwin dengan Saodah. Mereka mendapat beberapa orang anak.Mereka menetap di Kampung Gelam jalan Tanah Merah. Beliau meninggal di awal tahun 2000 kerana lumpuh.

Anak pertama Abdul Rahman bernama Abdul Ghani. Setelah berkahwin. Beliau mendapat beberapa orang anak. Anak yang pertama bernama ********. Mereka sekeluarga tinggal di pekan Pokok Sena, Kedah. Sekarang usia anak sulongnya lebih kurang 17 tahun.

Apa yang dikatakan tujuh keturunan Mahsuri dalam ucapan sumpahnya ialah dikira dari dirinya, anaknya yang sulung dan seterusnya kepada cucu cicitnya yang sulung tidak kira samada laki-laki atau perempuan. Cartanya seperti berikut,


1 MAHSURI
2 WAN HAKIM
3 WAN MOHD SALLEH
4 CIK AA
5 ABDUL RAHMAN
6 ABDUL GHANI
7 ***********

(Bersambung)

Monday, November 28, 2011

Bulan Muharram dan kemuliaan hari Asyura

Oleh: Osama Jadu

Setiap tahun moga anda dalam kebaikan. Wahai saudara-saudara yang dimuliakan, saya ingin berbicara dengan anda di kala kita berada di ambang tahun Hijrah yang baru, kita memohon Allah menjadikannya lebih baik, sentiasa dalam kemuliaan dan kemenangan dan memperkasakan umat Islam kita dan merealisasikan impian yang anda harap-harapkan.

Kita menyambut tahun baru Hijrah di saat umat telah menghirup angin kebebasan dan kemuliaan, dan kini hanya di hujung jalan untuk mencapai objektifnya dan memenuhi aspirasi bangsa mereka.

Beberapa ketika umat kita hidup dalam kesakitan siang dan malam, keadaan umat yang menderita, ketidakupayaan anggota umat dan cengkaman pemerintah ke atas umat dan Negara menjadi terbiar dan tertinggal sehingga membangkitkan keinginan umat di negeri ini selepas rakyat mengadakan perarakan selama sebulan hingga mencetuskan kehebatan dan kekaguman di hati orang lain. Umat Islam telah menjalani kehidupan untuk suatu tempoh masa tanpa kedudukan pengaruh dan berada di barisan kepimpinan dan merasai kepimpinan dari mereka yang kehidupannya di sinari cahaya iman sejak berabad-abad lamanya.

Masa telah berlalu sehingga datang kemuliaan kaum yang lain
Yang cedera dan sakit semua bebas mengajukan soalan: di mana umat Islam?

Di atas kehendak Allah telah menentukan bahwa malam yang panjang telah berlalu. Kini muncul fajar yang baru dan terbit cahaya matahari umat kita ke alam nyata. Di sini kita melihat kesejahteraan telah meresap di sendi-sendi dan otot-otot umat kita, dan mula berdiri di atas kakinya, bangkit dari tersungkur, bangun dari tidur dan meneruskan perjalanannya lagi. Pada hemat saya bahawa tahun ini akan menyaksikan kebangkitan dan pembangunan semula umat, kekuatan dan kesejahteraan.

Di kesempatan kita menyambut ketibaan tahun baru Hijrah izinkan saya bercakap tentang bulan Muharram dan hari Asyura, yang merupakan di antara hari-hari yang baik di sisi Allah.

Bulan Muharram

Ayuhlah kita perhatikan bahawa Allah telah membuka tahun baru dengan bulan Muharram dan menutupnya dengan bulan Zulhijjah. Tiada bulan yang paling utama di sisi Allah dalam setahun selepas bulan Ramadan selain dari bulan Muharram. Bulan ini dipanggil bulan “Syahrullah al-Ashom” kerana kehormatan dan kemuliannya itu, sepertimana yang dikatakan oleh Hasan al-Basri ra. Diriwayatkan dari An-Nasaie daripada Abu Zar Ghaffari ra berkata:


Saya bertanya kepada Rasulullah saw: “Apakah malam yang paling baik? Dan manakah bulan yang lebih afdhal?? Nabi bersabda (bermaksud): "Sebaik-baik malam ialah pada tengah malamnya, dan sebaik-baik bulan ialah bulan Allah yang kamu panggil Muharam" .

Adalah sunat untuk berpuasa, kerana terdapat hadits yang sahih dari Rasulullah saw yang melaporkan bahawa berpuasa di bulan Muharram adalah sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan. Laporan itu disokong oleh hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw berkata (bermaksud):

"Sebaik-baik puasa selepas Ramadhan adalah bulan yang anda panggil Muharram, dan sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat di malam."

