Tuesday, November 29, 2011

Sejarah Asal Usul Mahsuri yang Asli (3)

Berputik daripada perasaan cemburu inilah, Wan Mahora memasang perisiknya yang kebetulan tinggal berhampiran dengan rumah Mahsuri.Beliau bernama Mak Udoh. Tapak rumahnya sekarang ini telah terbina tandas awam berhampiran Makam Mahsuri.Mak Udoh hanya empat tahun lebih tua dari Mahsuri. Mereka juga berkawan baik lebih-lebih lagi mereka tinggal sekampung.

Deramang ialah seorang penjual kain dari seberang atau dari Sumatera. Beliau juga bersahabat dengan Wan Derus atau dengan keluarga Pandak Mayah sendiri.Tanda persahabatan mereka masih ada hingga ke hari ini dalam bentuk siling lama. Kerana beliau berniaga, sudah tentulah beliau akan rumah ke rumah untuk menjual barang-barangnya tidak kira waktu dan masa.

Kesempatan inilah diambil oleh Mak Udoh untuk menjalankan tugasnya untuk Wan Mahora. Inilah kesempatan yang amat baik bagi beliau untuk membantu Wan Mahora. Daripada perasaan cemburu berubah kepada hasad dengki dan seterusnya berlakulah fitnah.

Memang berlaku penjual kain bertandang ke rumah Mahsuri dengan tujuan menjual kain. Akan tetapi kesempatan ini diintai oleh Mak Udoh dengan mengatakan mereka berdua-duaan.Perkara ini telah dibawa oleh Mak Udoh ke pengetahuan Wan Yahya dan disokong kuat oleh Wan Mahora.

Maka Wan Yahya memerintahkan panglimanya ke Kampung Cenerai untuk membawa Mahsuri meghadap Wan Yahya. Dengan tidak tahu tujuan apa-apa Mahsuri pun pergilah meghadap Wan Yahya atau abang iparnya. Amat terkejutlah Mahsuri ketika beliau dituduh berkelakuan tidak senonoh dengan penjual kain. Dalam kekalutan ini, penjual kain pula megambil kesempatan lari keluar dari Pulau Langkasuka . Beliau sempat manaiki kapal yang menuju ke Sumatra.

Dua hari Mahsuri ditahan di Kampung Jerat. Juga tidak mengaku olehnya walaupun diugut untuk dibunuh. Maklumlah perkara tidak dilakukan oleh beliau bagaimana hendak mengaku mengikut kehendak penuduh.

Hari kedua gemparlah orang-orang Kampong Cenerai dengan berita Mahsuri dituduh berkelakuan tidak baik dengan penjual kain.Bergegaslah mereka ke Kampung Jerat untuk mendengar berita itu. Ibu bapa Mahsuri juga bergegas kerumah Wan Yahya. Berbagai-bagai penjelasan diberikan oleh ibu bapanya tapi tidak diendahkan oleh Wan Yahya.

Tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan oleh Pandak Mayah. Kerana kesemua orang-orang kuatnya pergi berperang.Tetapi orang-orang Wan Yahya ramai.Apa yang dapat dilakukan oleh Pandak Mayah, keluarganyadan sahabatnya hanya berdoa saja agar kebenaran berpihak kepadanya.

Masa berjalan , rayuan tidak di layan oleh Wan Yahya. Hukum bunuh hendak dilaksanakan juga . Yang tidak bersalah tetap mengaku tidak bersalah walaupun diugut hendak di bunuh.

Hari hampir senja. Mahsuri pun dibawa oleh orang-orang Wan Yahya ke tepi pantai.
Beliau pun diikat ke sebatang pokok cenerai yang sederhana besar.Pokok cenerai itu pula dikuatkan dengan sebatang buluh pancung. Tali untuk mengikat tangan Mahsuri dibuat oleh seseorang yang pandai. Tali itu dibuat dari empat jenis bahan yang berlainan iaitu dari kulit pisang benggala, rambut yang panjang, kulit pisang udang dan akar minyak.

Setelah tangannya diikat kuat oleh orang yang pandai,beliau tetap juga tidak mengaku dengan tuduhan itu.Orang yang menjalankan hukuman bagi pihak Wan Yahya ialah panglimanya bernama Alang Budiman. Mahsuri pula berpakaian kemas dan bertudung kepala hadiah dari suaminya yang terakhir. Disanggulnya tercucuk penyucuk sanggul merupai keris. Dilehernya tergantung seutas rantai emas berlokek. Didalam lokek itu tersimpan Quran kecil.

