Saturday, November 5, 2011

Hari Arafah: Pengajaran dan pelajaran

Oleh: Hassan Hussein

Segala puji bagi Allah, Maha Suci Tuhan, yang menerima hamba-hambaNya pada hari Arafah dengan kemurahan hatiNya dan melimpah kurniaNya kepada mereka, kerana memberikan mereka yang terbaik berbanding yang diberikan kepada orang-orang yang meminta lainnya. Iaitu Allah akan mengampuni dosa-dosa, menyembunyikan kecacatan dan melepaskan segala kesusahan mereka di akhirat nanti. Saya naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah – tiada yang sekutu bagiNya - dan saya naik saksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan utusan-Nya dan pilihan-Nya dari sekalian makhluk dan kekasih-Nya, yang telah memuliakan hari Wuquf di Arafat dan mengagungkan dengan begitu jelas dan terang tentang kemuliaan dan keutamaan hari ini. Ya Allah, berilah selawat, salam dan keberkatan ke atas penghulu sekalian makhluk dan kekasih Allah dengan salam sebanyak-banyaknya. Dan selepasnya; Wahai saudara yang saya sayangi: Bertakwalah kepada Allah dengan ketakwaan sebenarnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Al-Imran: 102).

Persaudaraan Islam dan iman:

Perbahasan saya hari ini adalah mengenai sebaik-baik hari yang pernah matahari terbit, iaitu mengenai rukun haji yang terpenting, hari makrifah, hari pengampunan, hari yang diturunkan rahmat dari Tuhan Pencipta bumi dan langit, mengenai hari Arafah, dan apa yang anda perlu tahu tentang hari Arafah iaitu hari yang mana hati secara fitrah mengangungkan Allah Tuhan semesta alam.

Saya akan bincangkan tajuk ini dalam perkara berikut:

Pertama: Kelebihan hari ini yang agung.
Kedua: pengajaran dan nilai-nilai yang dipelajari dari hari yang agung ini.

Pertama: Kelebinan hari Arafah

Hari Arafah adalah hari pertemuan dan perjumpaan besar antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani, kerana hari Arafah adalah hari makrifah, hari kebebasan, hari doa, hari kesempurnaan agama dan nikmat dan hari perpisahan.

Di sini saya ingin menarik perhatian tentang kelebihan hari Arafah:

- Di antara kemuliaan hari ini ialah Allah telah bersumpah dengan hari Arafah. Firman Allah di permulaan surah (bermaksud):

“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.” (Al-Buruj: 1-3)

Dalam sebuah hadith bahawa Rasulullah saw pernah bersabda (bermaksud):

"Makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu ialah hari Jumaat, dan segala keadaan yang disaksikan ialah hari Arafah, Jumaat adalah yang terbaik daripada Allah kepada kita" (Ad-Dur al-Mantsur: 8/463 dan At-Tabary).

Begitu juga Allah telah bersumpah dengan kemuliaan hari ini yang besar. FirmanNya yang bermaksud:

“Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (Al-Fajr: 1-2)

Menurut Abdullah bin Zubair: Maksudnya dari 1 Zulhijjah hingga Hari Korban, dan termasuklah hari Arafah. (At-Tabary).

- Hari Arafah adalah hari yang agung kerana hari ini Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan melengkapkan nikmat-Nya:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).

-Hari Arafah adalah termasuk satu hari dalam bulan-bulan suci di mana Allah berfirman (bermaksud):

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).” (At-Taubat: 36).

- Hari Arafah adalah salah satu hari dari hari-hari sepuluh yang dilebihkan untuk melakukan amal solih seperti yang dikhabarkan oleh Nabi saw dalam sabdanya (bermaksud):

“Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah..Bukan jihad fi sabillah? Jawab nabi; Ya, Jihad fi sabillah tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid)”. (Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn Majah) ".

- Hari Arafah adalah hari pembebasan. Di sini nabi telah bersabda (bermaksud):

"Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari 'Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman: 'Apa yang mereka inginkan? '" (Sahih Muslim 3275).

Hari Arafah adalah hari yang besar di mana Allah membebaskan hamba-hambaNya dari api neraka dan Allah membangga-banggakan orang-orang di Arafah di depan para malaikat.

- Hari Arafa adalah hari doa dan hari perjumpaan antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani dan hari pengampunan. Pada hari ini yang agung ini berapa banyak kebimbangan telah dilepaskan, dan berapa kesedihan telah diredakan dan berapa banyak keperluan telah ditunaikan. Oleh sebab itu baginda Rasulullah saw menggesa supaya membanyakkan berdoa pada hari yang agung ini. Baginda bersabda (bermaksud):

"Sebaik-baik doa ialah doa pada hari 'Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah ..." (Timizi).

Kedua: Pengajaran dan pelajaran dari hari Arafah

Saya mendapati pengajaran hari Arafah terlalu banyak dan kita tidak mampu untuk membentangkan keseluruhannya. Cukuplah saya bawakan sebahagian darinya iaitu:

Pertama:

Pada hari ini mengingatkan kita suatu urusan yang agung dan besar, yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan dengan Pemilik Agama. Iaitu mengingatkan tentang hari kiamat dan melengkapkan persediaan dan bekalan untuk hari itu kerana pada hari itu perasaan tidak terkata dan nurani tidak tertulis, tetapi hanya dapat dinikmati bagi siapa yang melaksanakannya, seperti mana ada bijak pandai pernaj mengatakan: “Siapa yang merasa dia tentu tahu.” Ini adalah hari seumpama hari Perhimpunan terbesar:

“iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Hud: 103).