Ini adalah seruan untuk semua muslimin yang dikasihi supaya menyempurnakan kunjungan mereka di bulan Muharram yang mulia ini. Mereka melakukan perjalanan dengan jalan yang baik, mengisinya dengan ketaatan, menghiasinya dengan ibadah, mengambil kesempatan dengan perbuatan baik dan menjauhi perbuatan jahat. Juga untuk merealisasikan dalam diri mereka erti kesejahteraan seperti yang mereka serukan hingga tercapai pembaharuan dan perubahan. Begitulah mereka mengikuti sunnah alam dalam melakukan perubahan dengan cara yang terbaik dan paling afdhal:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11).

Hari Asyura

Pada bulan yang mulia ini terdapat hari yang baik dan keberkatan yang banyak. Ia mempunyai kedudukan yang agong dan kemuliaan sejak dahulu kerana para nabi berpuasa pada hari ini. Tidak pernah diketahui bahawa para nabi berpuasa seperti hari Asyura. Ini kerana kedudukannya yang mulia dan tinggi yang merupakan hari bertaubat, iaitu hari Allah menerima taubat Nabi Adam as dan Allah menerima taubat umat nabi Yunus as, seperti yang dilaporkan oleh Amirul Mukminin Ali ibn Abi Talib ra bahawa Nabi saw bersabda (bermaksud):

"Jika anda ingin berpuasa selepas bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan Muharram. Ia bulan Allah dan terdapat hari yang Allah terima taubat ke atas suatu kaum dan menerima taubat orang-orang yang lain, " Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dan al-Tirmizi dalam Sunan beliau (Kitab Puasa).

Kata-kata Rasulullah saw: “Allah menerima taubat orang-orang yang lain”: adalah untuk menggesa orang ramai dan menggalakkan mereka supaya memperbaharui taubat nasuha mereka pada hari Asyura sambil mengharapkan keampunan dan kasih sayang, serta berharap Allah menerima taubat mereka sepertimana Allah menerima taubat orang-orang lain yang bertaubat sebelum mereka.

Kita berdoa kepada Allah SWT supaya menerima taubat kita semua dan mengampunkan dosa-dosa kita dan memberikan rahmat kepada kita. Kita ulangi bersama-sama:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنْ الْخَاسِرِينَ
"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi". (Al-A’raf: 23).

Hari Asyura ialah hari di mana Allah telah selamatkan Nabi Nuh as daripada tenggelam apabila bahtera yang dinaiki dapat berlabuh di Gunung Judi. Lalu Nabi Nuh berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah SWT yang telah menyelamatkan nyawa baginda dan orang-orang beriman yang bersama dengannya.

Hari Asyura adalah hari di mana Allah telah selamatkan Nabi Musa as dan pengikut-pengikutnya dari ancaman Firaun dan tenteranya. Lalu Nabi Musa dan kaumnya berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.

Riwayat oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah ibn Abbas ra berkata:

“Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”.

Nabi saw berpuasa pada hari Asyura juga seperti yang dilaporkan oleh Abdullah bin Abbas ra katanya:

"Saya tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa pada satu hari yang beliau lebih muliakan dari yang lain kecuali hari ini, hari Asyura. Bulan ini bermakna bulan Ramadan" (Bukhari dan Muslim).

Ia membuktikan bahawa Nabi saw berpuasa dan mengambil berat tentang puasa pada hari Asyura, dan mengarahkan para sahabat berpuasa sebelum difardukan puasa bulan Ramadan. Baginda terus berpuasa hari Asyura selepas difardukan puasa bulan Ramadan dan baginda berpuasa sehingga tahun meninggal dunia.

Puasa pada hari Asyura menebus dosa-dosa setahun yang lalu

"Dan ditanya (Rasulullah saw) tentang berpuasa pada hari 'Asyura'? Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu." (Hadits riwayat Muslim)

Orang-orang salih terdahulu dari umat nabi Muhammad sangat mengambil berat tentang berpuasa pada hari Asyura di mana mereka tetap berpuasa sungguhpun mereka melakukan perjalanan. Di antaranya Abdullah bin Abbas dan Imam Zuhri ulamak Tabien. Beliau berkata: Ramadhan merupakan beberapa hari yang tertentu sedangkan hari Asyura cepat akan berlalu. Imam Ahmad juga berpuasa hari Asyura semasa dalam perjalanan.

Tingkatan berpuasa pada hari Asyura ada tiga;

Pertama: Paling sempurna, iaitu berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas, Insya Allah akan menerima ganjaran penuh dariNya.