Kesemua orang kampungnya yang hadzir berada tidak jauh dari tempat hukuman itu termasuk ibu dan bapanya. Keris pertama diserahkan kepada Alang Budiman dan terus menikam ke dada Mahsuri tapi tidak berhasil. Ibunya jatuh pengsan. Diberi pula keris yang berlambang naga kepada Alang Budiman.Tiga kali Alang Budiman menggelilingi Mahsuri. Ditikamnya ke dada Mahsuri sebelah kiri dari arah belakang. Mahsuri masih tidak menyedari bahawa dadanya sudah ditikam.Beberapa lama barulah beliau merasa sakit. Ibunya sedar dari pengsan.

Selepas itu barulah ikatan ditangannya dibuka. Alang Budiman tidak lagi berada disitu . Keadaan ketika itu gempar dan sedih sekali. Mahsuri dipapah oleh ibu bapa dan rakannya keluar dari tempat hukuman. Setelah berjalan keluar ,dia berasa lemah dan jatuh di atas pasir.Beliau juga sempat meninggal beberapa pesanan kepada bapanya.
Kedaannya semakin uzur. Menyedari masanya hendak dijemput Allah hampir dekat sekali. Dengan tenaga akhir beliau mencabut cucuk sanggulnya dan menikam ketanah dan terus bersumpah “ ……………………….hingga tujuh keturunan aku “ .Tempat hukuman itu dijalankan sekarang ini menjadi tempat letak kereta antara gerai makan dengan Sek.Keb. Padang Matsirat.


Memang dia d tikam dari belakang d tempat d mana susu d simpan. Lagi pula anaknya Wan Hamzah baru berusuia 8 bulan juga dia d tahan selama dua hari. ini berarti mungkin 2 hari anaknya tak d susukan.


Hari sudah hampir malam. Berita Arwah Mahsuri mati dibunuh tersebar ke merata kampung. Pada malam itu juga mayat arwah diusung oleh orang-orang kampung Pandak Mayah balik ke Kampung Cenerai. Bermulalah zaman Pulau Langkasuka disumpah oleh Arwah Mahsuri. Hujan turun selama tujuh hari tanpa henti.

Setelah mayat arwah Mahsuri tiba dikampungnya , kerja-kerja berkaitan pun dilakukan oleh orang-orang kampong seperti membaca “ Yassin “ dan lain-lain lagi.

Hari berikutnya barulah arwah dikebumikan dihadapan rumahnya sendiri. Arwah meninggal dalam usia lebih kurang 34 tahun dengan meninggal dua orang anak Wan Hakim 2 tahun, dan Wan Hamzah 8 bulan.Hari-hari berikutnya keadaan masyarakat kampung Cenerai merasa sedih dengan apa yang telah berlaku. Lebih-lebih lagi pada keluarga Pandak Mayah.

Genap tujuh hari arwah Mahsuri dijemput Allah, pada suatu malam telah berlaku satu keajaiban di rumah Wan Yahya. Tiba-tiba rasuk rumahnya patah. Amat terkejut mereka semua. Keesokannya mereka semua terus megambil keputusan untuk berpindah . Wan Mahora tidak mahu ikut serta tapi dipaksa oleh Wan Yahya untuk berpindah. Dalam keadaan yang tidak sempurna, mereka berpindah menuju Satun. Turut serta dalam rombongan itu ialah seorang panglimanya bernama Alang Budiman..

Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya pun tiba di Satun. Tidak berapa hari di Satun beliau pun jatuh sakit hingga mulutnya herot ke kiri. Beliau pun berubat dengan beberapa orang bomoh. Salah seorang bomoh itu mengatakan sakitnya itu berlaku disebabkan oleh beliau sendiri iaitu membuat keputusan tanpa selidik terlebih dahulu.

Tidak berapa lama selepas itu, beliau menceraikan isterinya. Beliau berpindah lagi dan tinggal di suatu tempat bernama Pakbara.Beliau mempunyai dua orang anak laki-laki. Pertama bernama Wan Ayob dan kedua bernama Wan Ishak. Kedua –dua anak mereka pula menetap bersama ibunya di Satun.

Setelah enam bulan Wan Yahya di Pakbara, beliau pun berkahwin pula dengan orang Pakbara bernama Salini. Salini bekerja sebagai tukang jahit dan Wan Yahya sebagai nelayan.Tidak berapa lama selepas mereka berkahwin, berpindah pula mereka ke Phatalong. Disinilah Wan Yahya meninggal dunia. Selepas enam bulan, isterinya pula meninggal dunia akibat diracun orang. Perkahwinan mereka tidak mendapat seorang anak pun.

Wan Mahora. Setelah berapa lama menetap di Satun, beliau serta dua orang anaknya pula berpindah ke Songkla. Beliau menetap di Songkla sehingga akhir hayatnya.

Mak Udoh. setelah sebulan pemergian arwah Mahsuri. Beliau pula meninggal dunia dipanah petir ketika sedang memancing di laut bersama rakannya.Beliau mati tidak berkubur.