Oleh itu, hari Arafah adalah gambaran kecil dari keadaan sebenar hari kiamat. Demi Allah, sekiranya para jemaah haji memerhatikan pemandangan ini dan bagi yang bukan jemaah haji boleh melihat melalui skrin, tentulah akan mengubah keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dan menjadi hati yang tunduk patuh kepada Tuhan. Semua orang yang menyaksikan pemandangan ini dan perhimpunan orang ramai yang sangat besar di Arafat dan mendengar suara, pekikan dan jeritan, dia akan serta-merta berkata: Maha suci bagi Allah, Maha Suci bagi yang mengetahui bahasa mereka, Maha Suci bagi mampu membezakan suara mereka dan Maha Suci bagi yang tertunai hajat mereka.

Kedua:

Di Arafat terbuka penutup dan pintu syurga. Oleh itu, para jemaah menuju kepada Tuhan dengan hati yang bersih daripada kegelapan syahwat dan hawa nafsu, dan meancarkan cahaya sehingga menerangi dunia dan semua yang ada termasuklah zarah yang kecil.

Di Arafah terjunjung semangat kemanusiaan tanpa kenal sempadan, antara tuan dan kuli, tua dan muda, kaya dan miskin, raja dan rakyat, mulia atau keji. Di tempat ini satu pelajaran agung iaitu tentang persamaan, di mana tidak ada orang yang boleh membezakan antara kaya dan miskin, tidak juga di antara yang kuat dan lemah, dan tidak juga di antara berkedudukan dan berpangkat dan tidak berkedudukan dan berpangkat.

Ketiga:

Perhimpunan umat Islam di Arafah pada hari yang agung ini memberi peluang besar untuk menyaksikan manfaat Haji sepeti yang dikehendaki dan disebut oleh Allah dalam ayat ini bermaksud:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.”
(Al-Hajj: 27-28)

Manfaat yang paling penting dan menjadi kewahipan yang tidak dapat dielakkan kepada umat Islam: Keperluan untuk kerjasama antara negara-negara Arab dan Islam. Perjumpaan di Arafah ini adalah peluang besar untuk menghapuskan jurang dan memikirkan tentang keadaan dunia Islam.

Di antara faktor yang membantu untuk mencapai kerjasama ini tercapai ialah; umat Islam adalah satu umat yang menggunakan bahasa yang satu, sejarah masa lalu yang satu, objektif yang satu, penyakit yang satu. Mereka di Arafat menuju kepada Tuhan yang satu , memakai pakaian yang satu, pada masa yang satu dan dengan laungan yang satu "Labbaikallah humma labbaik...." Semua ini membantu untuk mencapai kerjasama yang membuahkan kemajuan, kemakmuran,kecintaan dan keintiman, dan menggemblingkan tindakan yang memuaskan hati rakyat negara Arab.

Keempat:

Inilah hari agung yang mengingatkan kita kepada makhluk yang paling agung yang pernah dijadikan Allah, mengingatkan kita dengan perhimpunan perpisahan di dalam haji Wida’. Tiada masa yang paling hebat dan tiada perhimpunan yang paling indah, melainkan di saat pertemuan antara utusan Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam bersama dengan orang ramai yang khusyuk dan merendak diri di hadapan Allah, Semua mereka memiliki hati yang sedar dan telinga yang mendengar untuk melihat perpisahan dan kata-kata perpisahan, iaitu kata-kata dari Rasulullah saw yang tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya.

Seluruh dunia telah mendengar kata-kata Rasulullah saw yang telah mengumumkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai hidup. Antara prinsip-prinsip yang paling penting ialah:

- Menghormati nyawa, harta dan kehormatan.
- Larangan riba.
- Keadilan iaitu satu ciri Islam yang utama
- Melindungi dan menjaga nyawa.
- Larangan mempersendakan agama Allah.
- Hak lelaki ke atas wanita, hak wanita ke atas lelaki.
- Ikatan utama umat Islam adalah ikatan akidah dan Islam. Ikatan ini yang membawa mereka kepada prinsip persamaan dan kerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam.

Pada hari ini, Rasulullah saw merumuskan untuk umat bahkan semua manusia tentang prinsip-prinsip kemanusiaan dan belas kasihan, dan meletakkan mereka kepada asas-asas keamanan dan kedamaian. Antara pesanan lain dari Rasulullah saw untuk umatnya: Berpegang teguh kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah saw. Rasulullah telah menentukan secara tegas bahawa langkah dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melanda umat Islam ialah untuk merujuk kepada: Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah saw.

Kelima:

Sepatutnya umat Islam, yang berada di Arafat dan lain-lain tempat-tempat suci, terutamanya Rumah Allah, jangan melupakan kiblat pertama umat Islam pertama: Al-Aqsa, yang mesti dikembalikan ke pangkuan umat Islam dan membebaskan dari cengkaman bangsa Yahudi. Ini adalah amanah dan tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah kepada kita pada hari kiamat nanti.

Kita memohon agar Allah menjadikan kita pada hari Arafah tergolong orang-orang yang diterima amalnya, orang-orang yang diberikan kemenangan dan orang-orang yang Allah bebaskan dari api neraka.

Dan doa kita yang akhir adalah pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
--------

2 comments:

insan marhaen said...

selamat hari raya...

muga kita juga akan ke sana!

SHAHIDAN SAAID said...

amin...InsyaAllah IM...semoga dimakbulkan doa..