Kedua: Berpuasa sehari sebelum atau selepasnya, iaitu berpuasa pada kesembilan dan kesepuluh Muharram, atau puasa pada kesepuluh dan kesebelas Muharram; Dengan itu tercapai seperti yang diingini oleh Nabi saw yang mahukan perbezaan cara berpuasa dari orang-orang Yahudi dan membuktikan penerimaan tawaran untuk berpuasa pada hari Asyura, dan puasa pada hari sebelum atau selepas.

Ketiga; Anda menghadkan berpuasa pada Asyura sahaja. Dengan itu memperolehi kebaikan berpuasa pada hari Asyura seperti yang diberitahu oleh Rasulullah saw: Bahawa berpuasa pada hari Asyura akan menebus dosa tahun lepas.

Biasakan anak-anak dan latih mereka berpuasa pada hari Asyura

Allah SWT meredhai para sahabat Nabi saw; kerana mereka sangat pantas dalam menyahut panggilan dan lebih bersemangat untuk melakukan ketaatan dan mendapatkan ganjaran. Mereka bukan sahaja tidak memadai memenuhi panggilan untuk diri mereka semata-mata tetapi turut berminat untuk melibatkan anak-anak yang remaja dan yang kecil berpuasa pada hari Asyura.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab Sahih mereka, dari Rabi’ binti Mu'awwiz r.h berkata:

"Rasulullah saw telah menghantar wakil pada pagi hari Asyura ke kampung-kampung Ansar di sekitar Madinah sambil berpesan: "Sesiapa yang sedang berpuasa, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang tidak berpuasa, maka hendaklah dia berpuasa esoknya."

“Selepas itu kami pun berpuasa dan menyuruh anak-anak kecil kami berpuasa, Insya-Allah, dan kami bawa mereka ke masjid dan menyediakan permainan dari bulu yang dicelup untuk mereka, jika salah seorang daripada mereka menangis meminta makanan, kami berikan semasa berbuka nanti.”

Dalam riwayat lain:

“Kami menyediakan permainan dari bulu yang dicelup. Kami bawa anak-anak bersama. Jika mereka meminta makanan, maka kami berikan mereka permainan yang melalaikan mereka sehingga selesai puasa. "

Dalam hadits ini menunjukkan bahawa para Sahabat yang mulia memahami dari Rasulullah saw tentang nilai puasa pada hari Asyura, kemuliaan dan kedudukan, dan mengetahui ganjaran yang besar darinya. Dengan itu, lalu mereka bersungguh-sungguh berpuasa dan menyuruh anak-anak mereka berpuasa. Di dalam hadits menjadi petunjuk yang jelas tentang tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka dalam keimanan, ketaatan dan ibadat, membiasakan dan melatih mereka sehingga membesar dalam ketaatan dan membiasakan diri dengannya, dan tidak pula merasa sukar apabila dia besar nanti walaupun pada usia kanak-kanak belum ditaklifkan lagi. Namun, membiasakan kepada ketaatan dan melatih kepada ibadah akan membantunya ketika sampai usia baligh dan telah ditaklifkan.

Hadits ini menjadi panduan jelas kepada kedua ibubapa yang takutkan Allah dan ingin mendapat ganjaran dan pahala, dan prihatin untuk melatih anak-anak mentaati Allah. Pimpinlah tangan anak anda kepada ketaatan, ke masjid dan melakukan amal salih. Jadikanlah ia berjalan dalam bayangan anda dan anda menuju kepada Tuhan. Anda hendaklah bersungguh-sungguh mendidik anak-anak dalam iman dan ketaatan. Juga bersungguh-sungguh dalam pendidikan fizikal, pembangunan minda dan pengembangan ilmu.

Bacalah bersama-sama doa yang diajarkan kepada kita:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Al-Furqan: 74).

Semoga Allah menerima amal-amal kami dan anda, dan membantu kita untuk taat kepadanya. Selawat dan salam ke atas Muhammad saw yang mengajar orang kepada yang baik.

------
* Mantan Ahli Parlimen dan seorang peguam di Jabatan Mahkamahh Rayuan dan Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah Asal Usul Mahsuri yang Asli (2)

Semasa Pandak Mayah mengadakan kenduri kahwin anak bongsu inilah , beliau mengunakan periuk besar bergaris pusat tiga kaki dan boleh memasak nasi untuk beratus-ratus orang. Periuk ini ditempah di Trang dan dibuat dari tembaga.