Deramang penjual kain yang sempat meloloskan dirinya dan menaiki kapal menuju ke Sumatra pula menerima kemalangan di atas kapal. Beliau meninggal dunia di atas kapal disebabkan oleh ditimpa tiang kapal yang patah.

Peperangan di Satun sudah pun tamat. Kemenangan berpihak kepada raja Satun. Beberapa barang hadiah dikurniakan oleh baginda raja Satun kepada Wan Derus dan orang-orangnya. Maka berangkatlah mereka kembali ke Pulau Langkasuka. Setelah beberapa hari dalam pelayaran maka sampailah mereka ke Pulau Langkasuka.

Di Kampung Pengkalan kapal sanak saudara menunggu mereka kerana ada yang cedera dan lemah dan perlu diberi rawatan. Tidak kurang juga berita yang didengar dan diceritakan diantara mereka.

Wan Derus senang dengan tugas yang telah diselesaikan ketika di Satun . Tetapi lain pula setelah beliau pulang ke Pulau Langkasuka. Hadiah di Pulau Langkasuka pula amat menyedihkan beliau dan boeh membawa kepada pergaduhan di antara keluarga sendiri.

Beliau dan dibantu dengan sahabat-sahabatnya dapat mengawal keadaan yang kalau tersilap hitung boleh membawa kepada pembunuhan. Beliau menerima saja takdir yang telah menimpanya dengan penuh sabar dan berserah kepada Allah.

Dalam seminggu setelah arwah Mahsuri meninggal, Pandak Mayah tidak dapat melihat lagi barang-barang peninggalan arwah. Dikumpul olehnya barang-barang itu dan diberi kepada seseorang untuk menjaganya.

Ibu dan kakak-kakak arwah tidak lagi dapat menahan kesedihan yang menimpa mereka. Mereka sentiasa mendoakan agar mereka dipendekan umur. Maka selepas setahun pemergian arwah, ibunya pula dijemput Allah. Ibunya juga disemadikan tidak jauh dari tempat arwah disemadikan.Tidak lama selepas itu pula turut diikuti oleh dua orang kakaknya. Kakaknya juga disemadikan ditempat yang sama.

Setelah beberapa lama Wan Derus tinggal bersama dua orang anaknya, beliau pun meminta izin dari Pandak Mayah untuk meninggal Pulau Langkasuka. Setelah keizinan
diberikan oleh Pandak Mayah barulah beliau berpindah dan tidak pulang lagi.

Bekalan untuk beliau dan anak-anaknya pun disediakan oleh keluarga dan rakan-rakannya. Tiba hari berpindah, beliau pun dihantar oleh orang–orang terdekat hingga ke pantai. Maka belayarlah mereka ke destinasi yang dirahsiakan. Bersama beliau turut serta ialah kawan rapatnya. Setelah sampai ke tempat yang di tujunya maka bermudiklah mereka menyusuri sungai dan sampai ke suatu daerah bernama Trang .Beliau dan anak-anaknya pun menetap di Trang. Beliau tidak lagi berkahwin. Beliau sendiri membesarkan anak-anaknya. Beliau juga mengajar ilmu agama kepada orang-orang sekitarnya. Beliau memilih Trang untuk menetap kerana di sini beliau mempunyai ramai kenalan.

Setelah beberapa lama beliau menetap disitu, sahabatnya berangkat pulang ke Pulau Langkasuka dengan tujuan untuk menyampaikan berita kepada Pandak Mayah. Sahabatnya itu berulang alik setahun sekali di antaraTrang dan Pulau Langkasuka.

Pandak Mayah, setelah kematian isteri dan anak-anaknya beliau pun berpindah ke tempat Wan Derus. Sebelum berpindah beliau memberi barang-barang kepada sahabatnya untuk dijaga dan diserah kepada anak-anak cucunya di kemudian hari. Rumah asalnya pun hendak diroboh tetapi dicadang oleh sahabatnya supaya tinggalkan untuk tatapan anak-anak cucunya. Cadangan itu diterimanya. Maka kekalah ukuran rumah itu hingga kehari ini.

Setelah tiba masanya berpindah ,beliau pun berpindahlah ke tempat cucunya tinggal dengan ditemani oleh sahabat Wan Derus tadi dalam usianya tujuh puluhan. Semasa perpindahan itu beliau membawa bersamanya persalinan ketua kampung termasuk kasut capar, Keris Wali,tengkolok, lebai dan lain-lain barang.Tiba di Trang menetaplah beliau bersama menantu dan cucu-cucunya.Mereka membuat kerja seperti biasa untuk menyara kehidupan harian.