Setelah Mahsuri berkahwin, bapanya menghadiahkan kepadanya rumah . Tapak rumah asal itu sekarang ini berada tidak jauh dari pintu masuk makam. Rumah asal itu ialah sebuah rumah ketua kampong. Ukiran rumah itu diukir oleh Hj Sulaiman dari Pakistan. Beliau megambil masa hampir satu tahun untuk menyiapkan ukiran itu. Sehingga kini masih terdapat ukiran itu.

Setelah usia Mahsuri lebih kurang tiga puluhan, mereka mendapat seorang anak dan diberi nama Wan Hakim. Selepas dua tahun mereka pula mendapat seorang lagi anak dan diberi nama Wan Hamzah.

Wan Derus merupakan seorang panglima. Antara sahabat-sahabat rapatnya ialah Syed Salim, Syed Bakhori, Syed Ali dan yang lain-lain lagi. Dalam tahun 1820an Aceh telah menyerang Negeri Satun. Ketika itu negeri ini diperintah oleh Raja Bokhori iaitu anak kepada Tengku Alang Perkasa. Maka raja Satun pun meminta pertolongan dari angkatan perang dari Pulau Langkasuka. Ketika itu Pulau ini dibawah perintahan Raja Satun.

Bertolaklah satu angkatan perang dari Pulau Langkasuka dan diketuai oleh beberapa orang panglima perang . Salah seorang dari panglima itu Wan Derus.

Setelah beberapa hari dalam pelayaran, sampailah mereka ke Satun .Tidak berapa lama di Satun berlakulan peperangan antara angkatan Raja Bokhori dengan angkatan tentera Aceh. Dalam peperangan ini Aceh tidak menyerang Satun dengan angkatan tentera mereka sepenuhnya. Tetapi Aceh mengupah orang-orang Siam untuk menyerang Satun.
Peperangan ini berlaku disebuah tempat berhampiran pantai iaitu di Ban Khuan atau Ban Chuan. Peperangan ini berpihak kepada Satun. Dalam peperangan ini juga lah Raja Satun diselamat oleh Raja Siam dan membawanya ke Saiburi. Bila Satun aman sepenuhnya baru lah beliau pulang keSatun.

Ketika peperangan berlaku di Satun, Di Pulau Langkasuka pula sedang berlaku peristiwa di antara anak menantu Wan Embong sendiri. Orang-orang Wan Yahaya pula tidak ke Satun untuk membantu Raja Satun dalam peperangan menentang Aceh,

Wan Mahora, isteri kepada Wan Yahya dan kakak ipar kepada Mahsuri. Beliau merasa amat cemburu dengan Mahsuri terutamanya Mahsuri lebih mendapat perhatian dari orang-orang tempatan atau dari luar. Mahsuri juga pernah mendapat hadiah dari Raja Siam.Justeru itu juga keluarga Pandak Mayah juga tidak kurang disebut atau disanjung orang.(sambungan)

Wednesday, November 23, 2011

Hijrah pembinaan Daulah

Oleh: Faraj Abu Tir

Para Sahabat telah bersetuju dalam tahun enam Hijrah pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin al-Khattab untuk membuat permulaan sejarah Islam dari tahun penghijrahan, yang merupakan satu episod penting dalam sejarah dakwah Nabi dan ianya meninggalkan kesan kemenangan dakwah dan kemunculannya. Juga dengan berlakunya peristiwa Hijrah melahirkan negara Islam, dan terdapat teras (qaedah sulbah) yang membawa dakwah di peringkat awal dan mengembangkan ke seluruh dunia pada peringkat akhir. Selepas Hijrah, Rasulullah saw telah mula secara langsung meletakkan asas-asas Negara Islam dan usaha-usaha untuk pembinaannya, yang berlaku dalam aspek-aspek asas yang berikut:

Pertama: Pembinaan iman dan akhlak

Tujuan pembinaan ini adalah untuk mengukuhkan hubungan dengan Allah ..

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. (Al-Baqarah: 21),

(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata. (Az-Zaariyat: 50),

Ibadah ini adalah kunci pertama untuk membuka tompokan masalah kemanusiaan dan tanpa kunci ini tidak akan berlaku pembaharuan. Oleh sebab itu, Rasulullah saw mula membina Negara dengan asas ini di rumah Arqam bin Abi Arqam di Makkah, kemudian membina masjid Nabi di Madinah; di mana masjid itu sebagai universiti Islam utama yang melahirkan graduan yang memiliki akidah yang kukuh , ibadah yang sahih , akhlak yang luhur, pendidikan dan ilmu yang berguna.

Kedua: Pembinaan sosial

Kekuatan akidah menghasilkan kekuatan kesatuan dan hubungan antara umat Islam awal. Sebaik golongan Muhajirin tiba di masjid tanpa berlengah saudara-saudara mereka dari golongan Anshar mengelilingi dan mengajak tinggal di rumah mereka, dan mengutamakan lebih daripada diri mereka sendiri dan mengorbankan nyawa dan hartabenda mereka, sehingga terpaksa diadakan undian seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam erti:

“Tak seorang pun Muhajirin yang menetap di rumah seorang Anshar melainkan dengan undian.”

Dengan kasih sayang dan persaudaraan melengkapkan pembinaan sosial:

“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya.” (Bukhari),

"Orang-orang Islam adalah sama darah mereka, dan mereka saling menghulurkan tangan ke atas saudara yang lain, dan menghormati golongan yang lebih rendah dari mereka. " (Riwayat Abu Daud),

Melalui iman dan persaudaraan adalah kemenangan dan pembukaan yang nyata bagi negara Islam. Begitulah yang wajib kita lakukan.

Ketiga: Pembinaan politik

Permbinaan ini dicapai melalui apa yang dikenali dengan “Piagam atau Sahifah” yang merupakan perlembagaan pertama dalam sejarah Islam, termasuk prinsip pembinaan Negara yang bertamadun dan moden, tetapi dengan rujukan Islam yang khusus dan jelas. Di antara prinsip-prinsip ini ialah:

- Umat yang satu .. yang menyatukan semua komuniti di Madinah (Muhajirin - Aus - Khazraj - orang Yahudi), dengan semua bangsa dan etnik mereka.

- Tempat rujukan Islam:

" Sekiranya kalian berselisih dalam sesuatu perkara, kalian hendaklah kembali kepada Allah dan Muhammad saw. "

- Kebebasan dan hak awam:

"Orang Islam dijamin mengamalkan agama mereka dan orang Yahudi dijamin mengamalkan agama mereka."

"Di antara tanggungjawab kita kepada orang-orang Yahudi adalah memberikan pertolongan dan teladan, tidak menindas mereka dan membiarkan mereka tanpa pertolongan.",

"Mereka berhak mendapat kaunseling dan nasihat, berbuat baik dan jangan berbuat jahat kepada mereka."

- Panduan untuk melindungi keselamatan:

"Adalah tidak dibenarkan bagi seorang mukmin untuk memberi bantuan kepada musuh atau memberi perlindungan, tanpa mengira ia peniaga Quraisy atau orang-orang yang membantunya."

Keempat: Pembinaan ekonomi

Pembinaan ini dicapai melalui penubuhan pasar Islam di Madinah; supaya orang Islam tidak berada di bawah kawalan ekonomi musuh-musuh mereka dan supaya orang-orang Islam dapat menunjukkan perbezaan ekonomi mereka yang berkaitan nilai iman dan akhlak di dalam pengeluaran, penggunaan, perdagangan, pengedaran dan pelaburan dalam semua aspek dan bidang ekonomi, tidak seperti ekonomi Yahudi berdasarkan riba, penipuan, monopoli, dan penindasan terhadap golongan miskin dan lemah.

Kelima: Pembinaan ketenteraan

Berikutan dari Hijrah ke Madinah dan situasi peperangan bertambah buruk antara Madinah dan kuasa-kuasa pemujaan berhala dan penurunan ayat-ayat al-Quran yang memberi kebenaran untuk memerangi dengan senjata, Nabi saw mulai menyediakan pasukan tenteranya dan membentuk pejuang Islam, selepas kekuatan iman dan persaudaraan didahulukan daripada kekuatan peralatan dan senjata, dan menggiatkan lebih banyak latihan dan kemahiran ketenteraan di samping terus-menerus memberikan nasihat dan panduan maknawi.

Dengan itu, terbina sebuah negara Islam yang kuat, yang merasai tanggungjawab, belas kasihan kepada rakyat,menjalankan keadilan di kalangan rakyat, tidak menyalah gunakan harta awam dan menjalankan perekonomian, memenuhi kewajipan memastikan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, mengembangkan pendidikan, menyiapkan kekuatan fizikal, mengekalkan kesihatan yang baik, menjaga harta awam, meningkatkan pembangunan sumber, pengawalan kewangan, memperkukuhkan akhlak dan menyebarkan dakwah di segenap pelosok dunia. Oleh itu Negara Islam berhak mendapat kesetiaan dan ketaatan, pertolongan dengan nyawa dan harta. Akhirnya Allah tetapkan untuk Negara Islam dengan kemuliaan, ketinggian dan kedaulatan antara semua umat.

----------