Lebih kurang sepuluh tahun Pandak Mayah berada di Trang ,beliau pun uzur. Oleh itu beliau pun meminta agar beliau dihantar pulang ke Pulau Langkasuka.Pulanglah beliau ke Pulau Langkasuka dan ditemani oleh orang harapan . Setiba di Pulau Langkasuka beliau tinggal bersama saudaranya. Hari berganti hari. Pandak Mayah semakin uzur. Beliau meninggal di Pulau Langkasuka dan disemadikan di Pulau Langkasuka. Berita kematian Pandak Mayah disampaikan kepada Wan Derus oleh penyampainya.

Setelah sekian lama di Trang , Wan Hakim pun dewasa. Beliau dikahwinkan dengan Umi Kalsom dari Pathalong. Setelah berkahwin beliau tinggal berasingan dari bapanya. Lebih kurang 86 tahun usia Wan Derus maka meninggallah beliau. Beliau disemadikan oleh orang-orang kampung. Makamnya sekarang ini terletak di belakang Masjid Trang yang imamnya sekarang ini bernama Hj. Ramli.

Wan Hakim dan isteri. setelah beberapa tahun mereka kahwin, maka dikurniakan dua orang anak laki-laki. Anak pertama bernama Wan Mohd Salleh dan yang kedua bernama Wan Mohd Zaidi. Wan Mohd Zaidi dua tahun lebih muda dari abangnya.

Setelah usia Wan Mohd Salleh 10 tahun, Wan Hakim sekeluarga berpindah pula ke Pathong (atau Pathongmoi). Mereka tinggal di satu kampung yang tidak jauh dari pantai .Kerja harian mereka adalah bertani dan ke laut.

Wan Mohd Salleh ketika usianya 18 tahun dengan keizinan ibu dan bapanya , merantau pula beliau untuk belajar ilmu agama. Beliau merantau hingga sampai ke Naratiwat. Di Naratiwat beliau belajar disebuah sekolah pondok di Daerah Weng. Beliau berguru dengan seorang sheikh selama tiga tahun. Selepas pengajian beliau terus berniaga kain dan batu pemata. Beliau berurus niaga hingga ke Saiburi.

Setelah umur Wan Mohd Salleh 25 tahun, beliau berkahwin dengan orang dari Saiburi bernama Wan Siti Hajar Bt Wan Alias. Mereka menetap di Ban Yala. Disini mereka mendapat seorang anak perempuan dan diberi nama Cik Aa.

Sementara itu di Phatong, Wan Mohd Zaidi meninggal dunia dalam usia 17 tahun kerana demam panas.

Wan Mohd Salleh dan isteri setelah mendapat anak pertama , mereka berpindah lagi. Kali ini mereka berpindah hingga ke negeri Kedah. Setelah mendapat tempat yang sesuai mereka membina rumah dan menetap di situ. Pekerjaan mereka bersawah , menangkap ikan dan kerja-kerja kampung yang lain. Selepas menetap di Kedah, mereka mendapat lima orang lagi anak. Anak kedua bernama Cik, ketiga Embong, keempat Fatimah,kelima Aishah dan keenam laki-laki bernama Nan.Hari ini yang masih ada hanyalah Fatimah saja dan usianya hampir 80 tahun Kakak-kakak dan adiknya sudah pun meninggal dunia. Fatimah ialah ibu kepada Abdul Ghoni. Beliau mempunyai 12 orang anak.

Cik Aa pula berkhawin dengan Awang. Mereka menetap di Kampung Kubang Jelai dalam Daerah Pendang. Mereka mendapat beberapa orang anak. Anak sulungnya bernama Abdul Rahman.Awal tahun 60an Cik Aa meninggal dunia melewati suaminya. Beliau dimakamkan di perkuburan Islam Kampung Rambai.

Abdul Rahman pula berkahwin dengan Saodah. Mereka mendapat beberapa orang anak.Mereka menetap di Kampung Gelam jalan Tanah Merah. Beliau meninggal di awal tahun 2000 kerana lumpuh.

Anak pertama Abdul Rahman bernama Abdul Ghani. Setelah berkahwin. Beliau mendapat beberapa orang anak. Anak yang pertama bernama ********. Mereka sekeluarga tinggal di pekan Pokok Sena, Kedah. Sekarang usia anak sulongnya lebih kurang 17 tahun.

Apa yang dikatakan tujuh keturunan Mahsuri dalam ucapan sumpahnya ialah dikira dari dirinya, anaknya yang sulung dan seterusnya kepada cucu cicitnya yang sulung tidak kira samada laki-laki atau perempuan. Cartanya seperti berikut,


1 MAHSURI
2 WAN HAKIM
3 WAN MOHD SALLEH
4 CIK AA
5 ABDUL RAHMAN
6 ABDUL GHANI
7 ***********

(Bersambung)

2 comments:

zas@islam.blogspot.com said...

betul ker tak ni apa yang saudara ceritkan?

Mulyadi said...

Banyak plak versi cerita ni.